4 langkah asas untuk mempelajari objek-objek langit

Langkah pertama untuk kita meneroka alam semesta pada waktu malam sentiasa menjadi persoalan yang tiada ketemu jawapannya. Seringkali ramai yang bertanya mengenai jenis teleskop yang manakah sesuai untuk melihat galaksi, atau dia  hendak merakam astrofoto tetapi tidak mahu membeli peralatan yang berharga lebih dari RM1000!

Selain itu, ada juga telah bertanya dan meminta nasihat tentang apa yang diperlukan untuk mempelajari bidang astronomi ini.

Terus terang, memang saya lambat untuk menjawab persoalan-persoalan seperti di atas (malah dah sampai ke tahap kena sumpah seranah).

Semuanya bukan sengaja, kerana saya khuatir jika tersalah memberi nasihat, lebih mudarat jadinya. Di samping itu, saya juga kena fikirkan  cara terbaik untuk:

  • menerangkan satu konsep yang agak asing,
  • di dalam bahasa yang mudah,
  • kepada seseorang yang mempunyai zero knowledge
  • yang bersemangat tetapi tak sabar-sabar untuk terus pandai dari A-Z dalam masa yang singkat.

Saya sendiri mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk sampai tahap yang sekarang ini. Itupun masih banyak lagi perkara yang masih kena belajar dan terkejar-kejar kerana perkembangan ilmu ini yang begitu pesat sejak sedekad yang lalu.

Apa pun, langkah pertama mesti diambil. Jika kita takut untuk memulakannya, sampai bila pun tidak akan sampai ke penghujungnya.

Menerusi artikel ini, saya cuba gariskan beberapa langkah asas yang mungkin sesuai untuk anda mencubanya. Kena ingat, langkah-langkah ini bukanlah terbaik dan ramai lagi di luar sana yang boleh memberi pandangan jauh lebih bernas. Apa yang saya cuba huraikan di sini adalah berdasarkan pengalaman saya sebelum ini.

Secara amnya, ada 4 langkah awal yang penting:

  1. Pandang ke langit
  2. Lakukan pemerhatian
  3. Kenal buruj
  4. Binokular sebagai teman

Pandang ke langit

Perangai suka pandang ke langit merupakan satu elemen penting yang harus ada dalam diri kita.

Jika kita tidak pernah mendongak ke langit, bagaimana kita mahu mengenali dan memahami pergerakan objek-objek angkasa yang sebenar-benarnya?

Hanya dengan sekadar membaca buku, melayari internet dan menggunakan aplikasi simulasi langit di dalam gajet-gajet, tidak akan memberi kesan, impak serta gambaran sebenar di luar sana.

Ilmuwan terdahulu sebelum kita, tamadun-tamadun Greek, China dan kemudian ilmuwan muktabar Islam, semuanya mempunyai satu persamaan… semuanya memandang ke langit.

Jika kita masih ingat pada bulan Ramadhan lepas (1436H), langit senja dihiasi dengan pergerakan unik 2 buah planet yang tercerah di langit, Zuhrah dan Musytari.

Cuba bayangkan, jika kita hanya sekadar membaca menerusi pos-pos di page FalakOnline, tanpa keluar dan menyaksikan sendiri kedua objek itu di langit, tentu ramai yang tidak akan sedar betapa indahnya kedua-dua planet ini menghiasi langit sementara kita beramai-ramai menuju ke masjid menunaikan solat Terawih.

Sambil menuju ke masjid untuk mendengar ayat-ayat maqru’ah, kita memulakan langkah dengan memerhati alam menerusi ayat-ayat manzurah.

Kan cantik tu!

Tapi mesti ada yang akan berkata “Dah pandang dah tapi tak kenal apa-apa pun!”

Jawapan saya ialah kita tidak semestinya terus  boleh kenal dengan apa yang ada di langit. Malah, kalau kita nak berkenalan dengan orang pun, ambil masa juga untuk ingat nama dan kenal perangai dia!

Di langit, ada 6 buah planet yang terang dan boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi selalu berubah-ubah posisinya, ada 88 buah buruj dan akan berubah kedudukan sepanjang malam sepanjang tahun, International Space Station akan sentiasa melintasi langit dengan kecerahan melampau hingga mengelirukan kita, meteor akan tiba-tiba muncul dan banyak lagi.

