5 perkara asas yang perlu tahu sebelum membeli Binokular

IMG_20150317_125537

3 jenis binokular berlainan model sebagai perbandingan. 12×70 (kiri), 9×63 (tengah) dan 7×50 (kanan). Foto oleh shahgazer

 

Binokular merupakan alat pencerapan yang amat penting dan hampir bertaraf ‘wajib’ kena ada di dalam rumah setiap peminat astronomi.

Ia amat mudah digunakan kerana kecil, tak perlu bateri, ringan dan amat versatile.

Namun, faktor paling penting di sini ialah kemampuan ia membantu kita berkenal-kenalan kawasan langit dengan lebih intim, menerusi cara yang amat mudah.

Selain daripada itu, harganya yang murah membolehkan sesiapa sahaja membelinya tanpa perlu berfikir panjang.

Walaupun begitu, masih ramai yang teragak-agak untuk membeli binokular, kerana tidak begitu faham perbezaan kemampuan model-model yang dijual di pasaran

Di bawah saya cuba terangkan perkara asas yang perlu diambil peduli SEBELUM kita membeli sesebuah binokular.


 

1. Apa maksud nombor-nombor yang tertulis pada Binokular tu?

IMG_20150317_122216

Nombor-nombor yang tertulis pada badan Binokular. Foto oleh shahgazer

 

Jika kita membeli binokular pasti akan terserempak dengan beberapa tulisan yang terpapar di kotak dan juga di atas badan binokular itu sendiri, seperti 7 x 50, 10 x 50. Apa sebenarnya maksudnya?

Jika kita ambil contoh 7 x 50.

7 itu bermaksud 7 kali pembesaran. Maknanya jika kita lihat menerusinya, objek akan dibesarkan sebanyak 7 kali.

Dalam kes lain, contohnya 12 x 70.

Yang di atas bermaksud, 12 kali pembesaran. Mudah bukan?

Oleh itu, nombor yang pertama itu menunjukkan kuasa pembesarannya.

Apa cerita dengan nombor yang kedua tu?

Ok, kita kembali menggunakan contoh yang pertama, 7 x 50

Nombor 50 itu bermaksud saiz diameter lensa binokular tu, ialah 50mm

Dalam kes 12 x 70, saiz lensanya ialah 70mm. Semuanya mesti dalam skala milimeter.


 

2. Apa kesannya jika kita pilih binokular yang mempunyai kuasa pembesaran tinggi?

Kesan yang paling jelas ialah saiz imej yang terhasil menerusi binokular 12×70 adalah lebih besar daripada 7×50. Dari satu segi, memanglah baik, namun ada juga faktor lain yang kena jaga-jaga.

Lebih TINGGI kuasa pembesarannya, lebih LIGAT ‘goyangan’ imej yang dilihat menerusinya!

Apa yang saya cuba maksudkan di atas ialah, jika kita pernah menggunakan binokular, pasti akan mengalami situasi di mana imej yang dilihat itu bergoyang-goyang. Goyangan itu sebenarnya datang dari tangan kita yang memegangnya. Tangan kita ni tak lah stabil sangat, pasti akan bergoyang walaupun ‘sekukuh’ manapun kita fikir. Goyangan tangan yang sedikit ini akan ‘dibesarkan’ goyangannya, sebanyak mana kuasa pembesaran binokular yang kita guna.

Maknanya, binokular 7×50 tu akan ‘membesarkan kesan goyangan’ tangan kita ni sebanyak 7 kali ganda.

Maka, jelas di sini, jika kita guna 12×70, kesan goyangannya akan berlipat ganda sebanyak 12 kali!

Itulah sebabnya mengapa lebih besar kuasa pembesaran binokular itu, lebih ‘bergoyang’ kesan imej di dalamnya.

Di bawah ialah video simulasi ringkas yang saya telah sediakan pada tahun 2012, berkenaan perbezaan pandangan 2 buah binokular model 7×50 dan 10×50.


