Ekor Komet Lovejoy putus, tumbuh kembali, dan putus lagi.

Ekor sebuah komet merupakan hamburan debu dan ais yang keluar daripada kepala komet, atau nama saintifiknya “nukleus” komet. Hamburan ini berlaku apabila ais di permukaan komet itu mula mencair dan meruap menjadi gas.

Gas ais dan debu ini kemudiannya ditiup oleh sebuah tenaga yang datang daripada matahari, yang dipanggil sebagai angin suria, atau solar wind.

Disebabkan keadaannya berbentuk gas/awan/debu, maka bentuknya sentiasa berubah-ubah dan tidak pernah kekal.

Kita boleh umpamakannya seperti asap sampah yang ditiup oleh angin. Mudah kelihatan tetapi bentuk pusarannya sentiasa berubah-ubah.

Kadang kala, angin suria yang keluar daripada matahari ini, berlebihan kuasanya. Ini akan menyebabkan tenaga yang diterima oleh ekor komet ini, secara tiba-tiba menjadi kelam kabut, umpama angin taufan yang muncul tiba-tiba.

Kesannya, ekor komet boleh kelihatan ‘terputus’ buat beberapa ketika. Dari Bumi, kita akan dapat lihat sebahagian daripada ekornya seperti terputus, umpama ekor cicak yang diputuskan oleh tuan badan!

Namun begitu, nukleus komet masih terus menerus menghasilkan ‘batch’ debu/ais/gas yang baru. Lalu, ekor ‘baru’ akan terbentuk selepas itu.

Fenomena ekor putus ini merupakan kejadian normal yang dihadapi oleh setiap komet yang melungsuri kawasan pedalaman sistem suria kita ini. Komet Encke pernah mengalami perkara yang sama 20 April, 2007 lepas dan berjaya dirakam dengan jelas oleh kamera teleskop STEREO.

Itulah yang sedang berlaku terhadap Komet C/2014 Q2 Lovejoy. Menurut laporan dari Universe Today,  pada 23 Disember lepas, ekornya terputus seketika, sebelum ‘disambung’ kembali oleh ekor yang baru.

Keadaan ekot Komet Lovejoy yang putus, dan kelihatan ‘hanyut’ kebelakang pada sekitar tarikh 23-24 Disember 2014  Credit: Hisayoshi Kato

Menariknya, ekor yang baru ini pun, terputus juga, hasil daripada keadaan gelora angin suria yang diterimanya.

Foto di bawah, yang dirakam oleh Joseph Brimacombe  turut menunjukkan dengan jelas putusnya ekor Komet Lovejoy ini.

15480988123_38b0cb2a98_k

Begitulah dinamiknya jasad yang bernama Komet ini. Ia bukanlah sebuah objek yang pegun dan ‘boring’. Ia sungguh dinamik dan sentiasa berubah-ubah bentuknya.

Komet Lovejoy kini bersinar pada magnitud 5.5 ! Cukup mudah dilihat dengan Binokular.

Saya sendiri bernasib baik dapat melihatnya dengan Binokular buat beberapa minit, sebelum awan kembali menutupi langit, pada awal 2.30 pagi 26 Disember lepas. Namun tiada rezeki untuk merakamnya, kerana tak sempat nak setup kamera ketika itu!

Kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya Komet Lovejoy ini.

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...