Asteroid bergelang Chariklo

asteroid-chariklo-rings

Ilustrasi yang menunjukkan sistem gelang yang mengelilingi asteroid Chariklo. Sumber

Pada suatu ketika dahulu, kita sering diajar mengenai satu-satunya planet yang mempunyai gelang di sekelilingnya, iaitu planet Zuhal.

Pada tahun 1977, sekumpulan ahli astronomi telah menemui gelang di planet Uranus pula! Ia telah disahkan oleh kapal angkasa Voyager 2 pada tahun 1986.

Kemudian pada 1979, apabila kapal angkasa Voyager 1 melewati planet Musytari, ia terjumpa satu set gelang mengelilingi planet gergasi ini pula! Gelang planet Musytari terlalu kelam dan mustahil untuk dilihat dari Bumi.

Pada tahun 1989, Voyager 2 sekali lagi telah mengesahkan satu lagi kewujudan gelang, kali ini di planet Neptune. Ia mula dikesan sekitar tahun 1984 dari pemerhatian dari Bumi.

Maka, 4 buah planet bergas, lengkap mempunyai sistem gelang masing-masing.

95393-004-B557150A

4 planet bergas, semuanya mempunyai gelang. Sumber

Fast forward 25 tahun kemudian, sebuah lagi penemuan sistem gelang baru telah dijumpai. Namun kali ini ia tidak mengelilingi sebuah planet, tetapi ia berada di keliling sebuah asteroid!

Apa? Asteroid bergelang? Ya, itulah yang diumumkan oleh baru-baru ini.

Saya terlewat sikit untuk menulis artikel ini, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan (sebenarnya baru balik bercuti 😉  )

Ok, kembali ke berita yang cukup mengujakan ini. Asteroid yang dimaksudkan di sini bernama Chariklo. Ia merupakan salah satu daripada keluarga asteroid yang digelar Centaur.


Centaur ni apa?

 

Asteroid jenis Centaur ini mempunyai orbit yang jauh melepasi orbit planet Musytari. Ia tidak ikut laluan standard kebanyakan asteroid lain, iaitu di kawasan antara orbit planet Marikh dan Musytari.

Asteroid jenis ini juga agak pelik, kerana walaupun ia terdiri daripada batu-batan, namun sesetengahnya kelihatan menghasilkan ‘kepulan awan nipis’ disekelilingnya, seperti sebuah komet!

Asteroid Chariklo ini adalah yang terbesar di kalangan keluarga Centaur ini, iaitu bersaiz sekitar 260km.

(Ok, bab Centaur ni InsyaAllah akan ada artikel lain)


Bagaimana saintis boleh menemui gelang di sekeliling Chariklo?

 

Jika dilihat dari bumi, asteroid merupakan objek yang sangat kecil, malah ia hanya kelihatan tidak lebih seperti satu titik menyerupai bintang sahaja.

Namun, kadang kala, asteroid-asteroid ini akan melintasi dihadapan objek lain seperti bintang. Apabila ini berlaku, cahaya bintang berkenaan akan terhalang seketika.

Fenomena ini dipanggil sebagai occultation.

Chariklo-occultation-moment-ESO-400x240

Asteroid Chariklo yang melintasi di hadapan sebuah bintang, telah menghalang cahaya bintang tersebut. Credit ESO

Ia boleh berlaku antara di antara objek-objek sistem solar dengan bintang, dan juga di antara 2 objek sistem suria (contoh terbaru ialah planet Zuhrah yang ‘hampir’ dilindungi Bulan baru-baru ini).

Apa yang menarik di sini ialah, dengan memerhatikan sejauh mana cahaya bintang itu pudar atau hilang, kita boleh dapat tahu ciri-ciri seperti saiz dan bentuk asteroid tersebut.

Beberapa tahun lepas, ahli astronomi telah mengira laluan orbit asteroid ini dan mendapati ia akan melintasi di hadapan sebuah bintang yang agak cerah, bernama UCAC4 248-108672, pada 3 Jun 2013.

Namun, disebabkan trigonometri kedudukan antara Bumi, Chariklo dan bintang UCAC4 248-108672, fenomena occultation ini hanya dapat dilihat dari kawasan Amerika Selatan.

Ahli astronomi akan menyukat kecerahan bintang tersebut dan waktunya. Hasilnya ialah sebuah graf yang bermula dengan garisan lurus (kecerahan bintang yang konsisten) dan kemudian pada saat asteroid itu bergerak di hadapannya, graf itu akan melengkung ke bawah (yang menunjukkan cahaya bintang itu mula pudar), dan kemudian akan naik semula dan seterusnya ia lurus kembali (apabila keseluruhan asteroid itu sudah mula bergerak dari hadapan bintang itu).

