Musim Musytari Menggegar

Pada tepat jam 2 pagi, 7 Feb 2015 nanti, Musytari akan berada pada kedudukan bersetentang dengan matahari.

Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila pusingan orbit Bumi, membawa kita ‘memotong’ pergerakan planet Musytari yang lebih perlahan. Masih ingatkan, orbit Bumi ini lebih kecil dan dekat dengan matahari, maka pergerakannya lebih laju, berbanding orbit Musytari yang lebih besar tetapi jauh daripada matahari.

SkySafari_4_Pro 5

Menariknya ialah, ketika planet ini bersetentang dengan matahari, beberapa fakta menarik akan berlaku:

  1. Musytari akan terbit di timur, serentak pada saat matahari terbenam di barat.
  2. Musytari akan kelihatan sepanjang malam, bermula maghrib, hinggalah ke waktu matahari terbit keesokkannya.
  3. Musytari berada pada jarak paling dekat dengan Bumi.

Pandangan Mata Kasar

Musytari kini akan kelihatan seperti sebutir ‘bintang’ yang amat cerah bersinar di ufuk (horizon) sebelah timur, pada waktu sekitar selepas Maghrib.

screen 2015-02-04 at 1.35.46 PM

Pandangan arah timur sekitar waktu Isya’ untuk beberapa minggu akan datang, akan dihiasi dengan sinaran cahaya planet Musytari (simulasi Sky Safari Pro)

Jika anda mahir dengan buruj-buruj di langit, panduan paling mudah ialah carilah buruj Orion. Kemudian pandang ke arah ‘bawah kiri’ dari kedudukan buruj ini.

Jangan keliru pula dengan sebuah lagi bintang cerah bewarna putih, yang berada pada kedudukan ‘bawah kanan’ dari Orion. Itu ialah bintang Sirius.

Musytari akan bersinar jauh lebih cerah daripada bintang Sirius. Malah, planet ini merupakan objek ke-4 paling cerah di langit (selepas Matahari, Bulan dan planet Zuhrah).

Saya jangkakan kita tidak akan mempunyai masalah untuk kenalpasti Musytari, kerana pada kawasan langit di situ, tiada bintang-bintang cerah yang dapat ‘lawan’ kecerahan planet ini!


Pandangan Binokular

Menerusi Binokular, ia menjadi agak menarik. Jika anda menggunakan Binokular seperti 7×50 atau 10×50, dan halakan ke arah planet ini, apabila ditenung lama-lama anda akan dapati Musytari bukan lagi kelihatan seperti satu titik, tetapi dah agak ‘membesar’ dan berbentuk seperti satu bulatan kecil.

Lebih menarik lagi, anda akan dapat lihat bersama-sama dengan Musytari, akan ada seperti titik-titik halus yang ‘mengiringinya’.

screen 2015-02-04 at 1.40.31 PM

Titik-titik halus yang mengiringi Musytari itu sebenarnya bulan-bulannya! (Simulasi Sky Safari Pro)

Rupa-rupanya, titik-titik halus tu ialah bulan atau satelit semulajadi bagi planet Musytari ini!

Saya pernah dapat melihatnya sendiri menerusi binokular dengan agak mudah, dengan syarat, tangan kita tak bergoyang-goyang! Ampukan siku anda atas dinding atau kerusi bagi menstabilkan imej.


Pandangan Teleskop

Di sinilah segala keindahan planet Musytari akan terserlah! Mata dan Binokular belum cukup untuk ‘membesarkan’ saiz Musytari, hanya teleskop sahaja mampu melakukannya, dan anda pasti tidak akan rasa rugi!

Perkara pertama yang anda akan perasan ialah kehadiran 4 buah (kadang-kadang 3 dan boleh jadi 2)  titik-titik terang yang membentuk seolah-olah satu garisan di sisi berlawanan Musytari.

screen 2015-02-04 at 1.40.54 PM

Pandangan Musytari dan bulan-bulannya menerusi sebuah teleskop bersaiz kecil. (Simulasi Sky Safari Pro)

Itulah bulan-bulan planet Musytari. Ia merupakan 4 buah bulan yang tercerah dan terbesar dalam sistem keluarga Musytari. Sebenarnya, planet ini mempunyai 66 buah bulan, namun majoritinya adalah kecil dan kelam.

Dikenali dengan nama-nama Io, Europa, Ganymede dan Callisto, 4 buah bulan ini cukup popular dan telah dicerap buat pertama kalinya oleh ahli astronomi Itali, Galileo Galilei pada Januari 1610.

Bulan-bulan ini cukup terang untuk dilihat, walaupun jika anda menggunakan teleskop kecil atau ‘teleskop mainan’.

Seperkara yang menarik ialah, disebabkan bulan-bulan ini mengelilingi Musytari pada kadar yang laju, anda boleh lihat sendiri posisinya berubah dalam masa cerapan yang sesingkat 10 minit sahaja!

Selain daripada bulan-bulan ini, cuba perhatikan ke permukaan Musytari. Anda akan dapat lihat 2 buah jalur (mungkin lebih, bergantung kepada saiz teleskop yang digunakan). Jalur-jalur ini ialah awan-awan yang merentasi hemisfera utara dan hemisfera selatan planet ini. Warna jalur ini kelihatan gelap sedikit berbanding dengan kawasan lain, namun ada kalanya ia boleh menjadi pudar dan kadang-kadang hilang dari pandangan!

Satu lagi ciri yang patut kita cuba cari ialah sebuah tompok ‘merah’ yang agak besar dan terserlah. Tompok ini dikenali sebagai The Great Red Spot atau singkatannya GRS. Ia merupakan satu sistem siklon atau tornado gergasi yang amat besar dan boleh menelan keseluruhan Bumi di dalamnya!

Musytari bersama-sama dengan 2 jalur awan, dan tompok siklon The Great Red Spot, yang dirakam oleh penulis pada 2014 ©shahgazer

Siklon GRS ini mendapat perhatian ahli astronomi kebelakangan ini kerana ia didapati mula mengecil. Beberapa dekad dahulu, saiznya ialah 3 kali ganda Bumi, namun sekarang ia dalam sekitar 1.5 kali ganda Bumi. Menurut kajian yang dilakukan, pada kadar ini, ahli astronomi menjangkakan GRS ini akan hilang dalam masa beberapa dekad akan datang! Malangnya kita masih belum tahu kenapa ia berkelakuan demikian.

Disebabkan Musytari berputar laju di atas paksinya, iaitu selama hanya sekitar 10 jam sahaja, ada kalanya GRS ini tidak kelihatan kerana ia mungkin berada di ‘belakang’ Musytari. Cuba guna perisian seperti Stellarium untuk menentukan waktu dan tarikh untuk GRS ini kelihatan dari Bumi.

14-135-jupiter2_0

Foto Great Red Spot yang dirakam dalam tempoh 20 tahun oleh Teleskop Hubble, jelas menunjukkan ia mula mengecil.


Adakah ia boleh dilihat pada 7 Feb sahaja?

Tidak! Anda sebenarnya sudah boleh lihat Musytari sejak beberapa bulan lepas, dan selepas tarikh 7 Feb pun, ia akan terus kekal mudah kelihatan di langit. Perbezaannya ialah ia akan terbit semakin awal setiap hari. Itu sahaja.

Dari segi keadaan rupa bentuknya, ia sama sahaja dan tiada perubahan nyata yang dapat dilihat oleh mata kita.

Oleh itu, jangan lepaskan peluang melihat keindahan planet gergasi ini!

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...