Komet ISON – sebuah Muqaddimah

130726133513-comet-ison-hubble-april-30-2013-story-top

Komet ISON (atau nama yang lebih tepat lagi, C/2012 S1 ISON) akan melintasi langit kita menjelang hujung bulan November dan awal Disember 2013 nanti.

Ramai ahli astronomi seluruh dunia, amatur mahupun profesional, sedang menanti penuh debaran kemunculan komet ini. Adakah ia akan bersinar terang seperti bulan purnama? Adakah ia akan hancur apabila melintasi matahari? Adakah ia sekadar mengusik kita dan bersinar pada kecerahan yang pudar dan mengecewakan?

(Foto di atas merupakan rakaman yang dibuat oleh Teleskop Angkasa Hubble baru-baru ini.)

Begitulah di antara beberapa persoalan yang sedang bermain-main di sanubari peminat astronomi sekarang. Bagi kita Malaysia, saya belum dapat lihat mana-mana organisasi , yang telah mengeluarkan kenyataan rasmi dan maklumat tentang Komet ISON ini. Oleh itu, izinkan saya mulakan ISON-frenzy menerusi portal Falak Online ini. Saya akan cuba membawa sebanyak mungkin maklumat terkini, cara mencari, tips astrofotografi yang apa yang akan terlintas di fikiran saya, dengan niat agar semua peminat astronomi di Malaysia, tidak ketinggalan jauh dengan peminat astronomi di luar negara.

SEJARAH

Komet ISON ini ditemui oleh 2 orang ahli astronomi, Vitali Nevski and Artyom Novichonok yang menggunakan International Scientific Optical Network’s (ISON) 40-cm reflector di Kislovodsk Observatory (Russia) pada malam 2012 September 20/21,

Ketika sedang membelek-belek hasil astrofoto di kawasan buruj Gemini dan Cancer menerusi perisian CoLiTec, sebuah perisian khas untuk menjejaki pergerakan asteroid dan komet, Nevski telah terperasan sebuah objek yang agak cerah tetapi bergerak begitu perlahan. Anggapan pertama beliau ialah objek ini mesti berada begitu jauh, malah di belakang orbit planet Musytari!

Apabila maklumat ini dihantar ke  Central Bureau for Astronomical Telegrams, dan dipaparkan di laman web  NEOCP of the Minor Planet Center, ramai ahli astronomi lain telah mengesahkan kewujudan objek ini.

2012S1_discoverers

Copyright © 2012 by A. Novichonok (ISON-Kislovodsk Observatory, Russia)

2012S1_20120921_D00

Copyright © 2012 by V. Nevski and A. Novichonok (ISON-Kislovodsk Observatory, Russia)

Foto di atas merupakan imej pertama Komet ISON (di tengah-tengah bulatan) yang dirakam oleh Nevski dan Novichonok pada 2012 September 21.05 

Kiraan terakhir yang dibuat oleh saintis meletakkan tarikh perihelion pada 2013 Nov 28.87 , dengan jarak hanya 0.012 AU dari matahari.

  • Perihelion bermaksud titik di dalam orbit sesebuah objek yang mana ia berada paling hampir dengan matahari.
  • AU bermaksud Astronomical Unit ( 1 AU bersamaan jarak purata Bumi-Matahari)

Nilai 0.012 AU itu menunjukkan Komet ISON ini tergolong di dalam suatu keluarga komet yang digelar Sungrazers, iaitu sekumpulan komet yang akan melintasi begitu hampir dengan matahari.

Comet-C2012-S1-ISON_9-25-2012

(Rajah di atas menunjukkan trajektori atau orbit Komet ISON, ketika ia memasuki kawasan pendalaman sistem suria kita. Perhatikan betapa hampirnya ia berada dengan matahari pada saat perihelion nanti.)

Selalunya apabila sesebuah sungrazer’s comet melintasi matahari, ia akan bersinar dengan begitu cerah sekali, sebelum dan selepas perihelion. Masih ingatkah anda terhadap Komet C/2011 W3 (Lovejoy) atau lebih dikenali sebagai Komet Lovejoy yang muncul pada tahun 2011 lepas? Itu ialah satu contoh komet jenis sungrazers ini.

lusher2

(Foto di atas ialah Komet Lovejoy ketika ia melintasi sekitar matahari, beberapa hari selepas perihelionnya. Sumber)

Namun, risiko paling tinggi yang akan dihadapi oleh komet seumpama ini ialah ia selalunya akan hacur lebur apabila menghampiri matahari. Cuma sedikit sahaja yang dapat bertahan dan selamat meluncur kembali ke angkasa raya (seperti Komet Lovejoy).

