Meteor Geminids 2013 akan bertarung dengan kehadiran Bulan!

Processed with MaxIm DL 4

Bulan Disember setiap tahun seringkali menyajikan kepada kita juraian cahaya dari langit, silih berganti, terang dan malap.

Itulah juraian meteor Geminids yang bakal memuncak pada 13,14 dan 15 Disember nanti.

 

Artikel lama berkenaan cara-cara hendak mencerap meteor. Klik SINI.

Atas: Foto di atas menunjukkan juraian Geminids yang kelihatan muncul dari poin asal atau radiant, berhampiran dengan bintang Castor. Ia merupakan gabungan 83 (daripada sejumlah 1256 foto) yang dirakam pada jangkamasa 11 jam pada 13 dan14 Disember 2004. © Fred Bruenjes

Walaupun meteor-meteor yang muncul di langit dikaitkan dengan habuk serta debu dari laluan komet-komet yang bergerak mengelilingi matahari, meteor Geminids ini agak istimewa dan ada kelainan sikit.

Berdasarkan kajian arah munculnya meteor ini, ia dikatakan berasal dari sebuah asteroid yang bernama 3200 Phaeton!

Agak pelik asteroid menghasilkan debu-debu meteor, tetapi ia mungkin tidaklah sepelik yang disangka. Ahli astronomi turut menjangkakan asteroid 3200 Phaeton ini asalnya sebuah komet (yang kini sudah mati, kering segala aisnya dan hanya tinggal tempelan debu dan batu nukleusnya sahaja).

Ahli astronomi dari Remanzacco Observatory di Italy ,Ernesto Guido and Giovanni Sostero, melaporkan menerusi artikel mereka di SINI, 3200 Phaeton ialah asteroid yang pertama dijumpai menerusi teleskop di angkasa lepas (IRAS) menerusi kajian data yang di buat oleh Green dan Davies pada tahun 1983.

Ahli astronomi Fred Whipple merupakan orang yang pertama mengaitkan juraian Geminids dengan asteroid 3200 Phaeton ini. Namun yang peliknya ia tidak menunjukkan sebarang ciri-ciri sebagai sebuah komet.

Sehinggalah sebuah objek 2005 UD, yang ditemui memiliki orbit yang sama dengan Phaeton, lalu ahli astronomi Jewitt & Hsieh (2006) menyatakan ia mungkin asal dari objek yang sama yang menghasilkan juraian Geminids.

Namun, mereka menambahkan  “Phaethon’s true nature must still be considered an open question”
Kajian masih diteruskan sehingga hari ini.

 

Atas: Foto asteroid Phaeton yang dirakam dari balaicerap Remanzacco di Itali pada tahun 2008.

Berbalik kepada munculnya meteor Geminids ini, meteor-meteor yang muncul nanti akan hadir dari arah buruj Gemini (berhampiran dengan buruj Orion).

Jika dilihat menerusi perisian astronomi, buruj Gemini akan terbit sekitar jam 10 malam waktu Malaysia. Menjelang 3 pagi ia akan tinggi hampir tegak di atas kepala.

screen_2013-12-11_at_10.20.38_PM-6

Atas: Kedudukan buruj Gemini di langit sebelah Timur Laut (langit Malaysia) sekitar tengah malam. Untuk tahun ini, buruj ini ditemani oleh planet Musytari yang terang menyilau! Anak panah merah menunjukkan arah laluan meteor-meteor Geminids nanti. Sumber: SkySafari Pro

Rekod untuk tahun-tahun sebelum ini menunjukkan, waktu paling sesuai untuk melihat juraian meteor adalah selepas tengah malam.

Geminids juga merupakan meteor yang mempunyai frekuensi kemunculan meteor per jam yang agak tinggi, iaitu pada purata 120 meteor sejam!

Namun, untuk tahun 2013 ini, kita ada satu masalah besar. Bulan sedang besar mengambang di langit!

screen 2013-12-11 at 10.10.43 PM

Atas: Simulasi fasa bulan yang agak besar pada awal Subuh 14 Dis 2013 nanti. Sumber: SkySafari Pro

Cahaya bulan akan mengganggu penglihatan dan menyukarkan kita melihat kemunculan meteor-meteor ini. Tidak semua meteor yang muncul terang dan mampu menyaingi cahaya bulan. Oleh itu untuk tahun ini, jumlah meteor yang muncul mungkin berkurangan sebanyak 2 hingga 5 kali ganda dari jumlah asal.

Jadi, bilakah waktu yang sesuai untuk mencerap Geminids pada tahun ini?  Jawapannya ialah ketika Bulan sudah terbenam di ufuk barat.

Kiraan saya mendapati, waktu Bulan akan terbenam pada tarikh 13,14 dan 15 Dis adalah seperti berikut (waktu Kuala Lumpur):

  • 13 Disember 2013 (awal pagi hari jumaat) – terbenam lebih kurang 3.30 am
  • 14 Disember 2013 (awal pagi hari Sabtu) – terbenam lebih kurang 4.30 am
  • 15 Disember 2013 (awal pagi hari Ahad) – terbenam lebih kurang 5.15 am

Oleh itu, cubalah adjust waktu cerapan anda dan mulakan aktiviti selepas Bulan terbenam.

Sila rujuk juga artikel-artikel sebelum ini berkenaan dengan meteor, di SINI.

Pihak Balai Cerap Teluk Kemang akan turut mengadakan program pada awal pagi 13,14 dan 15 Disember nanti. Sila rujuk maklumat di bawah.

InsyaAllah saya akan berada di sana pada awal Subuh 14 Disember (hari Sabtu) nanti, untuk mencuba nasib.

Beberapa persatuan astronomi lain, seperti Penang Astronomy tutut mengadakan aktviti.

Walaupun tahun ini cahaya Bulan mungkin mengganggu, serta musim hujan yang agak teruk, saya sarankan jika anda bernasib baik memiliki langit yang baik pada waktu pagi tarikh-tarikh 13,14 dan 15 Disember ini, cubalah jenguk-jenguk di luar. Manalah tahu ada rezeki dapat lihat sebiji dua fireball!

Selamat mencerap!

geminids 2013

 

 

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...