Namun, apabila pasukan saintis yang diketuai oleh Felipe Braga-Ribas, dari National Observatory Brazil menghalakan peralatan rakaman dan teleskop mereka ke arah asteroid ini, bentuk graf yang terhasil menunjukkan sesuatu yang berlainan.

Graf sebenar daripada data yang diperolehi, menunjukkan selain daripada lengkungan utama di bahagian tengah, terdapat 2 lagi lengkungan lain yang sama jaraknya di kiri dan kanannya. Ini bukti paling jelas menunjukkan kewujudan satu sistem gelang di keliling Chariklo. Sumber

Malah, jika kita perhatikan graf ini dengan lebih teliti, lengkungan yang kelihatan itu bukan 3 tetapi ada 5 kesemuanya!

Braga-Ribas berkata “Penemuan ini menunjukkan bahawa saiz bukanlah faktor penting untuk memiliki – ataupun tidak memiliki – sistem gelang”

Sistem gelang berkembar.

Rumusan yang boleh dibuat di sini ialah asteroid Chariklo bukan hanya mempunyai satu sistem gelang, tetapi memiliki 2 sistem gelang, yang terdiri daripada:

  • Gelang selebar 3.5km dan berada 405km dari permukaan asteroid ini.
  • Gelang selebar 6.5km dan berada lebih hampir, iaitu 390km dari permukaan asteroid.

Ini bermakna, asteroid Chariklo merupakan objek  paling kecil di dalam sistem suria yang memiliki sistem gelang, setakat hari ini!

Ia mungkin terbentuk hasil daripada hentaman beberapa objek kecil yang menghasilkan debu-debu halus, yang seterusnya bergerak mengelilingi asteroid ini di bawah pengaruh gravitinya!


Bulan asteroid Chariklo?

 

Phil Plait, penulis Bad Astronomy, turut menunjukkan sesuatu yang menarik berkenaan sistem gelang ini. Beliau menyatakan gelang-gelang ini terpisah antara satu sama lain, seolah-olah ada satu kawasan ‘kosong’ di antara keduanya.

Bentuk ini serupa dengan apa yang dapat dilihat pada sistem gelang planet Zuhal. Ahli astronomi sudah lama merumuskan, kawasan ‘kosong’ antara gelang-gelang ini, selalunya dihasilkan oleh kesan graviti bulan-bulan kecil yang bergerak di dalam kawasan tersebut.

Bulan-bulan kecil ini seolah-olah bertindak seperti ‘pengembala’ atau sherpeding , iaitu tarikan gravitinya akan mengawal habuk dan debu yang berada dalam sistem gelang ini daripada bercantum atau bertaburan ke sana-sini.

Oleh itu, disebabkan sistem gelang berkembar asteroid Chariklo ini menunjukkan ciri-ciri yang serupa, maka ini juga mungkin petunjuk jelas bahawa terdapat bulan (atau sekumpulan bulan) yang kecil, mungkin sebesar 1 km sahaja, yang mengorbit asteroid ini!

Kajian ini telah diterbit atas talian pada 26 Mac 2014, menerusi jurnal Nature.

Laman web Space.com turut membawa berita penemuan ini, dan mempunyai lebih banyak penerangan menarik dan terperinci mengenainya.

Video oleh ESO di bawah ini pun cukup menarik untuk ditonton, terutama untuk kita melihat gambaran dan visual sistem gelang ini dalam bentuk animasi 3D.

 


Pentingnya berilmu

 

Penemuan gelang mengelilingi sebuah asteroid yang terletak jauh di antara orbit Zuhal dan Uranus ini, merupakan satu usaha bersepadu yang mengkagumkan di antara kemampuan teknologi cerapan terkini, kiraan data yang tepat, serta kemampuan menghuraikan data ke bentuk maklumat yang selari dengan kemampuan pemikiran manusia hari ini.

Inilah ciri-ciri seorang ulul albab, walaupun yang membuat penemuan ini bukan dari golongan Islam. Alangkah ruginya jika umat Islam hari ini masih dibuai cerita-cerita mistik atau cerita yang tidak mempunyai sumber yang jelas, lalu menjadikan ia sebagai hujah.

Sampai bilakah umat ini terpaksa menjadi pengikut dan bukannya peneraju ilmu? Fikir-fikirkan.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...