9 persoalan mengenai Bima Sakti

Musim untuk melihat Bima Sakti dalam suasana yang serba indah semakin mudah setiap hari.

Sekitar bulan April ini, ia sudah berada agak tinggi di langit sebelah Tenggara sekitar jam 4 pagi. Saya jangkakan ramai pakar-pakar fotografi telah dan akan mula merakam dalam pelbagai suasana serba kreatif, untuk perkongsian bersama.

Berdasarkan pos FB berkenaan foto Bima Sakti yang saya sempat rakam di Pulau Tioman baru-baru ini, didapati ramai yang ingin tahu lebih lanjut berkenaan Bima Sakti ini, serta cara untuk melihat dan merakamnya.

Saya cuba rungkaikan segala persoalan tersebut dalam bentuk soal jawab di bawah. Mudah-mudahan ia dapat membantu.

IMG_0521_a

Bima Sakti dari langit Pulau Tioman baru-baru ini. ©Shahrin Ahmad 2014

1. Apakah sebenarnya Bima Sakti?

Bima Sakti merupakan satu jalur panjang yang berbentuk seperti awan, merentasi langit. Ia merupakan gabungan bintang-bintang di dalam galaksi Bima Sakti yang kita duduki sekarang.

Disebabkan bintang-bintang ini terlampau jauh, adalah hampir mustahil untuk kita melihatnya secara individu. Namun, hasil gabungan berbilion bintang ini menghasilkan satu jalur cahaya yang samar-samar kelihatan di langit.

FO-milkyway

Jaluran Bima Sakti, yang merupakan gabungan cahaya jutaan bintang yang amat jauh. ©Shahrin Ahmad 2014 (Pulau Tioman)

2. Adakah ia boleh dilihat dengan mata?

Ya, Bima Sakti boleh dilihat dengan mata dengan mudah sekali DENGAN SYARAT:

  1. Kita berada di kawasan langit yang gelap dan jauh dari pencemaran cahaya yang ‘mencerahkan’ langit.
  2. Tiada silauan cahaya dari sumber cahaya berdekatan seperti lampu jalan atau bangunan.

Anda perlu keluar jauh dari kawasan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bharu, yang mana begitu banyak gangguan cahaya.

Carilah kawasan yang gelap untuk mencerap Bima Sakti! Sumber

3. Saya baru keluar daripada bilik hotel. Di langit kelihatan banyak bintang yang berkelipan, tetapi Bima Sakti tak kelihatan pun! Tipu ke?

Disebabkan cahaya dari Bima Sakti ini agak kelam, mata kita perlu masa untuk sesuaikan dalam suasana yang gelap. Jika kita tergesa-gesa keluar dari kawasan yang banyak lampu, dan terus ke kawasan gelap, hampir pasti ia tidak dapat dilihat.

Secara asasnya, kita perlu tunggu selama 30 minit, barulah anak mata kita terbuka paling maksimum dan dapat mengumpul cahaya dengan banyak. Ketika itu, jumlah bintang di langit seolah-olah menjadi ‘semakin banyak’ dan jaluran Bima Sakti mula ‘muncul’

Oleh itu, sabar-sabarlah! 😉

4. Saya tidak mempunyai teleskop, adakah saya akan selama-lamanya tidak dapat melihat Bima Sakti?

Tidak. Ramai yang salah faham berkenaan bab ini. Bima Sakti merangkumi kawasan yang LUAS, merentasi langit dari ufuk ke ufuk. Maka, teleskop merupakan alat yang PALING TIDAK SESUAI untuk digunakan.

Alat yang terbaik ialah menggunakan mata. Jika anda ada binokular pun, ia akan dapat membantu melihat kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Saya syorkan guna MATA.

5. Bagaimana nak bezakan Bima Sakti dengan awan?

Bima Sakti sebenarnya ialah sebahagian daripada bintang-bintang di langit. Maka, pergerakannya pun sama seperti bintang…. AMAT PERLAHAN.

