20 Mac nanti , bintang Regulus akan lenyap selama 14 saat!

Asteroid

Asteroid (163) Erigone akan menutupi bintang Regulus. Sumber

Awas! Sesuatu yang pelik akan berlaku esok, 20 Mac 2014! Bintang Regulus, yang juga merupakan bintang tercerah di dalam buruj Leo akan lenyap dan hilang selama 14 saat!

Apakah yang berlaku? Ia meletup ke? Kena langgar dengan komet ke?

Rupa-rupanya apa yang akan berlaku ialah, sebuah asteroid bernama  asteroid (163) Erigone akan bergerak betul-betul di hadapan bintang Regulus ini, lalu menghalang cahayanya untuk sampai ke Bumi.

Fenomena ini dipanggil sebagai occultation. Dalam istilah bahasa melayunya, ialah penghijaban dan ada juga yang memanggilnya okultasi. Ia sama seperti gerhana matahari, yang mana ketika itu bulan menutupi matahari. Ia juga serupa dengan apa yang berlaku terhadap planet Zuhrah pada akhir Februari lepas.

Rujuk sini:

Menariknya fenomena kali ini ialah, ia berlaku terhadap sebuah bintang yang agak cerah di langit. Kesannya saya rasakan agak dramatik kerana bintang Regulus ini akan hilang dari pandangan secara tiba-tiba!

Simulasi menunjukkan bentuk buruj Leo yang akan ‘kehilangan’ bintang utamanya, Regulus. Sumber

Bilakah ia akan berlaku?

Regulus dijangka akan ‘hilang’ pada 20 Mac 2014, jam 2:06 pm waktu Malaysia. Ini bermakna, kita di Malaysia TIDAK AKAN DAPAT MENYAKSIKANNYA!

Kiraan oleh International Occultation Timing Association (IOTA) menunjukkan ia akan dapat dilihat di sekitar bandar New York, Amerika Syarikat sahaja. Jika kita berada di lokasi lain, asteroid tersebut tidak akan sejajar dengan bintang Regulus.

Sila lihat PETA INI yang menunjukkan kawasan-kawasan yang terlibat.

Namun, saya rasakan pasti akan ada peminat astronomi di sana, yang akan memancarkan fenomena ini secara Live menerusi internet. Oleh itu, kita patut sama-sama mengambil peluang untuk menyaksikan kejadian yang sungguh unik ini.

Adakah asteroid ini akan berlanggar dengan Bumi?

Tidak sama sekali, kerana asteroid (168) Erigone ini akan berada nun jauh 161 JUTA km daripada Bumi, di dalam lingkaran asteroid (di antara planet Marikh dan Musytari)

Maklumat lanjut berkenaan dengan fenomena ini boleh didapati di SINI.

Saya agak teruja dengan fenomena ini kerana, selain daripada ia menarik untuk dilihat, ia juga memberi peluang untuk orang ramai menyumbang data cerapa mereka kepada komuniti astronomi dunia!

Live Streaming oleh Slooh

Kemaskini: 20 Mac 2014 9am

Di bawah merupakan pautan ke Google+ Hangout oleh Slooh yang akan cuba memancarkan fenomena ini secara Live. Namun, berdasarkan berita terkini, cuaca di sekitar New York dijangka berawan. Apa pun kita sama-sama tunggu dan lihat.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...