Sebelum anda melompat, jom faham dulu perihal Leap Second (Saat Lompat)

Pernah dengar dengan istilah “Tahun Lompat”? Di mana setiap 4 tahun sekali, kita akan menambah satu hari ke dalam bulan Februari, menjadikannya 29 hari. Isu ini semua sedia maklum kerana jumlah sebenar satu tahun pusingan lengkap mengelilingi matahari bukanlah tepat 325 hari, tetapi 365.242199 hari bersamaan 365 hari, 5 jam, 48 minit, and 46 saat.

Masalahnya, kalendar Miladi (Masihi) yang kita guna mempunyai 365 hari.

Kesannya kepada baki 0.242199 hari itu ialah, apabila masuk tahun ke-4 pusingan orbit, ia menjadi 1 hari. Kalendar kita ‘ketinggalan’ 1 hari berbanding pusingan sebenar bumi keliling matahari.

Maka, untuk memastikan kalendar yang digunakan ‘sama’ dengan orbit bumi, maka DITAMBAH SATU HARI ke dalam bulan Februari.

Persoalannya, adakah ini bermaksud Bumi bergerak makin lambat sebanyak 1 hari setiap 4 tahun sekali apabila ia bergerak mengelilingi matahari? Kalau kita faham betul-betul penerangan di atas, jawapannya TIDAK.

Ok itu semua faham kan? Bacaan lanjut boleh didapati di SINI.

Sekarang kita bincang berkenaan dengan “Saat Lompat” pula, atau trending sekarang dipanggil sebagai Leap Second.

Saat Lompat ini pula kaitan antara alat jam yang digunakan untuk mengira pusingan bumi atas paksi, dengan pusingan paksi bumi itu sendiri.


Jam vs Pusingan Paksi Bumi

 

Sebelum ini, cara untuk mengira waktu yang paling tepat pusingan paksi bumi  ialah dengan memerhatikan kedudukan bintang-bintang di langit. Ini dikenali sebagai Universal Time atau juga dipanggil Astronomical Time.

Apabila teknologi berkembang, jam atomik digunakan sebagai cara paling tepat mengira  waktu. Waktu yang dikira ialah dalam 1 hari pusingan paksi, mempunyai 86,400 saat. Waktu Jam Atomik ini dipanggil sebagai International Atomic Time (TAI)

Namun cara jam atomik mengira SAAT bukanlah berdasarkan paksi pergerakan bumi, tetapi dengan memerhatikan masa lamanya atom Cesium-33 berayun (oscillate) sebanyak 9,192,631,770 kali.

atomic-clock-greenwich-london

Jam Atomik di Greenwich, United Kingdom. ©itimeanddate.com/Steffen Thorsen

Ok, mungkin susah nak faham sangat. Tapi yang kita boleh faham ialah Jam Atomik ini amat tepat, malah ia hanya akan ada ralat sebanyak lebih kurang 1 saat untuk SETIAP 20 JUTA TAHUN!

Kira tepat sangat lah tu!

Berbalik kepada Pusingan Paksi Bumi pula (yang kita panggil Universal Time atau UT1), ia sebenarnya tidak konsisten.

Maknanya, pusingan bumi ini sememangnya semakin perlahan pada setiap masa!

Secara puratanya, Bumi perputar atas paksi 0.002 saat LEBIH LAMA berbanding 86,400 saat yang dikira oleh Jam Atomik (TAI) tadi.

Maka, jika setiap hari ada lebihan 0.002 saat, apabila dikira dalam jangka waktu yang panjang, perbezaan antara TAI dan UT1 akan menjadi sekitar 1 saat bagi setiap 1.5 tahun.


Kesan terhadap Universal Coordinate Time (UTC)

 

UTC ini ialah waktu yang kita guna setiap hari, iaitu yang menentukan waktu tempatan kita berdasarkan zon waktu lokasi kita. Itulah sebenarnya rujukan kita setiap hari.

Apabila ralat antara TAI dan UT1 semakin bertambah, jika kita tidak membuat sebarang PEMBETULAN kepada jam UTC yang kita guna setiap hari itu, ia akan menimbulkan banyak masalah.

Maka penyelesaiannya, kita BETULKAN kembali UTC dengan menambah 1 saat , bagi setiap 1.5 tahun. Arahan tambahan ini dibuat oleh badan yang bertanggungjawab menjaga ‘waktu’ iaitu International Earth Rotation and Reference System Service (IERS) di Paris.


Faktor pusingan Bumi semakin perlahan.

 

Ok, sebelum kita panik tak tentu pasal, kita kena faham dahulu bahawa kadar bumi semakin perlahan ini adalah amat kecil namun ia tetap berlaku.

"Globespin" by Wikiscient - I created this animated image using NASA's "Visible Earth" image (in the public domain).. Licensed under CC BY-SA 3.0 via Wikimedia Commons - https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Globespin.gif#/media/File:Globespin.gif

“Globespin” by Wikiscient – This animated image was created using NASA’s “Visible Earth” image (in the public domain).. Licensed under CC BY-SA 3.0 via Wikimedia Commons – https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Globespin.gif#/media/File:Globespin.gif

Ini adalah akibat graviti Bulan yang memberi kesan ‘brek’ terhadap pergerakan momentum pusingan paksi bumi. Kesan ‘brek’ ini berlaku kerana Bulan itu sendiri sedang semakin jauh daripada bumi, pada kadar 4cm setahun

Namun, kesan ‘brek’ ini tidak konsisten setiap tahun. Ia berada dalam lingkungan 0.000015 saat hingga 0.000025 saat setiap tahun!

Dalam kadar di atas, kita kena tunggu 140 juta tahun, barulah kita akan alami 25 jam sehari! Lambat lagi tu.

Namun, hakikatnya, ya memang Bumi semakin perlahan.

Selain itu, gempa bumi yang besar turut memberi kesan kepada pusingan bumi. Gempa di Acheh pada tahun 2004 dipercayai telah mempercepat kadar pusingan bumi sebanyak 3 mikrosaat.

Kesan pemanasan global, yang mengakibatkan ais di kutub mencair, turut akan memberi kesan kepada pusingan bumi (kajian lebih mendalam masih dilakukan untuk melihat sejauh mana kesannya).


Kesimpulan

 

Leap Second atau Saat Lompat ini memang PERNAH dilakukan sebelum ini. Kali terkahir ia dibuat ialah pada 30 Jun 2012. Maka, ia bukanlah sesuatu yang baru atau pelik. Cuma didapati sejak kebelakangan ini, tahap kesedaran masyarakat Malaysia khususnya terhadap perkara seumpama ini, berada pada tahap yang sungguh tinggi, sampai ke tahap boleh mengelirukan satu sama lain.

Semoga artikel ini dapat memberi sedikit sebanyak penerangan yang diperlukan. Banyak lagi artikel di luar sana, tapi maklumlah semuanya dalam bahasa inggeris. Maka, saya cuba berusaha sedaya mungkin menerangkannya dalam bahasa mudah buat rujukan semua.

Untuk lebih lanjut, saya cadangkan hubungi Agensi Angkasa Negara yang telah pun keluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini. Mereka lebih pakar dan arif dalam hal ini.

Wallahua’alam


Rujukan

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...