Peluang mencari Zuhrah di siang hari berpandukan Bulan pada 26 Feb 2014

Fenomena Himpunan Samawi

Pada awal Subuh, 26 Februari 2014 nanti, sekali lagi Bulan akan berada berhampiran dengan planet Zuhrah.

Kedua-duanya akan kelihatan indah bersinar di sebelah langit timur. Kebetulan pula Bulan merupakan objek semula jadi yang kedua dan Zuhrah yang ketiga tercerah di langit (selepas matahari).

Masih ingatkan fenomena yang hampir serupa bulan lepas? Pada 29 Jan lalu, kedua-dua objek ini dipisahkan sejauh 3 darjah antara satu sama lain.

moon venus conjunction 29jan2014
Foto di atas menunjukkan suasana fasa (bentuk) planet Zuhrah yang hampir sama dengan Bulan ketika conjunction pada 29 Jan 2014 lepas. ©Shahrin Ahmad

Pada kali ini, ( ketika Subuh ), ia juga dipisah sejauh 3 darjah antara keduanya.

Namun, sesuatu yang istimewa akan berlaku selepas itu!

Pada sekitar jam 2.45 petang, Bulan akan bergerak amat hampir dengan Zuhrah, iaitu lebih kurang 0.3 darjah sahaja! Walaupun ia berlaku pada waktu siang, kedudukan kedua-dua objek ini yang begitu hampir sekali, membolehkan kita mencari planet Zuhrah pada waktu siang, berpandukan Bulan.

Menarik lagi ialah, jika anda menggunakan teleskop, anda akan dapat lihat 2 jasad angkasa berbentuk sabit berada sebelah-menyebelah!

screen 2014-02-18 at 3.15.55 PM
Simulasi keadaan planet Zuhrah yang berada amat hampir dengan Bulan, jika dilihat menerusi teleskop. Kedudukan ini dikira dari lokasi Kuala Lumpur. ©FalakOnline

Namun, saya berpendapat, untuk mencari bulan di waktu tengahari pun agak mencabar. Anda perlu berlindung daripada cahaya terik matahari, disebalik bangunan atau pokok, dan mengharapkan langit bersih dari awan atau jerebu.

Berlindung dari silau terik matahari mungkin dapat membantu mencari Bulan di siang hari. Foto hiasan. Sumber

Semakin ke utara anda berada di Malaysia, semakin hampir jarak kedua-duanya. Malah, menurut pemerhatian saya menerusi perisian Sky Safari, dari lokasi Padang Besar, Perlis, menunjukkan separuh daripada bentuk Zuhrah akan dilindungi oleh jasad Bulan.

screen 2014-02-18 at 3.19.07 PM
Sebahagian daripada jasad Zuhrah akan dihijab oleh Bulan dari lokasi Padang Besar, Perlis. ©FalakOnline

Fenomena ini akan berlaku pada petang dari Rabu. Ini mungkin juga boleh digunakan sebagai aktivit kelab-kelab Astronomi di sekolah-sekolah. Di bawah pengawasan guru yang bertauliah, saya yakin ini fenomena siang hari ini boleh dijadikan pemangkin minat para pelajar sekolah.

Tapi ingat, jangan sekali-kali pandang ke arah matahari! Lebih bahaya lagi, jangan halakan teleskop ke arah matahari, kerana ia boleh menyebabkan mata menjadi buta!

Selamat mencuba.

 

 

 

 

 

0 0 votes
Article Rating
1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Izzuddin Pistachio

boleh tak nak panggil shahrin ahmad ni datang ke sekolah saya bagi ceramah? :v