Travelog: Expedisi menjejak fenomena Bulan menyentuh (sikit) planet Zuhrah

Perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Perlis, di dalam suasana kepanasan yang agak melampau, yang sedang dialami Semenanjung Malaysia minggu lepas, akhirnya membuahkan hasil.

Pada asalnya, saya tidak terfikir untuk merancang sebarang expedisi untuk melihat fenomena grazing occultation planet Zuhrah. Namun, setelah berbalas mesej dan twitter dengan penulis laman web UniverseToday, +David Dickinson , saya pun mengambil keputusan untuk pergi merakam setakat mana yang boleh terhadap sebuah fenomena yang jarang-jarang dapat dilihat dari langit Malaysia.

Saya sampai di Kangar sehari sebelum kejadian. Kesihatan yang tidak begitu lancar kebelakangan ini, tidak memungkinkan saya turun last minute. Sekurang-kurangnya kena ada 1 hari untuk berehat.

Alhamdulillah, expedisi ini dapat sokongan dan diikuti oleh sahabat-sahabat dari bahagian Falak, Jabatan Mufti Pulau Pinang dan Jabatan Mufti Kedah, serta Perlis. Terima kasih diucapkan kepada mereka atas kesudian untuk bersama-sama melihat kebesaran Ilahi.

screen 2014-03-04 at 8.43.15 PM

Lokasi cerapan di Perlis.

Lokasi yang dipilih ialah di Timah Tasoh Resort. Berdasarkan kiraan falak, laluan Bulan akan melintasi di hadapan planet Zuhrah. Namun, begitu ia masih tidak cukup untuk menutupi keseluruhan Zuhrah, hanya sedikit kurang dari separuh sahaja yang akan ditutupi.

Cuaca di Perlis pada sehari sebelum fenomena ini amat panas, dan sedikit sahaja awan-awan yang kelihatan. Namun, apa yang agak merisaukan saya ialah kehadiran asap-asap kebakaran yang begitu banyak di sekitar kawasan ini.

Jika angin meniupnya ke arah lokasi cerapan, ia mungkin akan menyebabkan suasana langit kurang jelas, berjerebu.

PANO_20140226_083141

Susana langit di belakang hotel Seri Malaysia, Kangar ©Shahrin Ahmad

PANO_20140225_180125

Asap-asap yang muncul dari kawasan bukit arah sempadan Malaysia-Thailand. ©Shahrin Ahmad

Pada Subuh hari Rabu, 26 Feb 2014, saya mengambil kesempatan melihat posisi pasangan Bulan & Zuhrah di ufuk timur.

Nyata sekali formasi kedua-duanya sungguh indah dan mengasyikkan.

moon-venus-26feb2014-closeup

Suasana pasangan Bulan dan Zuhrah. menerusi lens Tamron @Shahrin Ahmad

Foto di atas di-set pada waktu dedahan yang agak lama untuk menunjukkan kesan Earthshine yang mudah kelihatan ketika bulan dalam fasa sabit yang halus.

Agak terkilan kerana saya tertinggal T-Ring adapter yang membolehkan saya sambungkan kamera DSLR dengan teleskop TS65Q yang dibawa sekali. Geleng kepala aje apabila difikirkan bagaimana boleh tertinggal komponen yang amat crucial ini!

moon-venus-26feb2014 copy

Usaha yang tak seberapa ini, dapat merakam Bulan, Zuhrah, kelibat buruj Scorpio dan Sagittarium, ada sedikit Bima Sakti yang kelihatan, dan sebuah meteor berhampiran dengan tiang dan bendera sebelah kiri itu. ©Shahrin Ahmad

IMG_20140226_070808 copy

Bulan dan Zuhrah amat terang di langit menjelang matahari terbit, sehinggakan dengan hanya menggunakan kamera telefon bimbit pun sudah boleh merakamnya! Foto ini dirakam menggunakan telefon Nexus 4 di perkarangan hotel Seri Malaysia, Kangar. ©Shahrin Ahmad

 

Apabila sampai di Timah Tasoh pada sekitar jam 1 tengahari, suasana panas terik. Namun, kelihatan bibit-bibit awan di ufuk utara dan timur. Berbeza dengan semalam, yang mana tiada awan langsung yang kelihatan!

