Zuhal kembali! Jom Tengok!

Fenomena Himpunan Samawi

Akhirnya, Zuhal kembali ke posisi istiqbal.

Pada jam 9 pagi, 23 Mei 2015 nanti, itulah saat dan ketikanya planet Zuhal berada tepat ‘berlawanan arah’ dari matahari, apabila dilihat dari bumi. Maknanya, sebaik sahaja matahari terbenam hilang di ufuk barat nanti, Zuhal akan terbit menjelma di langit timur.

Keistimewaan istiqbal ini, ialah kita berpeluang mencerap sepuas-puasnya planet yang berada dalam posisi tersebut sepanjang malam, bermula maghrib hinggalah ke subuh. Sebagai nota tambahan, kedudukan istiqbal ini hanya boleh berlaku kepada planet Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptune (dan juga mana-mana objek yang mempunyai orbit lebih jauh ke belakang daripada orbit bumi).

Di mana Zuhal sekarang?

Screen Shot 2015-05-22 at 2.44.02 PM
Rajah menunjukkan kedudukan Zuhal pebih kurang 2 jam SELEPAS waktu Isya lokasi masing-masing di Malaysia dan Asia Tenggara ©falakonline

Ketika ini, Zuhal berada dalam kawasan buruj Scorpio. Ia berada berhampiran dengan deretan 3-4 buah bintang yang agak cerah, yang menggambarkan ‘ekor kala jengking’ buruj Scorpio ini, dan ia juga berada berhampiran dengan bintang gergasi merah, Antares.

Jika dilihat rajah di atas, halakan pandangan anda lebih kurang 1-2 jam selepas waktu Isya, ke arah South-East atau arah Tenggara. Zuhal akan kelihatan seperti sebuah ‘bintang’ kekuningan yang cerah, malah jauh lebih terang daripada bintang Antares.

es12inaction
Suasana program cerapan malam di Mentakab, yang mana Zuhal merupakan ‘bintang utama’ malam itu! ©falakonline

Semalam (21 Mei 2015), semasa melakukan cerapan di Mentakab bersama-sama Jabatan Mufti Negeri Pahang, saya dapati memang Zuhal ini amat mudah dilihat dengan mata kasar kerana kecerahannya. Selain itu, saya rasakan anda tidak mudah terkeliru kerana di kawasan persekitaran dengan planet ini, tiada bintang yang dapat menandingi kecerahannya.

Screen Shot 2015-05-22 at 2.50.06 PM
Bulatan biru menunjukkan had penglihatan kawasan langit jika dilihat menerusi sebuah binokular 10×50 ©falakonline

Menerusi binokular pula, Zuhal akan kelihatan dikelilingi dengan banyak bintang yang agak terang. Lalukan atau gerakkan sahaja pandangan binokular anda disekitarnya, dan nikmati keindahan kawasan buruj Scorpio yang sememangnya kaya dengan bintang-bintang dan lingkaran Bima Sakti.

Menerusi teleskop berkuasa sederhana atau tinggi, keindahan gelang Zuhal mula terserlah dan kelihatan cukup mengasyikkan. Pada tahun ini, gelangnya kelihatan jauh lebih ‘terbuka’ berbanding tahun lepas. Gunalah peluang menyaksikannya menerusi mana-mana teleskop yang ada. Jika anda berada di Teluk Kemang, jangan lupa singgah ke Balai Cerap Teluk Kemang, kerana di sana anda berpeluang melihat sendiri Zuhal menerusi teleskop yang terbesar di Malaysia!

Foto di atas, dirakam menerusi teleskop di Balai Cerap Teluk Kemang, pada bulan April lepas. Beginilah lebih kurang sudut gelang Zuhal yang akan dapat dilihat nanti.

Zuhal mengambil masa hampir 30 tahun untuk melengkapi satu pusingan orbit mengelilingi matahari. Ini bermakna, kedudukannya sekarang adalah sama dengan kedudukannya pada tahun 1985.

Jika saya cuba ingat kembali, memang pada tahun 1985 itu, saya masih boleh terbayang-bayang ‘pasangan’ Zuhal dan bintang Antares yang menghiasi langit Petaling Jaya ketika itu. Waktu itu baru setahun jagung saya mula belajar berkenaan langit malam. Perasaan teruja yang amat sangat menyelubungi saya kerana dapat ‘kenal’ yang mana satu planet Zuhal di antara banyak-banyak bintang itu.

MasyaAllah Tarabakallah!

David Dickinson dalam tulisan beliau ada menyebut mengenai satu fenomena menarik yang dipanggil opposition surgeIa merujuk kepada perubahan pertambahan cahaya sinaran sesebuah planet secara mendadak, dalam masa sehari dua dari tarikh istiqbal planet tersebut. Ini adalah kerana planet itu sedang memantulkan kembali cahaya matahari yang diterimanya ke arah kita, menyebabkan ia kelihatan lebih terang dari biasa.  Dalam kes Zuhal, kesannya lagi banyak kerana selain daripada ‘jasad’ planet itu sendiri, gelangnya yang lebar dan cerah itu pun akan turut sama memantulkan kembali cahaya matahari.

Ayuh, jangan lepaskan peluang, Musim mencerap Zuhal sudah kembali. Kebetulan pula ia menjelang munculnya Ramadhan. Maka, sambil-sambil tengok tu, jangan lupa terus menerus membasahkan lidah dengan berzikrullah dan mengucapkan Alhamdulillah kerana telah mengurniakan kepada kita di sini, sebuah planet yang terindah, tercomel dan tercantik untuk ditatapi sepanjang malam, iaitu planet Zuhal.

Wallahua’lam

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments