Gunung berais, ngarai dan tebing! Jelingan pertama permukaan Pluto dan Charon!

Awal pagi tadi, New Horizons telah memancar isyarat ke Bumi. Isyarat ini mengandungi foto jarak dekat Pluto dan bulan-bulan, ketika peninjau angkasa New Horizons melintasi Pluto pada jarak dekat lewat petang semalam.

Adakah Pluto penuh kawah seperti Ceres? Bagaimana pula dengan bulannya, Charon?

Persoalan itu semuanya terjawab pada sidang media pengendali New Horizons tadi.

Inilah dia bulan Charon! (Foto bawah)

nh-charon

Charon menerusi kamera Long Range Reconnaissance Imager (LORRI). NASA / JHUAPL / SwRI

Bukan sahaja permukaannya yang kelihatan tidak ada banyak kawah, namun seperkara yang menarik di sini ialah terdapat banyak jalur-jalur seperti ngarai dan tebing tinggi yang merentasi permukaan Charon di sana sini.

Kurangnya kawah di sini menunjukkan ia mempunyai permukaan yang ‘muda’ dari sudut geologi. Malah, menerusi satu gambar ini sahaja pun, kita boleh lihat begitu banyaknya bentuk rupa bumi yang berlainan jenis.

Kutub utaranya juga mempunyai tone warna kemerahan yang berbentuk poligon.

Screen Shot 2015-07-16 at 6.19.07 AM

Ngarai yang mempunyai kedalaman 6-10km! NASA / JHUAPL / SwRI

Sebuah ngarai yang kelihatan di sisi atas kanan Charon dipercayai mempunyai kedalaman 6-10km! Menurut Penolong Projek Saintis, Cathy Olkin, untuk sebuah dunia yang kecil seperti Charon dan memiliki kepelbagaian bentuk rupa bumi, ianya sungguh menarik dan menakjubkan.

Menarik di sini ialah beberapa hari lepas, kita lihat foto bulan ini dan ia kelihatan seperti ‘tua’ penuh dengan kawah. Namun, foto terbaru ini menunjukkan permukaannya ‘muda’.

Tidak ada sesiapa pun sangka Charon boleh menjadi sebegini rumit dan menarik sekaligus!

Kena ingat, ini baru foto pertama. Akan ada selepas ini, foto-foto yang beresolusi tinggi yang pasti akan mempamerkan lebih banyak ciri-ciri permukaan yang menarik.

Kemudian, lihat sahajalah kepada foto terbaru Pluto ini (bawah)!

nh-plutosurface

Gunung berais Pluto NASA / JHUAPL / SwRI

Foto ini dirakam 1.5 jam SEBELUM New Horizons melintasi Pluto, iaitu pada jarak 770,000 km dari permukaannya. Ia fokus dan zoom pada kawasan sisi Pluto, berhampiran dengan bentuk “Love”.

MasyaAllah!

Screen Shot 2015-07-16 at 7.04.45 AM

Kawasan di Pluto, di mana teletaknya gunung-ganang ais yang berjaya dirakam dari jarak dekat. Sumber: Astronomy Magazine

Menerusi foto ini, kita boleh lihat begitu jelas ada kawasan gunung-ganang di sana. Ketinggian gunung-gunung dipercayai mencecah 3500 meter tinggi!

Menurut saintis New Horizons, John Spencer, kita tahu permukaan Pluto diselaputi oleh Nitrogen dan Metana, serta ais-ais lain yang volatile (tidak stabil). Bahan-bahan tersebut tidak boleh membentuk sebuah gunung! Maknanya, apa yang kita lihat di sini ialah gunung yang dibentuk oleh water ice atau ais beku! Ini adalah kerana ais beku cukup kuat dan kukuh untuk membina satu struktur yang besar.

Seperkara lagi yang menarik ialah, tidak kelihatan langsung sebarang kawah dalam foto tersebut! Ini menunjukkan juga bahawa permukaan Pluto juga agak ‘muda’.

Sebelum ini, ramai yang menganggap Pluto akan kelihatan hampir sama dengan bulan Triton di planet Neptune, tetapi apa yang dapat dilihat di sini ialah sesuatu yang baru dan belum pernah dilihat sebelum ini.

Apakah yang mendorong permukaan kedua-dua Pluto dan Charon menjadi sebegini? Kenapa Pluto tidak mempunyai banyak kawah? Adakah gunung Pluto ini serupa secara geologinya dengan gunung-ganang di Bumi? Dari manakah datangnya tenaga ‘dalaman’ yang menyebabkan permukaan keduanya sungguh ‘caca merba’?

Akhir sekali ialah imej pertama salah satu daripada bulan Pluto, iaitu Hydra.

nh-hydra_1_0

Hydra yang dirakam menerusi kamera Long Range Reconnaissance Imager (LORRI) pada jarak 640,000 km NASA / JHUAPL / SwRI NASA / JHUAPL / SwRI

Imej ini, walaupun tidak ‘secantik’ Pluto dan Charon, namun ia telah berjaya menjawab persoalan mengenai saiz sebenar Hydra. Sebelum ini, berdasarkan pemerhatian oleh Teleskop Angkasa Hubble, ia dipercayai mempunyai saiz 58 x 34 km. Kini, menerusi data terbaru New Horizons, kita tahu ia bersaiz 42 x 33 km, lebih kecil dari yang disangka.

Hydra juga kelihatan ‘bengkok’, atau tidak bulat. Ia mungkin berbentuk seperti sebuah asteroid dan ada juga teori yang menyatakan ia mungkin sebahagian pecahan daripada Pluto.

Boleh rujuk laporan oleh Emily Lakdawalla mengenai maklumat lebih lanjut hasil sidang media tadi.

Selepas ini, New Horizons akan terus menerus menghantar foto dan data sedikit demi sedikit. Jaraknya yang jauh tidak memungkinkan kita akan dapat semua data sekaligus!

Sidang media selepas ini ialah pada lewat tengah malam hari Sabtu ini. Sementara itu, kita harapkan sekurang-kurangnya adalah juga foto terbaru yang akan dihantar buat tatapan seluruh peminat astronomi.

Tak sabar rasanya nak tengok lagi!

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...