Subuh, 18 Ogos 2014 – Zuhrah dan Musytari kembali berkembar!

Pada sekitar waktu Subuh, hari Isnin hadapan, 18 Ogos 2014, renunglah ke arah langit ufuk sebelah Timur. Kita akan dapat menyaksikan susunan indah 2 buah planet terang, seolah-olah seperti pasangan ‘bintang berkembar’.

Planet-planet itu ialah Zuhrah dan Musytari.

Bagi anda yang pernah mengikuti perkembangan pergerakan planet-planet ini, pasti akan perasan, sebelum ini planet Musytari telah pun bersinar terang di langit waktu senja, terutama ketika awal tahun ini.

Planet Zuhrah pula telah pun mula mendominasi langit Subuh sejak bulan Januari lagi.

Namun, kedudukan planet di langit sentiasa berubah, dan masing-masingnya bergerak mengikut kadar kelajuan masing-masing. Oleh itu, jika anda menggunakan perisian simulasi langit seperti Stellarium, anda akan dapati ia sentiasa bergerak di kawasan langit yang berlainan.

Ada ketikanya, 2 atau lebih planet akan berada di kawasan langit yang sama. Ada ketikanya juga, ia akan kelihatan amat hampir antara satu sama lain.

Fenomena Subuh, 18 Ogos 2014 ini nanti termasuk di dalam kategori ini. Zuhrah dan Musytari akan berada amat hampir antara satu sama lain, malah jika dikira jarak antara keduanya, ia akan berada dalam kawasan seluas bulan purnama!

screen 2014-08-15 at 11.14.38 AM

Bulatan hijau menunjukkan saiz Bulan, sebagai perbandingan dengan kedudukan Zuhrah-Musytari: Sky Safari Pro 4

Rajah di atas menunjukkan sebuah garisan bulat hijau, yang menggambarkan saiz bulan di langit. Kemudian bandingan pula kedudukan antara Zuhrah dan Musytari. Jelas ia menunjukkan betapa ‘dekatnya’ kedua-dua buah planet ini di langit.

Dengan mata, saya jangkakan kita akan melihat Zuhrah & Musytari seperti bintang berkembar yang agak terang.

Screen Shot 2014-08-15 at 11.33.10 PM

Suasana pandangan mata kasar arah timur, lebih kurang 45 minit selepas Subuh, pada hari Isnin 18 Ogos 2014. Yang terang ialah Zuhrah, manakala yang kurang terang ialah Musytari. Sky Safari Pro 4

Hakikat

Walaupun ia kelihatan seperti ‘duduk sebelah menyebelah’, kedua-dua buah planet ini berada amat jauh antara satu sama lain.

Zuhrah berada 241 JUTA km daripada Bumi, manakala Musytari berada lagi jauh ke belakang, iaitu 931 JUTA km! Hampir 5 kali ganda lebih jauh!

Menerusi teleskop, Zuhrah berbentuk bulat je, seperti bulan hampir purnama. Jauh berbeza dengan bentuk sabitnya yang begitu jelas kelihatan pada awal tahun ini. Manakala Musytari tetap besar dan bulat, serta kehadiran 4 buah satelit terangnya pasti akan menjadi tumpuan.

Screen Shot 2014-08-15 at 11.17.36 PM

Kedudukan satelit-satelit Musytari, yang boleh kelihatan menerusi teleskop. Sky Safari Pro 4

Waktu

Kiraan menerusi Sky Safari Pro menunjukkan kedua-dua planet ini hanya akan terbit sekitar jam 6 pagi (di Kuala Lumpur). Untuk melihatnya tinggi sikit dan tak terlindung oleh bangunan atau pokok , terpaksalah kita tunggu lewat sikit, mungkin sekitar 6.30 atau 6.45am.

Malangnya, ketika itu, langit sudah menjadi semakin terang kerana menghampiri waktu terbit matahari.

Walaupun begitu, disebabkan kedua-duanya amat cerah di langit, maka sekitar 45 minit selepas Subuh pun masih ada peluang untuk melihatnya.

Alat

Fenomena ini menarik untuk dilihat dalam apa jua jenis peralatan.

Apabila dilihat dengan mata, ia akan kelihatan seperti 2 bintang kembar yang terang benderang.

Menerusi Binokular, kedua-duanya lebih jelas kelihatan.

Menerusi Teleskop berkuasa rendah, disebabkan jarak perpisahan Zuhrah dan Musytari ini sebesar Bulan Purnama, maka anda akan berpeluang melihat 2 buah planet sekali gus,  di dalam satu medan pandangan! Sesuatu yang jarang berlaku!

Tanda apa ni?

Seperti biasa, apabila fenomena yang ‘pelik dan janggal’ ni berlaku, banyaklah teori yang pelik-pelik keluar daripada masyarakat kita.

Namun, himpunan Zuhrah dan Musytari ini dah pernah berlaku banyak kali dah sebelum ini. Secara puratanya, ia akan berulang setiap 1 tahun 3 bulan (tetapi tak semestinya mengikut kadar tu).

Kali terakhir ia berlaku sebelah senja, pada 28 Mei 2013.

Screen Shot 2014-08-15 at 10.57.51 PM

Simulasi kedudukan Zuhrah dan Musytari (serta Utarid) pada senja 28 Mei 2013, kali terakhir fenomena ini berlaku. Sky Safari Pro 4

Sesiapa sahaja boleh menggunakan pelbagai jenis perisian simulasi astronomi percuma (seperti Stellarium dan Cartes du Ciel), mahupun yang berbayar (Sky Safari dan Starry Night) untuk mengira dan mengenalpasti kedudukan kedua buah planet ini sebelum ini.

Keliru

David Dickinson pernah memberitahu kepada saya bahawa fenomena himpunan Zuhrah dan Musytari pada tahun 2013, pernah menimbulkan kekeliruan di kalangan askar negara India yang berada di sempadan Himalaya, yang menyangkakan kedua-dua ‘objek terang’ itu ialah spy drone dari negara China. Mereka telah ‘memerhatikannya’ selama 6 bulan, dan kemudian barulah perasan bahawa kedua objek itu hanyalah 2 buah planet!

Boleh rujuk sini untuk berita lanjut dari BBC. Maka, tidak mustahil jika kemunculan Zuhrah dan Musytari kali ini akan menimbulkan banyak reaksi dan teori, terutama dari kalangan masyarakat Malaysia yang gemarkan kejadian-kejadian pelik dan mistik! 😛 Walau apa pun, jom sama-sama kita usaha untuk siap sedia pada pagi hari Isnin nanti, untuk menyaksikan satu lagi susunan indah objek-objek samawi di langit!  

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *