Zuhrah dan Musytari bertemu jua

Bagai pinang dibelah dua, begitulah mungkin yang dapat dikatakan mengenai pasangan dua buah planet terang, Zuhrah dan Musytari, yang kini sedang mendominasi pandangan kita di langit barat, sebaik sahaja azan Maghrib bergema.

Setelah beberapa bulan menanti, ‘pertemuan’ dua planet yang masing-masingnya unik dalam cara tersendiri, sampai ke kemuncak.

Pada petang nanti, 30 Jun 2015, apabila kita pandang ke barat, akan didapati kedua planet ini ‘terpisah’ pada jarak yang sama dengan diameter bulan.

Malah, jika diluruskan lengan anda di hadapan, dan ‘meletakkan’ hujung jari telunjuk berhampiran dengan kedua planet ini, ia akan kelihatan memenuhi kawasan ‘separuh’ sahaja dari lebar jari anda!

IMG_2377

Simulasi di atas menunjukkan betapa rapatnya Zuhrah dan Musytari nanti, hingga boleh dimuatkan dalam hujung jari kita je! ©falakonline.net

Begitulah dekatnya fenomena yang dipanggil conjunction (atau konjungsi) kali ini.

Menerusi laman sosial FB FalakOnline sejak beberapa hari lepas, telah didapati ramai yang berjaya dan mengenali Zuhrah dan Musytari dengan mudah. Malah saya kagum dengan kemampuan dan semangat merakam gambar menerusi telefon bimbit.

Bak kata orang, “tak kisahlah senget ke, kelabu ke, gelap ke, gambar tu …asalkan dapat simpan untuk kenang-kenangan pun ok dah” !


Apa itu Conjunction?

 

Planet bergerak mengikut kelajuan masing-masing di angkasa lepas. Ada yang laju, seperti Zuhrah, dan ada yang bergerak lambat seperti Musytari.

Menerusi pandangan kita dari Bumi, pergerakan planet-planet ini akan sentiasa berubah-ubah dari malam ke malam, apabila kita bandingkannya dengan kedudukan bintang-bintang lain di langit.

Itulah antara cara hendak membezakan planet dengan bintang.

Ada ketikanya, 2 buah objek sistem suria, samada pasangan bulan dengan planet, atau planet dengan planet, akan berada pada satu sudut pandangan yang sama, seolah-olah nampak dekat.

Sebagai contoh cuba lihat ‘simulasi’ di bawah. Andaikata 2 buah objek di bawah ini melambangkan 2 buah planet tersebut. Dari pandangan kita di Bumi, kita akan nampaknya ‘duduk’ sebelah-menyebelah. Macam dekat je…

IMG_2379

Tetapi apabila kita mula lihat dari atas, umpamanya kita  ‘keluar’ dari bumi dan berada di angkasa lepas, kita akan dapati rupanya 2 objek tersebut berada jauh jaraknya antara satu sama lain.

IMG_2380

Itulah yang sedang kita lihat antara Zuhrah dan Musytari. Ketika ini, Zuhrah berada hampir dengan kita manakala Musytari nun jauh ke belakang.

Screen Shot 2015-06-30 at 8.49.39 AM

Kedudukan sebenar Musytari, Zuhrah dan Bumi pada ketika ini. Simulasi Sky Safari Pro.

Oleh itu, jangan sebar cerita kononnya kedua planet ini akan berlanggar lah, itu lah, ini lah. Kena belajar bab orbit planet dahulu, okay! 😉


Kekerapan

 

Sejauh mana kerapnya conjunction ini berlaku bergantung kepada kedudukan planet-planet itu sendiri. Tidak ada ‘nombor’ yang tetap, contohnya 10 tahun sekali ke, 40 tahun sekali ke. Ini adalah kerana kelajuan pergerakan planet-planet ini berbeza-beza.

