Sampai juga akhirnya, Helo Pluto!

Akhirnya, penantian 9.5 tahun sampai ke kemuncak.

Pada jam 7.49 pm waktu Malaysia tadi (14 Julai 2015), kapal angkasa New Horizons telah melintasi Pluto pada kelajuan 13.7 km SESAAT, sejauh 12512km dari permukaannya.

Ketika itu, kita di Malaysia semua sedang sibuk berbuka puasa dan solat Maghrib. Di sebelah ‘sana’, iaitu di pusat kawalan New Horizons, para jurutera dan petugas pasukan telah menyambut dengan penuh gembira di atas milestone yang paling penting dalam misi angkasa ini.

Dalam kekalutan cuba memahami apa yang sedang berlaku di pusat kawalan sana, tiba-tiba dunia dikejutkan dengan foto ‘terbaru’ Pluto, yang sungguh-sungguh mengkagumkan!

Mulanya rasa pelik juga dari mana datang gambar ini, kerana data yang dirakam oleh peninjau angkasa ini perlu mengambil masa 4.5 jam untuk sampai ke bumi.

Rupa-rupanya gambar ini dirakam 16 jam SEBELUM lintasan paling hampir tadi.

MasyaAllah!

Itulah yang saja dapat diucapkan! Bayangkan, sejak penemuan Pluto pada tahun 1930, kini pada tahun 2015 barulah kita dapat melihat permukaannya dengan begitu jelas.

Apa yang dapat dilihat di sini ialah kawasan berbentuk ‘love’ yang mula kelihatan dan dirakam pada 8 Julai 2015 lepas (foto bawah). Ketika itu resolusi masih rendah kerana kedudukan peninjau angkasa ini masih terlalu jauh.

7-8-15_pluto_color_new_nasa-jhuapl-swri

Pluto yang dirakam pada 8 Juali 2015. Credits: NASA-JHUAPL-SWRI

Ok jom kita cuba faham apa yang ada dalam gambar tersebut. Saya telah buat tandaan (foto bawah) bagi memudahkan anda faham apo ko yang dia cakap ni nanti! Pemerhatian ini bersumberkan daripada ulasan Emily Lakdawalla.

Sudut yang kita lihat ini ialah mengadap ke kawasan kutub utara Pluto.

Jalur hitam (tandaan B) itu sebenarnya merentasi kawasan garisan Khatulistiwanya. Tompokan hitam itu hampir serupa dengan apa yang dilihat di salah sebuah bulan planet Zuhal, bernama Iapetus.

Foto di bawah menunjukkan keadaan permukaan bulan Iapetus (ini ialah bulan bagi Zuhal,, jangan confuse pulak)

Screen Shot 2015-07-15 at 12.10.00 AM

Iapetus (salah sebuah bulan planet Zuhal), yang memiliki kawasan tompokan hitam yang sama seperti Pluto

Nampak kan, persamaan antara keduanya?

Bentuk ‘love’ (tandaan C) yang menjadi tumpuan ramai sebelum ini, pun sudah menunjukkan ciri unik. Bahagian sebelah kirinya kelihatan lebih ‘licin’ berbanding sebelah kanannya yang agak ‘bertompok-tompok’.

Kutub utara (tandaan D) pula kelihatan lebih kemerahan berbanding di kawasan sekeliling kutub tersebut. Ia seolah-olah sama seperti apa yang dilihat pada bulan Charon (foto bawah) beberapa hari lepas.

nh-7-13-15_charon_image_nasa-jhuapl-swri

Charon yang dirakam pada 12 Julai 2015 dari jarak 2.5 juta km Image credit: NASA/JHUAPL/SWRI

Akhir sekali ialah kawasan tompokan berbecak-becak (tandaan A) di sebelah kiri Pluto. Ini pun nampak serupa seperti apa yang dilihat pada bulan planet Neptune, bernama Triton pada tahun 1989.

Triton_feat

Triton yang dirakam pada tahun 1989 oleh peninjau angkasa Voyager 2

Apa yang kita boleh jangkakan di sini ialah, gambar pertama ketika saat New Horizons melintasi Pluto petang tadi, bakal menunjukkan suasana jauh lebih jelas permukaan Pluto dan dapat memberi penjelasan mengenai rupabentuk buminya yang unik ini.

Kita tunggu awal pagi esok, Rabu 16 Julai 2015 waktu Malaysia, untuk gambar yang pertama sampai!

Seperkara lagi ialah, disebabkan peninjau ini amat jauh, ia terpaksa mengambil masa yang agak lama (16 bulan) untuk memancarkan kembali KESEMUA data yang diperolehi tadi. Maknanya, bermula esok hinggalah hujung tahun 2016 nanti, bersedialah untuk melihat berkepuk-kepuk gambar terbaru sebuah dunia kecil yang terletak 4.7 BILION KM daripada bumi ini!

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...