Bulan ke-14 planet Neptune

hst_neptune_14thmoon.jpg.CROP.original-original

Photo by NASA, ESA, and M. Showalter (SETI Institute)

Berita dunia Astronomi semalam diwarnai dengan penemuan sebuah lagi bulan yang mengelilingi planet Neptune.

Ini menjadikan jumlah bulan yang mengorbit disekeliling planet ke-8 ini kepada 14 buah kesemuanya.

Paling menarik perhatian saya di dalam kes ini ialah, bagaimana seorang saintis di SETI Institue, Mark Showalter (foto bawah) menjumpai bulan ini.

showalter

Menurut kenyataan akhbar di http://hubblesite.org/newscenter/archive/releases/2013/30/full/ , beliau sebenarnya sedang mengkaji jalinan gugusan gelang (ring arcs) yang mengelilingi Neptune, dengan menggunakan data yang diperolehi daripada Teleskop Hubble antara tahun 2004 hingga 2009.

Ini membuatkan saya terfikir, “… rupa-rupanya banyak lagi penemuan yang boleh ditemui dengan data-data terdahulu daripada Teleskop Hubble ni”

Foto di atas menunjukkan foto penemuan bulan baru ini daripada arkib Teleskop Hubble

Pemerhatian awal saintis menunjukkan bulan ini amat kecil, sebesar 20km sahaja dan ia melengkapkan satu orbit mengelilingi planet Neptune selama 23 jam, pada jarak 100,000 km.

Diberi nama S/2004 N 1, bulan ini begitu kelam, malah ia lebih kurang 100 juta kali lebih kelam daripada bintang yang paling kelam boleh dilihat dengan mata kasar.

Rajah di bawah menunjukkan ilustrasi orbit beberapa buah bulan atau satelit planet Neptune (termasuk yang terbaru S/2004 N 1). Perhatikan juga bulan terbesar Neptune, iaitu Triton, bergerak berlawanan arah berbanding dengan bulan-bulan lain.

neptune_moonorbits.jpg.CROP.original-original

Illustration by NASA, ESA, and A. Feild (STScI)

Planet Neptune terletak hampir 4 bilion km daripada Bumi. Oleh itu tidak mustahil masih banyak lagi misteri dan penemuan baru yang bakal ditemui menerusi kajian-kajian astronomer pada masa-masa akan datang.

Mungkin peminat Astronomi di Malaysia, samada pelajar universiti atau sekolah, boleh buat kajian menggunakan data-data arkib Teleskop Hubble ini. Manalah tahu satu hari nanti, penemuan terbaru di planet Neptune bakal ditemui oleh rakyat Malaysia! 🙂

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...