Awan di langit bumi ini pula bergerak laju kerana ditiup angin. Ia cepat berubah bentuk dan kedudukan, malah hanya dalam jangka beberapa minit sahaja.

mwgif

Pergerakan awan yang laju dalam sela-masa 1 minit 30 sahaja, berbanding Bima Sakti yang kelihatan pegun. ©Shahrin Ahmad 2014

6. Adakah Bima Sakti yang saya lihat menerusi foto-foto itu serupa dengan apa yang dilihat dengan mata?

Selalunya, foto-foto Bima Sakti yang kita lihat di internet menunjukkan ia dalam keadaan yang cerah, berwarna-warni dan terang benderang, seolah-olah menyilau di langit.

Hakikatnya, ia tidaklah kelihatan sebegitu dengan mata. Ini adalah kerana kemampuan mata kita ini terhad melihat objek yang cerah-cerah sahaja, DAN ia tidak sensitif dengan warna dalam suasana gelap (seperti waktu malam).

Kamera pula, amat sensitif dengan cahaya, dan dapat mengumpulnya dengan lebih efisyen. Ia juga sensitif dengan warna walaupun pada waktu malam.

Selain itu, foto-foto ini akan diproses terlebih dahulu, dan disesuaikan kecerahan dan warna, supaya ia nampak lebih jelas berbanding foto asal. Hasilnya jauh berbeza dengan apa yang dapat dilihat dengan mata manusia.

FO-process

Bima Sakti yang sudah diproses (kiri) berbanding dengan foto asal yang belum diproses (kanan) ©Shahrin Ahmad 2014

7. Bila dan pukul berapakah saya boleh melihat Bima Sakti?

Ketika ini (April), ia mula terbit sekitar 2-3 jam sebelum Subuh, dan ia akan terbit semakin awal terbit setiap hari.

Cuba guna perisian seperti Stellarium untuk kenalpasti tarikh, waktu dan arah mana di langit yang terletaknya laluan Bima Sakti ini.

Jadual di bawah merupakan waktu dan ketika kawasan Bima Sakti yang tercerah (iaitu di kawasan buruj Scorpio dan Sagittarius) berada di kedudukan tertinggi di langit.

almanak2014.003

Jadual Bima Sakti berada di kedudukan paling optimum

 

8. Jika Bima Sakti ini merentasi langit, kenapa ada kawasannya yang senang dilihat, dan ada yang susah untuk dilihat?

Disebabkan Bumi terletak di penjuru Bima Sakti, ada kawasan langit yang kelihatan penuh dengan bintang (seperti arah ke pusat Bima Sakti) dan ada kawasan yang kurang bintang (seperti ke arah luar Bima Sakti).

Dari langit bumi, kawasan langit selatan, terutama di sekitar buruj Scorpio dan Sagittarius merupakan kawasan yang mengadap ke pusat Bima Sakti. Manakala di sekitar buruj Orion, ia sedang mengadap ke luar.

Cuba lihat video di bawah, yang menggambarkan penerbangan kita dari langit Bumi dengan menggunakan kawasan buruj Orion sebagai titik permulaan. Perlahan-lahan kita mula terbang ke kawasan luar Bima Sakti (iaitu sekitar minit ke 1:45)

9. Bagaimana cara untuk mengambil gambar Bima Sakti?

Foto Bima Sakti merupakan objek langit lama yang PALING SENANG untuk dirakam, berbanding dengan objek-objek lain. Sesiapa sahaja yang mempunyai kamera DSLR boleh melakukannya. Secara asasnya:

  • Model DSLR yang biasa seperti Canon EOS 1100 atau Nikon D3100 pun dah boleh digunakan. Kamera telefon bimbit tidak boleh digunakan!
  • Guna lensa wide angle. Jangan guna zoom lens.
  • Set kamera ke mode M (Manual)
  • Set aperture nilai serendah/sekecil yang mungkin. Jika lens anda mampu set pada f/1.8, maka lakukan!
  • Set ISO setinggi yang mungkin, yang sesuai dengan kemampuan kamera masing-masing. Selalunya ISO3200 adalah nilai yang agak OK sebagai permulaan.
  • Set waktu dedahan (exposure) sekitar 20-30 saat. Guna tips 600 rules untuk elak bintang-bintang menjadi ‘tidak bulat’
  • Set fokus ke MANUAL, dan fokuskan ke infiniti. Jika kamera anda mempunyai Live View, halakan ke arah bintang-bintang yang cerah, dan set fokus kearahnya terlebih dahulu.
  • Guna tripod kamera.
  • Jangan lupa ambil gambar! 🙂

Wallahualam.

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...