 

3. Jika imej bergoyang, apa cara untuk kurangnya goyangannya? 😉

Secara rule of thumb, mana-mana binokular yang kuasa pembesarannya lebih besar dari 10 X, kita digalakkan meletakkannya di atas tripod kamera.

Cara nak letak?

Kita terpaksa membeli sebuah adapter khas, yang boleh di skru pada bahagian hadapan binokular, dan di bawahnya akan di skru pada kepala tripod yang digunakan. Adapter ini kecil dan murah je. Kalau kita kreatif sikit, boleh buat sendiri guna besi akan aluminium.

IMG_20150317_122237

Adapter ringkas untuk penyambungan antara Binokular dan tripod kamera biasa. Foto oleh shahgazer

IMG_20150317_122339

Adapter tersebut akan di skru pada sebuah lubang di antara 2 lensa binokular tersebut. Foto oleh shahgazer

 

Kesannya ialah imej yang dilihat itu lebih stabil, kerana yang memegang binokular itu sekarang bukan tangan kita, tetapi kaki tripod tu.

img-barska_binoculars_x-trail_ab10154_ima_277

Contoh keadaan sebuah Binokular yang siap dipasang dengan adapter dan disambung pada sebuah tripod ringkas.

 


 

4. Apa bezanya antara binokular yang mempunyai saiz lensa yang lebih besar?

Kembali kepada contoh di atas, di antara binokular 7×50 dan 12×70, kita dah tahu model 12×70 mempunyai lensa yang lebih besar bersaiz 70mm.

Kesannya ialah, lebih BESAR lensa itu, lebih BANYAK CAHAYA yang dapat masuk, maka objek langit akan kelihatan lebih TERANG dan lebih BANYAK objek dapat dilihat.

IMG_20150317_122416

Perbezaan saiz diameter lensa binokular model 12×70 (kiri) dan 7×50 (kanan). Foto oleh shahgazer

 

Itulah sebabnya kadang kala kita ada melihat iklan menjual giant binocular, contohnya 20×100… itu bagi saya dah masuk level teleskop dah tu! Kerana saiz lensa-nya pun dah 100mm, selain daripada kuasa pembesarannya 20x!

Tapi saya pernah melihat sendiri keadaan langit menerusi giant binocular ini, dan memang cukup cukup menakjubkan!


 

5. Mengapa apabila guna binokular, kelihatan ‘lebih banyak’ objek berterabur di langit berbanding sebuah teleskop?

Jika kita ingat kembali di atas, kuasa pembesaran sesebuah binokular akan memainkan peranan yang besar dalam isu ini.

Lebih RENDAH kuasa pembesarannya, lebih BANYAK kawasan langit yang dapat kita lihat!, namun imej objek langit akan kelihatan lebih KECIL.

Kelebihannya, kita akan dapat lihat kawasan langit yang lebih luas. Maka, kebarangkalian untuk melihat bintang yang banyak lebih tinggi.

Oleh itu, model 7×50 akan dapat lihat kawasan langit lebih luas berbanding 12×70.

Jika kita guna sebuah teleskop, kuasa pembesarannya selalunya akan mencapai sekitar 30x ke atas. Kesannya ialah kita hanya dapat lihat sedikit sahaja kawasan langit, kerana apa yang berlaku di sini ialah kita sedang zoom ke satu tompok kecil di langit je.

 


Sila rujuk vodcast Falak Online di bawah juga untuk penerangan lanjut berkenaan binokular.

InsyaAllah artikel akan datang, kita akan bincang objek-objek yang boleh dilihat menerusi sesebuah binokular.

Wallahu a’lam

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

  • Dengan binokular pun sudah boleh dapat pemandangan yang cantik? Macam tu saya perlu dapatkan satu, sekali dengan tripod.

    Supaya dapat pupuk minat kepada anak2.

  • othman

    assalamualaikom .tuan.saya ada 2 alat ini mana kah yang lebih sesuai sama ada monokular atau binokular .kedua dua nya saya ada….itu sahaja soalan saya tuan..