Sekali imbas, memang kesemuanya terasa amat membebankan!

Tapi jangan risau. Jika kita selalu memandang objek-objek ini, lama kelamaan akan kenal juga!

foto018

Jadikan mendongak ke langit satu tabiat yang menyeronokkan. ©Shahrin Ahmad

Apa yang penting di sini ialah, apa yang dilihat itu biarlah disimpan dalam ingatan kita ini. Mungkin suatu hari nanti, bila kita sudah mula belajar lebih sedikit , kita akan teringat kembali kenangan dulu, dan barulah ketika itu  dapat kenalpasti dan appreciate identiti sebenar benda yang kita lihat itu.

Ingat, pandanglah ke langit selalu. Jadikan ia sebagai satu habit. Inilah langkah pertama.


Lakukan pemerhatian

Sekadar pandang ke langit, kita baru melengkapkan 50% daripada tugasan sebenar sebagai seorang pemerhati langit.

Satu lagi langkah yang kena ambil ialah pemerhatian.

Kalau sekadar pandang sahaja, ia tidak cukup untuk memberi kita pemahaman yang jelas mengenai sesuatu fenomena atau objek tersebut. Sebaliknya, jika kita memerhatinya dengan bersungguh-sungguh dari hari ke hari, lihat perubahan posisinya, mungkin kecerahannya berubah, atau rupa bentuknya yang sentiasa bertukar setiap malam, lama-kelamaan kita akan dapat satu pemahaman yang lebih mendalam.

Bak kata orang tua-tua,“tak kenal maka tak cinta”.

Sebagai contoh, kita mungkin pernah lihat di kalangan bintang-bintang di dalam buruj Orion, hampir kesemuanya berwarna putih, cuma ada satu sahaja yang berwarna kemerahan.

Bagi seseorang yang sekadar tengok aje, dia memang akan perasan perbezaan warna itu, tetapi setakat itu sahajalah yang dia akan nampak. Bagi dia, bintang itu sekadar cantik dan berlainan warna dari yang lain.

Mencerap langit beramai-ramai merupakan satu aktiviti sihat. Sumber berita.

Namun, bagi seseorang yang memerhati dengan lebih tekun, pasti dia akan mula bertanya-tanya, mengapa bintang itu merah? Setelah dibuat pembacaan, barulah dia akan dapati bahawa bintang itu merah kerana ia sudah tua dan sampai ke penghujung hayatnya. Bermula dari pengetahuan ini, dia akan mula lihat setiap bintang di langit itu sebagai satu ‘benda hidup’, yang masing-masing mempunyai cerita atau sejarah tersendiri.

Itulah yang dimaksudkan dengan pemerhatian.


Kenalilah buruj

Buruj-buruj merupakan papan tanda di langit. Ia akan memudahkan kita mencari objek-objek yang lebih kelam dan mencabar. Jika kita tidak mengenali buruj, maka amat susah untuk menerangkan kepada seseorang arah atau kawasan mana di langit yang kita sedang ceritakan.

Sebagai contoh, andai kata malam ini ada planet Zuhal di langit. Disebabkan kecerahan planet Zuhal ini tidaklah terang sangat dan menyilau-nyilau (seperti Zuhrah), ia merupakan antara planet yang ‘agak mencabar’ untuk diceritakan kepada rakan-rakan kita.

“tu yang dekat sebelah sana tu, atas sikit dari bintang yang cerah satu lagi tu…”

” alaaa.. yang sebelah bintang merah tu, ada 3 bintang sederet,, kalau buat garisan ke atas, tapi bengkok ke kanan sikit, mata kita akan nampak Zuhal”

” Dia tu tak de la terang sangat. Nampakkan? Dah dekat atas kepala tu, tapi senget ke kanan sikit.. sikit je senget”

Kebanyakkan daripada kita pernah dengar atau pernah mengungkap sendiri ayat-ayat seperti di atas, bagi menunjukkan arah objek yang dimaksudkan. Mesti susah kan?

