Marikh, Zuhal dan Bulan menyambut 31 Ogos bersama-sama! Jom tengok!

Planet Marikh dan Zuhal sekarang berada di kawasan langit sebelah barat, dan semakin hari ia akan menjadi semakin rendah.

Walaupun begitu, kedua-dua planet ini tetap senang dan segar di pandang. Anda tidak mungkin akan terkeliru dengan bintang-bintang lain kerana tiada susunan bintang atau buruj yang mengandungi 2 objek cerah (satu berwarna merah dan satu lagi kekuningan) yang terletak dekat antara satu sama lain.

Semalam, 27 Ogos 2014, langit agak ok di sekitar kawasan saya. Menggunakan teleskop TS65Q dan kamera DSRL, saya telah merakam kedua-dua planet ini dalam satu frame yang sama.

mars-saturn-27aug2014-2045myt-F420mm-5dmkii

Marikh (kiri) dan Zuhal. © shahgazer.net

Saya amat sukakan pandangan ini, kerana jelas kelihatan perbezaan warna yang berlainan antara kedua-duanya. Selain daripada itu, langit di kawasan sekitarnya tidak kosong, tetapi penuh berterabur dengan bintang-bintang di angkasa raya.

Walaupun nampak dekat, tetapi hakikatnya, kedudukan kedua-dua planet ini amat jauh! Bayangkanlah, cahaya dari Marikh terpaksa mengambil masa 11 minit, manakala cahaya dari Zuhal pula mengambil masa 85 minit! Itu belum lagi cahaya dari bintang-bintang lain dalam gambar tu!

Marikh dan Zuhal kini semakin merenggang dan tidak lama lagi, mustahil untuk memuatkan kedua-duanya menerusi teleskop yang saya gunakan ini. Namun, jika anda menggunakan lensa kamera sekitar 200mm, masih boleh menangkap kedua-duanya sekaligus buat beberapa minggu lagi.

Menjengah sebentar perisian astronomi yang sedia ada, didapati Bulan akan berada berhampiran dengan kedua-dua buah planet ini pada 31 Ogos 2014 nanti.

screen 2014-08-28 at 11.28.47 AM

Pandangan mata kasar ke arah Barat Daya, sekitar waktu Isya’ pada 31 Ogos 2014 (Simulasi Sky Safari) ©FalakOnline

Rajah di atas menunjukkan susunan Bulan, Zuhal dan Marikh, yang akan membentuk segitiga yang cantik, sekitar waktu Isya’ pada 31 Ogos 2014, arah Barat Daya.

Berdasarkan congakan kasar yang dibuat, menggunakan lens 200mm akan dapat memuatkan ketiga-tiga objek tersebut (rajah bawah)

screen 2014-08-28 at 11.40.51 AM

Medan pandangan lensa 200mm dan kamera 5dmkii (Simulasi Sky Safari) ©FalakOnline

Disebabkan ketiga-tiga objek ini amat cerah dan mudah dirakam, saya galakkan anda yang memiliki kamera untuk cuba merebut peluang merakamnya.

Malah untuk lebih menarik lagi, sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-57, apa kata rakamkan sekali bendera Malaysia di sebelah ketiga-tiga objek ini!

Jom!

#FOSkywatch

Dapatkan berita-berita terkini dunia astronomi menerusi twitter rasmi @FalakOnline

 

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...