Pluto mungkin akan kembali menjadi Planet!

Hari ini, saya terlihat pos yang dikongsi oleh ahli astronomi UK, Nick Howes, berkenaan dengan ura-ura planet kerdil, Pluto akan dimasukkan kembali dalam keluarga ‘planet’.

Menurut laporan daripada pautan ke laman Scientific American, beberapa penemuan terkini, terutama dengan apa yang diperolehi daripada misi Teleskop Angkasa Hubble, telah menunjukkan Pluto ini bukan calang-calang ‘orangnya’.

Turun Pangkat

Pada 2006, sebuah mesyuarat di kalangan ahli-ahli astronomi dunia telah memutuskan bahawa Pluto akan dikeluarkan daripada status ‘planet’ dan dimasukkan ke dalam kumpulan baru yang dipanggil ‘planet kerdil’. Namun, terdapat ramai di kalangan ahli astronomi lain yang tidak bersetuju dan menandatangangi sebuah petisyen menolak syor tersebut.

Jadi, apakah yang menyebabkan kedengaran ura-ura yang mahu kembalikan Pluto ke status ‘planet’?

Suasana ketika undian dibuat untuk menentukan status Pluto. Sumber

Bulan

Antaranya ialah jumlah bulannya. Pluto kini mempunyai sekurang-kurangnya 5 buah bulan! Jumlah yang agak besar untuk sesebuah objek yang hanya diklasifikasikan sebagai ‘planet kerdil’!

Dahulunya kita hanya tahu Pluto mempunyai sebuah bulan bernama Charon. Namun dengan kemajuan teknologi hari ini, kita telah berjaya menemui 4 buah bulan lain mengelilinginya.

Nama bulan-bulan bagi Pluto

Saiz

Selain itu, Pluto juga merupakan kekal menjadi objek (world)  yang paling besar mengorbit di dalam kawasan belakang daripada orbit planet Neptune. Pada tahun 2005 lepas, apabila Eris ditemui, ramai menyangkakan Eris mungkin sama saiz, malah lebih besar daripada Pluto.

Namun, setelah lebih banyak pemerhatian dibuat, kini jelas Eris tidaklah sebesar yang disangka, dan Pluto kini kekal objek yang paling besar di dalam kawasan nun jauh di belakang Neptune.

Perbandingan saiz Pluto dengan planet-planet berbatu lain. Nota. Perhatikan rajah ini masih menggambarkan Eris lebih besar daripada Pluto. Sumber

Atmosfera

Pluto mempunyai atmosfera! Walaupun pelik bunyinya tetapi hakikatnya ialah Pluto tetap mempunyai sebuah lapisan atmosfera nipis yang terdiri daripada gas metana. Sesuatu keadaan yang boleh dianggap agak janggal jika ia dimasukkan ke dalam kumpulan ‘planet kerdil’.

Gambaran artis suasana permukaan Pluto. Sumber

Julai 2015

Walau apa pun, kita tunggu sahaja menjelang Julai 2015 apabila misi angkasa “New Horizon” akan melawati Pluto dan sekitanya. Ketika itu barulah kita akan dapat tahu dengan pastinya keadaan fizikalnya. Saya dapat rasakan, banyak lagi ‘rahsia’ Pluto akan mula terbongkar nanti!

new_horizons

Misi New Horizon, yang dijadualkan akan tiba di Pluto pada Julai 2015 nanti.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...