Marikh akan melintasi masuk ke dalam ekor komet!

Jika ada Martians di permukaan planet Marikh pada bulan Oktober nanti, pasti mereka akan menjadi saksi suatu kejadian yang cukup menakjubkan!

Apa dia?

Pada tahun 2013 lepas, sebuah komet baru ditemui oleh penemu komet tersohor dunia, Robers McNaught menggunakan teleskop di Siding Spring Observatory di Australia. Komet yang diberi nama C/2013 A1 Siding Spring ini, berada di dalam satu pusingan orbit mengelilingi matahari yang mengambil masa lebih kurang 1 juta tahun.

Robert McNaught bersama teleskop Uppsala Schmidt di Balai Cerap Siding Spring, Australia. Sumber

Berdasarkan kiraan falak, pada pertengahan tahun 2014 ini, Komet Siding Spring  akan berada di kedudukan paling hampir dengan Bumi, iaitu pada jarak 209 juta km, iaitu lebih daripada 500 kali ganda lebih jauh dari Bulan.

Tak perlu risau apa-apa!

Apakah yang akan berlaku di Marikh?

Berbalik kepada persoalan utama, iaitu apakah kaitan komet ini dengan planet Marikh?

Setelah beberapa pencerapan dibuat terhadap orbit komet ini, ahli astronomi mendapati, pada 19 Oktober 2014 nanti, ia akan berada amat hampir dengan planet Marikh. Malah, kiraan terkini menunjukkan ia akan berada hanya 135,000 km sahaja daripada permukaan planet Marikh. Jarak itu kurang daripada SEPARUH jarak Bumi ke Bulan!

Ilustrasi menunjukkan orbit Komet Siding Spring yang akan melintasi berhampiran dengan Marikh pada bulan Oktober 2014 nanti. Kredit: NASA

Lebih menarik, keseluruhan planet Marikh dijangka akan bergerak atau melintasi MASUK KE DALAM EKOR Komet Siding Spring!

Kesannya terhadap Marikh?

Jika sesiapa yang belajar ilmu astronomi, pasti tahu jika Bumi melintasi di dalam laluan orbit sesebuah komet, debu-debu dan habuk-habuk halus peninggalan komet itu akan menghasilkan meteor yang banyak, apabila ia berlanggar dengan atmosfera bumi.

Namun, dalam kes Komet Siding Spring dengan Marikh ini, debu dan habuk tersebut masih lagi fresh dan baru sahaja terpisah keluar daripada jasad komet itu sendiri.

Maknanya, bagi sesiapa yang memandang ke langit Marikh pada tarikh 19 Oktober itu nanti, mereka akan menyaksikan sebuah RIBUT Meteor yang sungguh menakjubkan, di samping kehadiran sebuah Komet yang amat besar merentasi langitnya!

Mungkin inikah yang akan dilihat oleh robot-robot angkasa di permukaan Marikh pada bulan Oktober 2014 nanti? Sumber

Malah, perkataan RIBUT itu sendiri dikatakan masih terlalu ‘normal’ jika hendak dibandingkan dengan intensiti sebenar yang bakal berlaku!

Bagaimana pula dengan jujukan prob angkasa yang sedang mengorbit Marikh sekarang?

Terdapat 2 buah prob angkasa, Mars Reconnaissance Orbiter (NASA) dan Mars Express (ESA), yang kini sedang giat mengkaji planet Marikh. Kedua-duanya dijangka akan mengalami kesan secara langsung daripada lintasan ekor Komet Siding Spring ini.

Walaupun saiz debu dan habuk komet ini hanya dalam sekitar 1 hingga 1/10,000 cm sahaja, ia akan bergerak pada kelajuan 200,000 km/jam! Pada kadar kelajuan ini, jika ia berlanggar dengan peranti-peranti di prob angkasa ini boleh mengakibatkan kerosakan besar!

Itulah mengapa para pengendali prob ini sedang giat mencari jalan selamat, untuk memastikan tiada kerosakan yang akan berlaku terhadap kedua-dua pesawat ini.

Adakah kita di Bumi dapat melihatnya?

Komet Siding Spring ini dijangka akan memuncak pada tahap kecerahan sekitar magnitud 7.5. Pada tahap ini, ia dijangka mudah untuk dilihat menerusi Binokular (tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kasar).

Graf jangkaan kecerahan Komet Siding Spring. Sumber

Namun, apa yang menarik perhatian saya ialah, berdasarkan simulasi Sky Safari di bawah, pada tarikh 19 Oktober nanti, bukan sahaja Marikh dan Komet Siding Spring ini akan berada pada kedudukan YANG SAMA, kedua-duanya juga berada pada kawasan langit yang dilintasi jaluran Bima Sakti!

screen 2014-04-06 at 12.12.31 PM

Kedudukan planet Marikh dan Komet Siding Spring pada waktu Isya’, 19 Oktober 2014 nanti! ©FalakOnline

Sungguh fotogenik sekali! Saya kira ini peluang yang baik bagi anda yang tidak pernah merakam komet, untuk mencubanya nanti!

Malah, sekarang ini pun sudah begitu ramai ahli astronomi amatur sudah mula merakam perjalanan komet ini. Di bawah merupakan foto yang dirakam oleh seorang ahli astronomi amatur Rolando Ligustri pada 4 Mac 2014 lepas.

Comet C/2013 A1 Siding Spring dirakam dari Australia pada 4 Mac 2014. Kredit: Rolando Ligustri

Jangan lupa ikut perkembangan terkini Komet Siding Spring ini di laman web Falak Online dari semasa ke semasa!

 

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...