Robot Philae bersiap sedia untuk mendarat di permukaan Komet 67P

Minggu ini merupakan minggu yang cukup mengujakan peminat komet seluruh dunia.

Kapal angkasa Rosetta akan melepaskan pendarat Philae di atas permukaan Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko dan dijangka ia akan mendarat pada 12 November 2014, jam 11.35 Waktu Malaysia.

 

philae-comet-artist-e1415574835251

Lakaran artis menunjukkan pendarat Philae dalam perjalanan menuju ke permukaan Komet 67P.

Jika ia berjaya, pendaratan ini merupakan sejarah di dalam dunia explorasi angkasa lepas kerana belum pernah ada mana-mana kapal angkasa yang mendarat di atas permukaan sebuah komet.

Philae bersaiz seperti sebuah mesin basuh, dan mempunyai ‘kaki’ untuk menyerap tekanan ketika mendarat, selain daripada sebuah harpoon yang akan mengikatnya dipermukaan (supaya ia tidak melayang kembali ke angkasa lepas!).

Menurut Dr Fred Jansen, seorang ahli astrofizik Belanda, yang juga merupakan pengurus misi Rosetta, pendaratan Philae ini seumpama “cuba memindahkan objek dari sebuah peluru ke sebuah peluru yang lain!”. Kedua-dua Philae dan Komet 67P ini sedang meluncur pada kelajuan 60,000km sejam ketika proses pendaratan ini berlaku!

Lokasi di permukaan Komet 67P ini, dahulunya dikenali sebagai Site J, kini sudah mempunyai nama iaitu Agilkia. Nama ini berdasarkan peraduan esei yang dianjurkan oleh ESA (European Space Agency) baru-baru ini.

Philae_s_primary_landing_site_close-up-e1410786243791

Pandangan di sekitar Agilkia, lokasi mendarat Philae pada 12 November 2014 nanti.

Setelah mendarat, ‘robot’ Philae ini akan mengambil foto keadaan sekeliling sebuah komet. Bagi saya, saat ini cukup mengujakan kerana tiada ada sesiapa pun yang pernah melihatnya sebelum ini! Selain itu, ia akan menggerudi ke dalam permukaan komet untuk mengkaji komposisinya.

Seperkara lagi yang menarik perhatian saya ialah Philae, dan juga Rosetta, akan terus menerus memerhatikan perubahan struktur dan permukaan Komet 67P sepanjang ia bergerak menuju ke titik perihelion (paling hampir dengan matahari) pada Julai 2015.

Kita sama-sama tunggu hasil fasa pendaratan ini nanti.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...