28 Sep – Gerhana Bulan Penuh Perigee yang unik

Pada 28 September 2015 nanti, akan berlaku fenomena Gerhana Bulan Penuh yang agak unik. Ia berlaku ketika Bulan berada dalam kedudukan Perigee.

Malangnya, ia tidak dapat dilihat di Malaysia. Namun begitu, ramai yang bertanya berkenaan gerhana bulan kali ini serta kaitannya dengan blood moon dan supermoon, maka saya sediakan sebuah artikel ringkas mengenainya.


Pada jam berapakah gerhana bulan ini akan berlaku?

 

Gerhana Bulan Penuh ini akan berlaku dari jam 8.11 Pagi hingga 1.22 Tengahari Waktu Malaysia.


Adakah gerhana ini boleh dilihat dari langit Malaysia?

 

Ia tidak dapat dilihat kerana ketika itu, Bulan berada di bawah ufuk (horizon) dan tidak kelihatan di langit.


Di negara manakah gerhana ini dapat dilihat?

 

Ia boleh dilihat dari negara India, Asia Tengah, Afrika, Eropah, dan seluruh benua Amerika.

Rajah bawah menunjukkan negara-negara di mana gerhana ini dapat dilihat.

Jika anda berada di dalam kawasan yang boleh nampak fenomena ini, saya syorkan untuk guna utiliti kiraan gerhana yang disediakan oleh timeanddate.com


Apa kaitannya dengan Blood Moon?

 

Istilah Blood Moon ini tiba-tiba popular beberapa tahun lepas. Ia sebenarnya dimulakan oleh 2 orang paderi Mark Blitz and John Hagee, yang merujuk kepada fenomena 4 kali gerhana bulan penuh berturut-turut (bermula tahun 2014 hingga 2015). Fenomena ini juga dikenali sebagai tetrad.

Sila rujuk artikel ini yang ada memberi pautan penerangan berkenaan isu blood moon dan tetrad ini.


Adakah wujud istilah Blood Moon dalam astronomi?

 

Di dalam bidang Astronomi, tiada fenomena rasmi yang dinamakan Blood Moon. Ia hanya gelaran sahaja yang berkaitan dengan kepercayaan agama Kristian yang dipopularkan oleh John Hagee.

Dalam masyarakat di Malaysia, orang-orang tua kita selalu mengatakan Bulan sedang sakit, setipa kali fenomena Gerhana Bulan Penuh berlaku. Ia mungkin merujuk kepada warna bulan yang menjadi kemerahan ketika gerhana.


Dengar cerita  Supermoon juga akan berlaku pada 28 September ini?

 

Pada 28 September ini nanti, Bulan akan berada dalam kedudukan Perigee, iaitu ia berada pada titik paling hampir dengan Bumi dalam pusingan orbitnya.

Maka, Bulan Penuh pada malam tersebut akan kelihatan besar sikit daripada kebiasaan.


Apakah istilah sebenar yang menggambarkan Bulan Penuh paling dekat?

 

Dalam konteks pengistilahan astronomi, jika Bulan Penuh berada pada kedudukan Perigee, iaitu paling hampir dengan Bumi, ia digelar Perigean Full Moon (Bulan Penuh Perigee)

Perbezaan saiz Bulan purnama ketika ia berada pada kedudukan Perigee dan Apogee. Sumber


Dari mana asal gelaran Supermoon?

 

Gelaran Supermoon tidak wujud dalam dunia astronomi. Ia dikatakan dipopularkan oleh seorang AHLI NUJUM (Astrologer), Richard Nolle pada tahun 1979. Menurutnya, supermoon bermaksud

“.. bulan baru atau bulan penuh yang berlaku ketika Bulan berada pada atau hampir (dalam lingkungan 90%) kedudukan paling hampir dengan Bumi dalam pusingan orbitnya …”

Perkataan ini tiba-tiba popular dan dikaitkan dengan saat ketika Bulan Penuh Perigee pada 19 Mac 2011. Selepas itu, setiap kali berlakunya Perigean Full Moon, nama supermoon terus muncul dan menjadi gelaran tidak rasmi dan begitu popular seluruh dunia.


Adakah supermoon suatu fenomena yang jarang berlaku?

 

Jika kita mengira pusingan fasa bulan dan saat di mana ia berada dalam kedudukan perigee, fenomena super- … errr …Perigean Full Moon ini akan berulang setiap 1 tahun 1 bulan 18 hari.


Kenapa FO anti sangat dengan istilah supermoon ini?

 

Bukannya anti sangat, tetapi saya secara peribadi berpendapat adalah lebih baik kita gunakan istilah sebenar bagi setiap fenomena di langit, walaupun ia tidak popular di kalangan masyarakat.

Lagipun istilah supermoon dipopularkan oleh seorang ahli nujum, kenapa perlu menyokong dan mempopularkan penggunaan istilah ini?

Selain itu, istilah blood moon pun tidak ada kaitan dengan dunia astronomi . Ia merupakan istilah yang dipopularkan oleh paderi Kristian menceritakan tentang akhir zaman menerusi kitab injil. Jadi, mengapa kita ni sebagai muslim,  menyokong penggunaan istilah ini?

Cuma perlu diakui hampir kesemua laman-laman web astronomi lain menggunakan istilah ini sebagai satu daya tarikan supaya orang ramai menyaksikan fenomena gerhana ini. Bak kata orang… “…it’s a losing battle..”


Apa yang istimewa berkenaan Gerhana Bulan kali ini?

 

Istimewanya fenomena 28 September ini ialah, Gerhana Bulan Penuh akan berlaku KETIKA Bulan berada dalam kedudukan Perigee. Ia digelar dengan nama Gerhana Bulan Penuh Perigee.

Fenomena ini jarang berlaku. Sejak tahun 1900, hanya ada 5 kali fenomena seumpama ini berlaku:

  • 17 Nov 1910
  • 27 Nov 1928
  • 8 Dis 1946
  • 19 Dis 1964
  • 30 Dis 1982

Penulis di laman UniverseToday, David Dickinson ada menyediakan sebuah jadual yang menyenaraikan fenomena Gerhana Bulan Penuh Perigee untuk sepanjang kurun ke-21.


Bolehkah kita mengikuti Gerhana Bulan Penuh 28 Sep 2015 ini menerusi online?

 

Kita boleh menonton gerhana ini menerusi laman web Virtual Telescope Project, yang akan memulakan siaran live pada jam 9 Pagi waktu Malaysia.


Bilakah fenomena Gerhana Bulan Penuh Perigee akan berlaku selepas ini?

 

Fenomena yang sama akan berlaku pada 8 Oktober 2033. Ketika itu dari Malaysia, kita akan dapat lihat Bulan dalam keadaan sedang gerhana ketika ia terbit pada waktu Maghrib.


Jika kita di Malaysia tak dapat saksikan fenomena gerhana ini, apakah yang sebenarnya kita akan lihat?

 

Pada 28 September 2015 itu nanti, kita akan dapat saksikan Bulan Penuh Perigee, iaitu fenomena Bulan Penuh terbesar dan paling terang untuk tahun 2015 ini.


Ada apa-apa kesan ke terhadap kita di Bumi?

 

Seperti mana ketika fasa Bulan Penuh yang lain, kita akan mengalami air pasang. Cuma dalam kes Bulan Penuh Perigee ini, air pasang ini dikenali sebagai Air Pasang Besar atau Perigean Spring Tide.

Sila rujuk penerangan ini.


Wallahua’lam

Rujukan

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...