Meteor dari 2014 RC atau letupan biasa? Misteri kawah di Nicaragua

Bw_3HsLIMAAlgv6

Sumber AFP

Pagi tadi, semasa membelek berita terkini di twitter, saya terpandang berita yang mengenai sebuah kawah yang dipercayai terbentuk hasil hentaman ‘meteor’, di dalam kawasan hutan berhampiran dengan sebuah lapangan terbang di bandar Managua.

Kawah tersebut berukuran radius 12 meter dan kedalaman 5 meter. Laman berita itu memetik kenyataan seorang pegawai kerajaan, Rosario Murillo, yang mengatakan meteor yang agak kecil ini adalah daripada serpihan sebuah asteroid yang sedang melintasi bumi ketika ini.

Saya rasakan beliau merujuk kepada lintasan asteroid 2014 RC.

Ahli astronomi dari Astronomy Center di National Autonomous University of Nicaragua, Humberto Garcia, turut menyatakan perkara yang sama.

Namun, penduduk berdekatan hanya mendengar sebuah bunyi letupan yang kuat, tetapi tidak nampak sebarang cahaya seperti lintasan meteor di langit. Ketiadaan cahaya dari ‘meteor’ ini telah menghasilkan perbincangan di kalangan ahli astronomi lain.

Foto tapak kejadian

 

Franck Marchis menerusi twitter (atas), telah menunjukkan beberapa buah foto di tapak ‘kejadian’.

Apabila saya belek-belek foto ini, ‘kawah’ itu pun tak kelihatan seperti kawah yang biasa hasil hentaman sebuah meteor. Ia lebih nampak seperti ada berlaku letupan di situ.

Sehingga petang ini, masih belum ada kepastian apakah yang sebenarnya berlaku di situ. Saya pun masih menunggu sebarang kenyataan daripada mana-mana pakar, tetapi belum ada apa-apa lagi. Mungkin menjelang malam ini, lebih banyak berita bakal menyusul.  


Di bawah merupakan antara foto-foto di kawasan kejadian yang agak jelas menunjukkan lubang besar berbentuk kawah.

Lagi laporan berita mengenai kejadian itu.

Apa jadi dengan 2014 RC ?

Sementara itu, asteroid 2014 RC telah pun selamat melintasi bumi tanpa sebarang insiden, dan mengikut laluan yang telah dikira. Usaha saya untuk menjejaki asteroid ini dari balai cerap SGO gagal kerana cuaca agak berawan semalam. Namun, beberapa rakan astronomi dari New Zealand, telah berjaya merakam lintasan asteroid tersebut. Di bawah merupakan rakaman oleh Paul Stewart

Sejauh mana hubungan antara kedua fenomena ini? Kita sama-sama tunggu perkembangannya sehari dua ini.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...