Ais, Glasier dan mengendap Pluto dari belakang!

nh-pluto-hazy-skies_0

Kredit NASA/JHUAPL/SWRI

Gambar terbaru Pluto sungguh menarik! Pandangan dari belakang planet tersebut, ketika New Horizons dalam perjalanan ‘keluar’ daripada Pluto menuju ke angkasaraya, menunjukkan silauan cahaya matahari yang diserakkan oleh atmosferanya!

Ia dirakam (Gambar atas) pada sekitar tengahari 16 Julai 2015 waktu Malaysia, apabila New Horizons memandang ke belakang seolah-olah ingin mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada Pluto! Jarak kapal angkasa dari Pluto ialah lebih kurang 2 juta km dan ciri permukaan paling kecil yang boleh dilihat di sini ialah lebih kurang 19 km!

Menarik di sini ialah, kamera Long Range Reconnaissance Imager (LORRI), yang merakam gambar ini telah mengesan lapisan ‘jerebu‘ yang menyelebungi Pluto ini berbeza-beza ketebalan, ada kawasan yang menjulang tinggi hingga 130km, dan ada yang mencecah sekita 50km sahaja!

Pelik!

Ketika sidang media yang dibuat pada jam 2 pagi, 25 Julai 2015 (waktu Malaysia) tadi, Micheal Summers, penyelidik bersama New Horizons, dari George Mason University, Fairfax, Virgina menyatakan “jerebu yang dikesan dalam gambar ini merupakan elemen penting dalam kewujuan sebatian hidrokarbon yang kompleks, yang menghasilkan warna kemerahan di permukaan Pluto”

Para saintis sebelum ini mengaggarkan suhu di sana terlalu ‘panas’ untuk jerebu atau kabus ini wujud pada ketinggian melebihi 30km. Penemuan baru ini menyebabkan saintis perlu memikirkan model baru tentang bagaimana ia boleh terjadi sedemikian rupa di Pluto.

nh_02_summers_01b_hazeimage

Kredit NASA/JHUAPL/SWRI

Foto di atas menunjukkan (dalam kotak kecil), warna palsu atau false colour lapisan atmosfera Pluto ini, jelas menunjukkan adanya kepulan-kepulan berbeza ketebalan dalam kawasan tersebut.

Warna palsu bermaksud, saintis telah menggunakan tandaan warna berlainan untuk menunjukkan perbezaan sesuatu ciri. Contohnya dalam kes ini, warna merah menunjukkan jerebu lebih tebal berbanding warna kuning dan seterusnya. Ia bukanlah warna sebenar, jadi diharapkan jangan keliru.

Emily Lakdawalla telah menyatakan gambar Pluto dari belakang ini sama seperti apa yang dilihat oleh kapal angkasa Cassini apabila ia memerhatikan bulan terbesar planet Zuhal, iaitu Titan.

20150724_titan_pluto_comparison_f840

Gambar di atas menunjukkan kiri (bulan Titan) dan kanan (Pluto) pada sudut 165º di belakang kedua-dua objek. Nampak benar persamaan, yang mana kedua-duanya mempunyai atmosfera yang telah menyerakkan cahaya matahari.

Menurut Emily, saiz Pluto dan Titan telah disesuaikan mengikut skala sebenar.

Titan lagi besar dari Pluto tu!!


Ais mengalir di permukaan!

 

Satu lagi penemuan yang diumukan semalam ialah ada bukti jelas yang menunjukkan wujud pergerakan ais di permukaan Pluto!

Menurut John Spencer dari SwRI, aktiviti pergerakan ais sebelum ini hanya dapat dilihat di Bumi dan Marikh sahaja!

Maknanya, Pluto tidaklah statik dan dipercayai masih berubah secara geologi hingga kini!

Bayangkan, kalaulah ada angkasawan di permukaan Pluto, dia akan dapat lihat ais, seperti glasier, perlahan-lahan bergerak di hadapannya!

nh_04_mckinnon_02c

Kredit NASA/JHUAPL/SWRI

Gambar di atas, menandakan kawasan di mana wujud bukti ais sedang mengalir atau bergerak. Cuma dalam kes Pluto ini, ais itu bukanlah air. tetapi sebenarnya ais Nitrogen!

Di sana suhunya terlalu sejuk hinggakan Nitrogen tu boleh wujud dalam bentuk ais dan mungkin juga cecair, di atas permukaann. Kalau kat Bumi ni, Nitrogen tu bila letak atas meja, terus meruwap jadi gas kerana suhu Bumi ni panas.

Kawasan dalam gambar di atas terletak di kawasan ‘love’ atau ‘jantung’ yang sebelah barat Pluto.


Warna-warni Pluto!

 

nh_03_olkin_01

Kredit: NASA/JHUAPL/SwRI

 

Eh! Pluto warna-warni cam gitu ke?

Sebenarnya tidak. Warna dalam gambar di atas sebenarnya mewakili perbezaan komposisi dan struktur permukaan Pluto. Digelar sebagai enhanced color image, saintis menggunakan kaedah ini untuk mendapatkan gambaran ‘lebih jelas’ tentang apa yang berlaku di sana.

Jelas di sini, beberapa ciri menarik dapat dilihat.

Kawasan paling gelap ialah di sekitar khatulistiwa Pluto, manakala yang agak terang sikit di kawasan latitud pertengahan. Paling cerah ialah di kawasan kutub (bahagian atas).

Saintis beranggapan corak ini menunjukkan bagaimana ais-ais di Pluto berubah kedudukan dari kawasan khatulistiwa menuju ke kutub ketika perubahan musim berlaku di sana. (Samalah kes macam di bumi, di mana ketika musim sejuk, salji banyak turun ke kawasan negara latitud pertengahan, tetapi menghilang apabila masuk musim panas).

Menarik lagi di sini ialah, kawasan ‘love’ atau jantung Pluto itu tidak ikut ciri-ciri persekitarannya yang lain.

Ia agak unik.

Saintis percaya kawasan ini mungkin ’empangan ais’. Menerusi data yang diterima daripada instrumen bernama Ralph,  kawasan ini kaya dengan nitogen, karbon monoksida dan metana.. tetapi semuanya dalam bentuk ais!

Menurut Bill McKinnon, dari Washington University di St. Loius, suhu di Pluto sungguh rendah -234º C (bawah paras beku!), ais-ais ini boleh mengalir seperti glasier!

Itulah antara sedikit sebanyak maklumat daripada sidang media pagi tadi. Percaya atau tidak, ini baru permulaan! Kita masih belum dapat kesemua data daripada New Horizons ini.

Namun, jika kita tak sabar-sabar lagi dan tak mahu tunggu, boleh muat turun sendiri gambar-gambar RAW (yang belum di proses).

Akhir sekali, saya sisipkan gambar warna beresolusi tinggi di kawasan ‘jantung’ atau Tombaugh Regio yang didapati dari sumber ini.

Tu dia! MasyaAllah

CKuWAdAWsAAreyA


Rujukan

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...