Terkini Komet Siding Spring

damian-peach1413187850

Komet Siding Spring yang dirakam oleh Damian Peach. Sumber

Agak lama tak menulis, gara-gara terpesong dengan pelbagai urusan lain. Ada yang bertanya khabar mengenai Komet Siding Spring yang dijangkakan akan berlanggar dengan planet Marikh pada 19 Oktober nanti.

Berlanggar atau tidak?

Ok, kiraan terkini menunjukkan TIADA PERLANGGARAN akan berlaku. Mungkin ramai yang ‘kecewa’ dengan berita ini, kerana mengharapkan sesuatu yang spectacular akan dapat dilihat jika berlaku perlanggaran!

Namun, jika ada angkasawan yang berada di permukaan Marikh ketika itu, dia pasti akan menjadi saksi kepada fenomena lintasan komet yang sungguh menakjubkan.

Komet Siding Spring ini akan melintasi Marikh pada jarak hanya 139,500 km dari pusat (core) planet Marikh, pada 19 Okt 2014 jam 18:27 UT (Universal Time). Ini bersamaan dengan 20 Oktober 2014, 2:27 AM di Malaysia.

Pada saat itu, komet ini akan kelihatan seperti sebuah bebola gas yang bersaiz 16 kali ganda lebih besar daripada Bulan! Nukleus komet ini bersaiz 700 meter, sementara gas yang mengembang daripada nukleus ini akan mempunyai saiz sekitar 19,300 km!

Disebabkan ia akan melintas AMAT HAMPIR dengan Marikh, ia akan kelihatan bergerak amat laju, iaitu pada jadar 1.5 darjah seminit! Ini kalau kita congakkan kembali akan bergerak sebesar 3 kali ganda saiz bulan di langit! Laju tu!

(Atas: timelapse pergerakan Komet Siding Spring). Kredit Jeanette Lamb )

Malangnya, belum ada manusia yang ‘sempat sampai’ ke Marikh untuk menyaksikan kehadiran komet ini, tetapi hampir kesemua robot-robot dan probe angkasa yang berada di Marikh ketika ini, akan menghalakan instrumen saintifiknya ke arah Komet Siding Spring, dan menjalankan beberapa buah kajian ad-hoc .

Kapal angkasa sekitar Marikh yang akan mengkaji dan mencerap Komet Siding Spring ini nanti. Kredit NASA.

Kapal angkasa sekitar Marikh yang akan mengkaji dan mencerap Komet Siding Spring ini nanti. Kredit NASA.

Sejarah

Komet C/2013 A1 Siding Spring ini ditemui oleh pencerap komet tersohor masa kini, Robert McNaught pada tahun 2013. Walaupun dalam setahun, berdozen-dozen komet baru ditemui, tetapi yang ini menarik perhatian semua kerana laluannya membawanya begitiu hampir (dan pada satu ketika ramai menjangkakan ia akan berlanggar) dengan planet Marikh.

Kalau kita buka buku sejarah, Bumi juga pernah menjadi saksi kepada beberapa buah lintasan komet yang amat hampir. Antaranya ialah Komet D/1770 L1 Lexell, yang melintasi bumi pada jarak 15 kali ganda lebih jauh berbanding Marikh-SidingSpring ini, iaitu pada 2.2 juta km. Ini berlaku pada 1 Julai 1770. Selain itu, pada tahun 25 Mac 1996, Komet Hyakutake melintasi Bumi pada jarak 15.8 juta km dan ekornya kelihatan melangkaui separuh keluasan langit! Komet IRAS-Araki-Alcock pada tahun 1983 pun melintasi bumi pada jarak yang lebih hampir, iaitu 4.7 juta km sahaja.

Kedudukan di langit

Kecerahan Komet Siding Spring sekarang hanyalah sekitar magnitud 10-11 sahaja. Walaupun guna Binokular, ia tetap pudar dan tak menarik. Anda perlu melihatnya menerusi teleskop yang besar dan dari kawasan yang jauh dari gangguan cahaya.

Namun, sebagai rujukan, komet ini sekarang berada amat hampir dengan Marikh, di langit barat selepas Maghrib. Jika anda nampak Marik, di situlah terletaknya Komet Siding Spring.

Screen Shot 2014-10-16 at 11.25.32 AM

Kedudukan Komet Siding Spring pada petang 16 Oktober 2014. Ia akan bergerak menuju ke Marikh selepas ini. Sumber Sky Safari Pro

 

Untuk dapatkan berita terkini mengenai Komet Siding Spring ini, jangan lupa turut follow twitter FalakOnline.

Rujukan:
http://www.universetoday.com/115264/comet-a1-siding-spring-vs-mars-views-in-space-and-time/
http://www.aerith.net/comet/weekly/current.html

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...