Salah satu cara paling mudah untuk mengira dan kenalpasti tarikh-tarikh mendatang, yang mana fenomena serupa akan berlaku, ialah dengan menggunakan perisian astronomi seperti Stellarium dan seumpamanya.

Buat pengetahuan anda, kali terakhir ia berlaku ialah pada 18 Ogos 2014 lepas, yang mana ia berlaku selepas Subuh, rendah di ufuk timur. Mungkin tak ramai yang perasan fenomena ketika itu, kerana ia berlaku sebelah pagi, waktu ramai yang sedang kalut nak pergi kerja dan sekolah!

Venus-Jupiter-19Aug2014-0655MYT-5dmkii-F130mm-1s-f11-iso400-PI

Foto ini dirakam oleh penulis pada 19 Ogos 2014 lepas, menunjukkan Zuhrah dan Musytari di ufuk timur. ©shahgazer

Saya ada pos beberapa siri gambar di sini, sini dan sini.

Anda boleh rujuk senarai ini untuk mengetahui beberapa siri conjunction lain yang berlaku.

Di sini kita boleh dapati bawah fenomena tersebut merupakan kejadian yang biasa dalam dunia observational astronomy.


Kajian Ilmuwan Islam

 

Sejarah peradaban Islam telah menunjukkan ilmuwan Islam seperti Ibn Yunus (905-1009) telah pun mengkaji fenomena conjunction ini (selain daripada gerhana). Beliau turut menghasilkan beberapa tulisan ulung dan jadual (Zij) yang merangkumi lebih daripada 100 buah hasil cerapan. Beliau juga telah mengenalpasti dan mengira 40 buah fenomena ini dan 30 fenomena gerhana bulan dengan tepat.


Apa yang akan dapat dilihat nanti?

 

Pada petang ini, 30 Jun 2015, pandang ke arah BARAT. Kita akan dapat lihat 2 butir objek terang di langit. Itulah Zuhrah dan Musytari.

Kedudukan petang nanti seperti rajah di bawah, iaitu Musytari di atas manakala Zuhrah di bawah.

SkySafari_4_Pro

30 Jun 2015 ©falakonline.net

Pada petang esok, 1 Julai 2015, kedua-dua planet ini akan berada sebelah-menyebelah, Zuhrah di kiri, Musytari di kanan (seperti rajah di bawah)

SkySafari_4_Pro

1 Julai 2015 ©falakonline.net

Lusa, pada 2 Julai 2015, Musytari pula berada di bawah Zuhrah (seperti rajah di bawah)

SkySafari_4_Pro

2 Julai 2015 ©falakonline.net

Selepas daripada tarikh-tarikh ini, kedua-dua planet ini mula terpisah semakin jauh. Musytari pula akan semakin rendah ke ufuk dan lama kelamaan hilang dari pandangan. Diikuti juga oleh Zuhrah.

Disebabkan Zuhrah dan Musytari akan berada dalam kawasan langit yang sama besar dengan Bulan, maka sesiapa yang mempunyai teleskop, BOLEH MELIHAT KEDUA-DUANYA SERENTAK dalam satu view pandangan teleskop!

Wow! Kena try ni!


Bila lagi?

 

Fenomena Conjunction Zuhrah dan Musytari ini sentiasa indah, kerana kedua-dua planet ini amat cerah di langit, dan mudah menarik perhatian sesiapa sahaja yang mencarinya.

Jika anda terlepas peluang untuk melihatnya kali ini, jangan risau, kedua-dua planet ini akan bertemu sekali lagi pada 26 dan 27 Oktober 2015 nanti, pada waktu Subuh pula! Namun, kedudukan keduanya masa itu tidaklah sehampir/sedekat dengan apa yang kita akan lihat 2,3 hari ini.

Oleh itu, jom jangan lepaskan peluang melihat sesuatu yang indah di langit, melihat ayatul manzurah, bukti kekuasaan dan rahmat Allah SWT di bulan yang penuh barakah ini!

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...