Meteor baru – Camerlopardalids – bakal muncul 24 Mei nanti – mungkin

Kecoh satu dunia yang sedang menanti kemunculan ‘meteor baru’ pada 23/24 Mei 2014 nanti.

Contoh meteor yang berjaya dirakam. Photo oleh Mark Gee

Meteor yang diberi nama Camelopardalids, yang dikatakan muncul dari sebuah komet bernama 209P/LINEAR ini, dijangka akan menghasilkan antara 100-400 meteor sejam.

Ini merupakan jumlah yang banyak! Malah jauh lebih banyak berbanding juraian meteor lain.

Keunikan meteor baru ini ialah sebelum ini Bumi tidak pernah berselisih langsung dengan habuk dan debu komet tersebut. Cuma tahun ini, menurut pengiraan ahli astronomi, laluan habuk dan debu ini akan bersilang dengan orbit bumi, lalu berlanggar dengan atmosfera dan terbakar, menghasilkan juraian meteor (tahi bintang).

Sedikit sejarah mengenai komet ini. Ia ditemui pada tahun 2004 dan mengelilingi matahari di dalam orbit yang mengambil masa 5 tahun. Pada 29 Mei 2014 nanti, ia akan melintasi hampir dengan Bumi (pada jarak 8.3 JUTA km). Tiada perlanggaran akan berlaku kerana jarak ini amat jauh, namun cukup dekat untuk membolehkan Bumi memasuki kawasan habuk dan debunya.

Komet 209P/LINEAR melintasi orbit bumi pada awal Mei 2014. 2 minggu kemudian, habuk dan debu peninggalannya akan dirempuh oleh Bumi dan MUNGKIN akan menghasilkan meteor yang banyak. Rajah oleh NASA / JPL / Horizons

Ok, di sinilah beberapa isu mula timbul. Walaupun jumlah yang muncul dijangka banyak, tetapi saat dan ketika ia berada pada waktu puncak juraiannya ialah pada jam 3.20PM Waktu Malaysia.

Siang!

Maknanya mereka yang hanya berada di hemisfera barat sahaja (seperti US dan Kanada) berpeluang menyaksinya kerana ketika itu waktu malam di sana.

Perhatikan kawasan malam bumi di dalam rajah di atas, yang menunjukkan kawasan hemisfera barat mempunyai peluang lebih cerah melihat meteor ini, berbanding Malaysia

 

Rajah di bawah menunjukkan peta dunia dan lokasi yang berpotensi untuk melihat juraian meteor ini

2DMap_full

Nampak gaya, memang Malaysia berada di luar zon kenampakan meteor Camelopardalis: Sumber

Kita di Malaysia, MUNGKIN akan terlepas peluang melihat jumlah juraian yang banyak.

Saya ingin tekankan perkataan MUNGKIN di sini, kerana

i. Disebabkan ini merupakan kemunculan kali pertama meteor ini di langit, maka kita tidak dapat mengagak dengan tepat kuantiti habuk/debu.

ii. Walaupun waktu puncaknya berlaku ketika waktu siang di Malaysia, TETAPI ia MUNGKIN boleh berlanjutan sehingga ke waktu malam 24hb dan ke waktu Subuh 25hb nanti.

UPDATE 24 Mei 2014: Ada kesilapan teknikal dari saya ketika di temuramah oleh Astro Awani semalam. Waktu Puncaknya ialah 3.20pm 24 April 2014, Sabtu (bukannnya hari Jumaat). Lihat video di bawah

Saya tidak berani memberi jaminan meteor ini akan jadi SUNGGUH AWESOME atau SEDAKAR MASAM-MASAM, tetapi jangan jadikan ia sebagai halangan untuk anda pergi mencuba melihatnya.

masi_209PLINEAR_17may2014.jpg.CROP.original-original

Komet 209P?LINEAR pada 17 May 2014. Foto oleh Gianluca Masi, The Virtual Telescope Project

Caranya?

i. Cari kawasan gelap dan tiada gangguan cahaya langsung
ii. Bentang tikar dan baring menghadap ke langit.
iii. Walaupun meteor ini dijangka MUNCUL dari langit Utara, anda tak perlu fokus ke situ, kawasan langit lain pun OK.
iv. Mulalah cerapan bermula tengah malam hingga ke Subuh.
v. Hanya perlu lihat dengan mata sahaja, tak perlu teleskop.
vi. Nak ambik gambar? Gunalah kamera yang memiliki kanta wide-angle, dan set waktu dedahan 30 saat ke atas.

Semoga berjaya!

Rujukan lain.

http://earthsky.org/space/comet-209p-linear-meteor-shower-storm-may-2014

http://www.slate.com/blogs/bad_astronomy/2014/05/20/camelopardalids_a_new_meteor_shower_from_comet_209p_linear.html

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...