Juraian Meteor Lyrids memuncak menjelang subuh 22 dan 23 April.

Musim meteor Lyrids sudah kembali. Bermula sekitar tengah malam hinggalah menjelang Subuh esok, 22 dan 23 April 2015, juraian meteor ini akan memuncak dengan kadar 10 hingga 20 meteor sejam.

Prospek juraian meteor Lyrid tahun ini lebih baik, kerana tiada gangguan cahaya Bulan pada waktu tersebut. Jika anda perhatikan umur bulan pada kedua-dua tarikh tersebut ialah 3 dan 4 Rejab. Maknanya bulan masih lagi berbentuk sabit dan terbenam sekitar Isya’.


Arah manakah perlu saya lihat?

Nama meteor ini diambil bersempena dengan buruj di mana juraian meteor-meteor ini ‘kelihatan’ mula muncul, iaitu buruj Lyra.

Buruj Lyra merupakan sebuah buruj kecil di langit utara, yang mempunyai bintang cerah bernama Vega. Bintang ini akan terbit pada jam 12 tengah malam, dan mula semakin tinggi selepas itu.

Berdasarkan peta di bawah, bintang Vega sudah agak jelas dan tinggi di langit sebelah Timur Laut (North-East) sekitar jam 3 pagi. Kita boleh gunakan bintang ini sebagai panduan untuk tahu arah munculnya meteor-meteor Lyrids ini nanti.

Namun, ahli astronomi menasihatkan agar kita jangan fokus ke kawasan buruj Lyra, tetapi halakan pandangan pada kawasan lain langit yang jauh sedikit daripada titik permulaan tersebut. Dalam kes kita ini, cuba pandang arah sekitar barat laut ke barat, timur ke selatan, dan juga barat.

 

screen 2015-04-21 at 10.24.40 AM

 


Perlukah saya menggunakan teleskop untuk melihat meteor ini?

Tidak perlu.Untuk pengamatan meteor, mata anda merupakan alat paling efisyen dan bagus untuk melihatnya. Ini adalah kerana meteor-meteor ini akan muncul secara tiba-tiba dan di mana-mana kawasan langit, Anda tidak mungkin dapat mengagak dengan tepat di mana ia akan muncul.

Selain itu, ia muncul amat cepat, sekitar 1-2 saat sahaja. Dalam erti kata lain, sekelip mata sahaja! Oleh itu, jangan guna sebarang alat.


Di kawasan manakah sesuai untuk cerapan meteor Lyrid ini?

Carilah kawasan yang jauh dari silau cahaya lampu, seperti lampu jalan, spotlight rumah atau kondo. Kalau boleh elakkan dari kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, JB dan seumpamanya.

Kemudian cari juga kawasan lapang yang tiada gangguan bangunan dan pokok. Padang atau tepi pantai adalah antara lokasi yang bagus.

Setelah anda berjaya menemui kawasan seperti itu, anda perlu hanya baring di atas tikar dan pandang ke mana-mana kawasan langit pilihan anda.

Imej komposit juraian meteor Lyrids yang muncul dalam tempoh satu malam. Credit NASA/MSFC/D.Moser


Asal usul meteor Lyrids ni sebenarnya apa ye?

Setiap bulan April, Bumi akan melintasi kawasan laluan orbit sebuah komet bernama Komet Thatcher (C/1861 G1). Komet ini mengelilingi matahari dalam orbit selama 415 tahun! Kali terakhir komet ini melintasi kawasan hampir dengan Bumi ialah pada tahun 1861. Ia hanya kembali pada tahun 2276.

Di sepanjang laluan Komet Thatcher ini, akan ada banyak debu-debu peninggalan komet tersebut. Debu-debu ini amat halus dan tidak dapat dilihat dengan mana-mana teleskop pun!

Namun, apabila Bumi memasuki kawasan yang banyak debu ini, ia (iaitu debu tersebut) mula berlanggar dengan atmosfera bumi pada kelajuan 177,000 km sejam! Ia akan terbakar dan hancur. Itulah cahaya lintasan meteor yang kita lihat dengan mata.

Tempoh Bumi melintasi kawasan debu-debu Komet Thatcher ini bermula pada 16 April hinggalah 25 April setiap tahun. Puncaknya ialah pada 22-23 April.

Sila rujuk artikel-artikel berkenaan meteor yang telah disediakan sebelum ini menerusi PAUTAN ini.

Selamat mencerap!

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...