Tidur elok-elok Philae, ada rezeki jumpa lagi!

Seperti mana yang dirisaukan oleh para saintis dan jurutera Philae, hari ke-3 operasi robot peninjau ini mungkin menjadi hari terakhirnya!

Ini semua kerana posisi senget Philae ketika ia mendarat tempoh hari, menyebabkan panel solarnya menerima sangat sedikit cahaya matahari, bagi membolehkan ia mengecas kembali baterinya.

Menurut laporan Emily Lakdawalla, yang masih lagi berada di pusat operasi ESA walaupun ramai pemberita sudahpun pulang, jurutera dan saintis Philae telah melakukan eksperimen yang tidak melibatkan apa-apa pergerakan mekanikal di badan Philae. Ini supaya ia dapat menjimatkan lebih banyak tenaganya.

Semalam saintis di ESA mengambil keputusan untuk menjalankan eksperimen menggunakan alat yang dikenali sebagai MUPUS, yang akan menggerudi masuk ke permukaan komet. Ia dijangka akan mengukur suhu di bawah permukaan komet, dan mengkaji sepantas mana permukaan luar komet boleh mengalirkan haba.

Namun begitu, kuasa baterinya amat-amat lemah, dan besar kemungkinan tiada data yang sempat dihantar balik ke bumi.

Di bawah menunjukkan graf penuruan voltage bateri Philae yang agak mendadak.

Jurutera Philae juga sedang berkira-kira untuk ‘mencampak’ Philae menggunakan beberapa komponen mekanikalnya, sebagai langkah terakhir untuk membawanya ke kawasan yang mempunyai lebih banyak cahaya matahari. Namun, belum ada keputusan lagi mengenainya.

Laporan terbaru mengatakan mereka telah menggerakkan salah satu kaki robot Philae ini sebanyak 4cm dan memusingkan badannya sebanyak 35 darjah, dengan harapan ia akan dapat memperolehi cahaya matahari yang mencukupi.

Pihak ESA telah mengadakan sesi Google+ Hangout untuk memberi pencerahan mengenai misi Philae ini.

Foto dibawah dipercayai kesan ‘lambungan’ Philae ketika percubaan pendaratannya yang pertama. Ia ditunjukkan kepada Emily Lakdawalla oleh Daniel Scuka,  Editor Senior ESA dari Spacecraft Operations.

Saat-saat akhir Philae pun menjelang tiba. Pihak operasi ESA telah memberi pada jam 8.30 pagi 15 November waktu Malaysia, robot Philae telah memasuki ke “standby mode” kerana kekurangan tenaga bateri. Semua peralatan telah ditutup.

Pada jam 8.44 pagi, pegawai ESA, Elsa Montagnon mengumumkan bahawa sambungan ke Philae telah putus akhirnya. Tiada lagi isyarat akan dapat diperolehi dari Bumi.

Philae secara rasminya, berada dalam mode standy atau ‘tidur’.

Berikut merupakan tweet-tweet terakhir dari Philae sebelum ia ‘tidur’.

Kadang-kadang layan gak ber-tweet dengan robot! 😀

Namun begitu, kapal angkasa utama Rosetta (masih ingatkan kat dia lagi kan?), yang kini sedang mengelilingi Komet 67P, akan setia menunggu sebarang isyarat daripada Philae.

Menurut Elsa lagi, secara teorinya, kedudukan baru panel solar Philae mungkin akan dapat kuasa yang mencukupi bagi membolehkan ia ‘bangun dari tidur’ pada hari-hari akan datang.

 

Secara amnya, misi Philae untuk mendarat di permukaan Komet 67P telah berjaya. Beberapa siri experimen sains sempat dijalankan, dan keputusannya masih dikaji oleh para saintis. Tiada siapa tahu samada kita masih boleh menghubungi Philae selepas ini, namun kapal utamanya, Rosetta, masih lagi berfungi sepenuhnya, dan akan terus melakukan kajian terhadap Komet 67p/Churyumov-Gerasimenko setahun mendatang!

Tahniah kepada European Space Agency (ESA) atas kejayaan bersejarah ini. Sementara itu, kita terus tunggu berita baik dari Philae, manalah tahu tiba-tiba ia akan “phone home”!

😉

Moon-500x258

 

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...