Saya dan rakan-rakan dari Jabatan Mufti Pulau Pinang dan Kedah mula memasang peralatan masing-masing.

IMG_20140226_134216 copy

Suasana sekitar lokasi cerapan ©Shahrin Ahmad

screen 2014-03-04 at 3.58.08 PM

Sahabat Falak dari Jabatan Mufti Pulau Pinang, dan Kedah ©Shahrin Ahmad

 

Alat yang saya gunakan ialah kamera IMG132e, yang dipasang pada teleskop TS65Q Astrograph. Panjang fokus teleskop itu seumpama lensa 420mm, terlalu pendek. Maka, saya terpaksa menggunakan lens tambahan, barlow 2X untuk menjadikan F=840mm.

Teleskop dan kamera ini dipasang pada mount SmartEQ Pro ( yang saya gunakan untuk cerapan gerhana matahari cincin di Australia tahun 2013 yang lalu).

Rakaman video ini dibuat menggunakan perisian IMG132e yang boleh dimuat turun di laman web QHYCCD.

IMG_20140226_142036 copy

Peralatan yang digunakan untuk rakaman video ©Shahrin Ahmad

Apabila sampai detik 2.40pm, planet Zuhrah pun mula kelihatan ‘tersentuh’ sedikit oleh jasad Bulan.

Saya menumpukan sepenuhnya untuk merakam menerusi kamera video IMG132e. Namun, saya dapati suasana panas ketika itu, menyebabkan keadaan langit ‘bergelora’ dan tidak tenang. Selain itu, angin bertiup agak kuat sepanjang cerapan kami. Faktor-faktor ini menyebabkan video yang dirakam kelihatan ‘melompat-lompat’.

screen 2014-03-04 at 8.55.05 PM

Planet Zuhrah, yang kelihatan ‘terpotong’ sedikit oleh jasad Bulan yang kelihatan samar-samar. ©Shahrin Ahmad

Apabila menghampiri sahaja 2.49 pm, saat ketika Bulan mula menjauhi Zuhrah, sekelompok awan mula menutupi ngam-ngam di lokasi langit di mana letaknya Bulan & Zuhrah! Seolah-olah menandakan tamatlah waktu fenomena.

Di bawah ialah video suasana di sepanjang grazing occultation yang berlaku. Ia turut mendapat perhatian laman web UniverseToday dan dipaparkan di sana.

YouTube Preview Image

Alhamdulillah, secara amnya, expedisi ini dikira berjaya dapat juga merakam fenomena yang jarang-jarang berlaku ini. Walaupun hasilnya tidaklah tinggi kualiti sepertimana pakar-pakar astrofoto lain, tetapi sekurang-kurangnya dapat dikongsi kepada para peminat astronomi lain yang tidak berpeluang melihatnya sendiri.

Fenomena yang sama akan berlaku terhadap planet Zuhrah pada 23 Oktober 2014 nanti, TETAPI ia berlaku amat hampir dengan matahari (hanya dipisahkan 1 darjah sahaja), maka mustahil untuk dilihat. Selain itu, waktu ia berlaku pun sebelah malam bagi kita di Malaysia.

Jika anda hendak juga melihat fenomena ini lagi, ia akan berlaku selepas ini pada 19 Julai 2015, tetapi di hanya kelihatan di siang hari dari kawasan negara Australia! 🙂

Begitulah adatnya dalam dunia astronomi. Tidak semua fenomena yang dapat dirakam atau dilihat. Kita hanya mampu merancang, namun Allah SWT jualah yang menentukan sejauh mana rezeki kita nanti.

Terima kasih Perlis, InsyaAllah akan saya kunjungi lagi.

moon mercury 28feb2014 - group photo copy

Pasukan penjejak Venus 2014! 🙂 ©Shahrin Ahmad

 

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...