Destinasi Rosetta – Komet 65P/Churyumov–Gerasimenko

Berita Misi Angkasa Sistem Solar

Masih ingatkan misi probe angkasa Rosetta, yang masa kini dalam perjalanan menuju ke Komet 67P/Churyumov–Gerasimenko ?

Selain daripada berita bagaimana para saintis begitu teruja menunggu kapal angkasa ini ‘bangun dari tidur’ (Sila rujuk SINI) , kini semua mata tertumpu kepada target utamanya iaitu Komet 67P.

Laporan daripada ESA pada 15 Mei 2014 lepas menyatakan Komet 67P ini sudah mula menunjukkan ciri-ciri sebuah ‘komet’, iaitu ia mula menghasilkan kepulan debu di sekeliling nukleusnya, yang dipanggil sebagai koma.

Turutan imej bermula dari 27 Mac hingga 4 Mei yang menunjukkan kemunculan koma: Sumber ESA

Foto di atas menunjukkan turutan imej bermula dari 27 Mac lepas hinggalah 4 Mei yang lalu, jelas menunjukkan penghasilan debu koma. Ketika masa yang sama, kapal angkasa Rosetta mula menghampiri ke komet tersebut dari jarak 5 juta km hingga 2 juta km.

Fakta menarik di sini ialah, pada imej terakhir di dalam turutan imej tersebut, habuk komanya sudah mula mengembang sejauh 1300km ke sekelilingnya. Nukleus komet ini hanyalah sekitar 4 km dan sebenarnya masih belum kelihatan di dalam imej itu.

Komet ini amat kelam dan mustahil untuk dilihat dengan mata. Kita perlukan teleskop yang agak besar kerana ia tidak akan bersinar lebih terang daripada magnitud 12.

Walaupun jarak Komet 65P ini masih jauh, iaitu sekitar 600 juta km daripada matahari, iaitu lebih kurang 4 kali ganda jarak matahari-bumi, permukaannya sudah semakin panas dan menyebabkan lapisan aisnya meruap menjadi gas dan terlepas ke angkasa lepas.

Dalam bulan November 2014 nanti, Rosetta akan melancarkan sebuah lagi robot kecil, dipanggil Philae, yang akan mendarat di permukaan komet itu dan menjalankan kajian terhadap rupa bentuk, dan komponen-komponen sesebuah komet.

Nantikan berita-berita lebih lanjut menjelang pendaratan ini.

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments