Panduan mencari Komet C/2014 Q2 Lovejoy yang sedang menghiasi langit sekarang!

Pada ketika ini, terdapat sebuah komet di langit sebelah selatan, yang sedang meningkat tahap kecerahannya ke magnitud 6.1 .

Komet yang dikenali sebagai Comet C/2014 Q2 Lovejoy (selepas ini saya merujuknya sebagai Komet Lovejoy sahaja), telah ditemui oleh ahli astronomi amatur dari Australia, Terry Lovejoy, pada 17 Ogos 2014 lepas.

Menurut tulisan oleh Alan MacRobert, di laman web SkyandTelescope.com pada 15 Dis lepas, komet ini dilaporkan telah mencecah magnitud 6.1 hasil penelitian oleh Alan Hale yang menggunakan binokular 10×50 dan dilaporkan dalam Yahoo Groups Comet Mailing List.

Pada kecerahan magnitud 6.1 itu, sebenarnya cukup cerah dan mudah untuk kita jejakinya menerusi sebuah Binokular.


Di mana Komet Lovejoy ini berada di langit sekarang?

Saya meneliti efemeris/jadual orbit yang dikira oleh SkySafari Pro4 dan mendapati ia berada di antara kedudukan bintang Sirius dan Canopus di langit selatan.

Ini cukup baik kerana kita boleh gunakan lokasi bintang tercerah dan kedua tercerah di langit ini, untuk membidik dengan lebih tepat kedudukan komet ini.

Peta di bawah menunjukkan lokasi Komet Lovejoy, dibandingkan dengan kedudukan bintang Sirius, Canopus. Perhatikan juga, kita boleh menggunakan buruj Orion sebagai panduan arah.

Ini jika kita mengarah badan kita ke arah Tenggara (South East) pada jam 11 malam di Semenanjung ( 10 malam di Sabah) malam ini, 19 Disember 2014.

screen 2014-12-19 at 10.53.07 AM

Arah Tenggara jam 11 pm di Kuala Lumpur. Sumber SkySafari Pro 4

Bagi saya, waktu terbaik ialah ketika kedudukannya paling tinggi di langit, iaitu ketika ia melintasi titik Selatan, sekitar jam 2 pagi nanti. (Rujuk peta di bawah)

Arah Selatan, jam 2 pagi 20 Disember 2014. Sumber SkySafari Pro

Arah Selatan, jam 2 pagi 20 Disember 2014. Sumber SkySafari Pro


Apa rupa Komet Lovejoy itu nanti?

Menerusi Binokular, hampir kesemua komet akan mempunyai bentuk seperti segumpal awan kecil dan agak kehijauan warnanya.

Bentuknya berbeza dengan bintang, kerana bintang-bintang akan kelihatan seperti satu titik (point of light) dan tidak ‘kembang’ seperti komet. Oleh itu mudah nak bezakan antara keduanya.

Menerusi astrofoto, bentuk komet ini amat cantik. Rakan VSP saya dari New Zealand, Paul Stewart telah pos beberapa set foto komet ini menerusi twitter beliau. Cukup indah sekali!

Pakar astrofotografi, Damian Peach, menghasilkan imej di bawah!

 

 

Seperkara yang suka diingatkan ialah, jangan KELIRU dengan paparan yang dibuat menerusi perisian astronomi, seperti yang tertera dalam peta saya janakan menggunakan SkySafari di atas.

Selalunya peta bintang ini akan menunjukkan sesebuah komet itu SEOLAH-OLAH BEGITU TERANG. Kecerahan komet amat sukar untuk diramalkan. Algoritma perisian yang mengira kecerahan sesebuah komet selalunya berbeza dengan kecerahan sebenarnya.

Saya selalu merujuk makumat oleh Seiichi Yoshida , yang sentiasa mengemaskini kecerahan komet berdasarkan laporan peminat astronomi sedunia.

Namun begitu, satu poin yang kita boleh ambil dengan yakin daripada perisian-perisian ini ialah ARAH EKOR komet tersebut. Ia boleh dijadikan panduan untuk kita mencarinya samada menerusi teleskop, mahupun merakam fotonya.


 

Bagaiman pula esok, lusa, tulat?

Menarik sekali apa yang diperhatikan oleh Daniel Fischer, yang menunjukkan Komet Lovejoy ini masih lagi patuh mengikut graf kecerahan komet yang standard. Jika ia berterusan sebegini, kita mungkin berpeluang melihat komet ini secerah magnitud 4.

Dalam ertik kata lain, amat-amat mudah dilihat dengan mata kasar di langit yang gelap!

Di bawah ialah simulasi yang saya janakan menerusi SkySafari Pro 4, yang menunjukkan kedudukan Komet Lovejoy pada jam 11 malam setiap hari, bermula 19 Disember ini hingga 19 Januari 2015 nanti!

Wow! Ia akan melintasi begitu banyak lokasi langit yang menarik, seperti buruj Orion, Taurus, dan juga gugusan Seven Sisters!

Jom jom gunakan peluang ini menyaksikan objek samawi yang cukup indah ini. Bila nampak nanti, jangan lupa ucap Alhamdulillah! 🙂

Jika anda berjaya merakam Komet Lovejoy, jangan lupa kongsikan bersama komuniti Falak Online.

Selamat mencuba! Wallahu a’lam

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...