SPEKULASI.

Disebabkan orbit Komet ISON ini hampir sama dengan The 1680 Great Comet (sebuah komet yang terang muncul di langit pada tahun 1680), ramai yang mengharapkan ia akan dapat mengulangi keindahan komet 1680 itu.

Great-Comet-of-1680

(Larakan di atas menunjukkan suasana gempar penduduk dunia, ketika sebuah komet cerah dan besar melintasi langit bumi pada tahun 1680. Sumber)

Antara spekulasi awal, ketika komet ISON baru ditemui, ialah ia akan bersinar secerah bulan purnama! Apabila pihak media menangkap frasa ini daripada bualan saintis-saintis, populariti komet ini meletup serta merta. Malah ada yang memanggilnya sebagai Comet Of The Century!

Namun, saya perhatikan menerusi forum internet Comet Mailing List, yang ahlinya terdiri daripada pakar-pakar komet seluruh dunia, majoriti menyangkal kecerahan yang melampau itu tadi. Walaupun begitu, kebanyakkannya masih menganggap Komet ISON tetap akan bersinar terang di dalam lingkungan kecerahan objek yang mudah dilihat dengan mata kasar.

Laman web komet oleh ahli astronomi Jepun, Seiichi Yoshida, yang sering menjadi rujukan saya di dalam pengembaraan mengejar komet-komet ini, menunjukkan satu trend ‘kecerahan’ yang menarik untuk Komet ISON. Saya dapati berdasarkan pemerhatian ahli astronomi sekarang, Komet ISON mungkin akan menjadi secerah planet Zuhrah.

mag1

(Magnitude chart, atau graf kecerahan yang menunjukkan trend kecerahan Komet ISON. Sumber)

Komet ISON ini juga sebenarnya kali pertama memasuki kawasan pendalaman sistem suria kita. Sebelum ini ia terapung-apung jauh dari matahari, di hujung  sistem suria di dalam kawasan yang dipanggil sebagai Oort Cloud. Oleh itu, ia merupakan sebuah komet yang masih fresh dan dipercayai masih mengandungi kandungan ais yang banyak yang masih terperangkap di dalamnya.

Saya secara peribadi rasakan Komet ISON akan menjadi komet yang mudah dilihat dengan Binokular, dan mungkin boleh dilihat dengan mata kasar dari kawasan langit yang gelap bebas dari gangguan cahaya.

PEMERHATIAN KINI

Ketika saintis memerhatikan komet ini pada 18 Jan 2013 lepas, walaupun masa itu ia berada begitu jauh, iaitu 763 juta km dari matahari, ia pun sudah begitu aktif dan menghamburkan debuan yang menghasilkan ekor sepanjang 64,400 km!

Teropong angkasa NASA, Spitzer Space Telescope , telah merakam Komet ISON pada 13 Jun lepas, dan mendapati terdapat  kesan hamburan karbon dioksida yang kuat dan ekornya pun telah mencecah 300,000 km panjang!

Banyak foto Komet ISON yang telah mula dihantar dan dirakam oleh ahli astronomi seluruh dunia. Di bawah merupakan antara yang paling menarik perhatian saya.

1385004_711766478851802_556885866_n

Foto atas dirakam oleh Rolando Ligustri, pada 4 Okt 2013 lepas.

LOKASI DI LANGIT.

Komet ISON akan muncul di langit sebelah pagi, menjelang SUBUH. Ia tidak dapat dilihat pada waktu petang, senja mahupun tengah malam.

Oleh itu, ia menjadi cabaran juga untuk anda meredah keheningan pagi, mencari kawasan gelap untuk mencari dan merakam Komet ISON ini.

Saya telah sediakan peta panduan Komet ISON dari langit Malaysia.

KESIMPULAN

Kemunculan Komet ISON ini sememangnya dinanti-nantikan oleh keseluruhan peminat astronomi di seluruh dunia. Walaupun tidak ada sesiapa pun tahu bakal nasib komet ini apabila ia melintasi matahari pada hujung November nanti, atau adakah ia akan memenuhi gelarannya sebagai The Comet Of The Century,  saya sarankan agar kita di Malaysia, turut melepaskan peluang mencari dan menjejaki komet ini nanti.

InsyaAllah saya akan terus menerusi memberi berita terbaru mengenai Komet ISON menerusi portal Falak Online. Jangan ke mana-mana!

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...