Namun, jika kita kenal bentuk buruj, ayatnya akan menjadi tepat atau straight to the point seperti di bawah:

“Zuhal tu berada di atas kawasan kepala buruj Scorpio, lebih kurang 10 darjah ke barat Antares”

“Zuhal berada di antara Scorpio dan Libra, senang je kerana ia bersinar sama cerah dengan Antares”

Dengan menguasai ilmu buruj, kenali bentuknya, tahu bila ia muncul, tahu nama bintang-bintang cerah di dalam sesebuah buruj, kerja-kerja untuk mencari objek di langit akan menjadi amat mudah dan ringkas.

Itulah pentingnya berkenalan dengan buruj.

Zaman sekarang ini dah banyak perisian komputer dan aplikasi mudah alih yang boleh menunjukkan kedudukan buruj-buruj di langit (selain daripada planet, bulan dan matahari).

Ia jauh lebih mudah berbanding dengan cara yang saya gunakan dahulu, yang mana terpaksa membawa buku-buku atau helaian-helaian besar peta bintang bersama-sama dalam aktiviti cerapan malam.

Walaupun ia mudah, tetapi saya dapati masih ada yang tak kena.

Apa tidaknya, ramai yang tahu menghalakan telefon bimbit dan aplikasi tersebut ke langit, sambil berkata buruj sekian-sekian ini berada di arah sekian-sekian.

Tetapi apabila dia pandang  dengan mata kepalanya sendiri ke langit, dia akan jadi buntu, keliru dan tak tahu yang mana satukah bintang di langit yang telah ditandakan dalam aplikasi tersebut!

Jelas di sini,  jika kita tidak mempunyai skil “Pandang Ke Langit”,  gunalah secanggih mana perisian dan aplikasi yang ada, kita akan mengalami kesukaran mengenalpasti objek di langit.

screen520x924

Itulah sebabnya, langkah pertama “Pandang ke Langit” mesti dimulakan terlebih dahulu dan dijadikan sebagai habit dalam diri kita.

Setelah selalu pandang ke langit dan memerhatikan perubahan setiap malam, mengenali buruj merupakan langkah ke-3 yang amat penting dan perlu dibiasakan.


Binokular sebagai teman

Seringkali saya nasihatkan, jika …

anda tak dapat nak bezakan antara planet dan bintang…

.. jangan beli teleskop dahulu! Belilah Binokular.

Bacalah mana-mana tulisan penggiat astronomi amatur dan juga profesional dunia, mereka pasti akan memberi pendapat yang sama. Malah, walaupun sekarang mereka mempunyai teleksop yang serba canggih untuk meneroka langit, sebuah binokular kecil tetap ada bersama-sama dengan mereka sepanjang masa.

Alat ini amat versatile, ia kecil, mudah dan ringan untuk di bawa ke mana-mana dan tidak memerlukan sebarang kuasa bateri untuk mengendalikannya. Ia mampu menunjukkan ratusan ribu bintang di langit.

Jumlah bintang yang boleh dilihat dengan mata kasar di seluruh kawasan langit, mencecah sekitar 9000 buah bintang kesemuanya. Jumlah inilah yang mana pepatah ada mengatakan tak terkira bintang di langit.

Apabila kita menggunakan sebuah binokular, jumlah bintang yang dilihat akan mencecah 200,000 buah bintang!

Ini sebenarnya sebuah jumlah yang amat besar! Jika 9000 bintang dengan mata kasar pun tak terhabis untuk dilihat, apatah lagi 200,000 buah bintang!

Apa yang saya cuba maksudkan di sini ialah, alat sekecil ini pun sudah cukup memadai untuk kita memulakan langkah pertama dalam penerokaan langit malam menggunakan alat bantuan mencerap.Ia sudah mampu menunjukkan kepada kita pandangan langit yang penuh dengan ribuan bintang, gugusan-gugusan bintang, bintang berkembar, nebula serta galaksi yang terang-terang. Semuanya di bawah jangkauan sebuah binokular.

Tak perlulah kelam kabut membeli sebuah teleskop, kerana cara pengendalian sebuah teleskop jauh berbeza dan perlukan latihan yang banyak dan kesabaran yang tinggi untuk menggunakannya, walhal Binokular ini, bagilah kepada anak kita yang umur 3 tahun, dia pasti akan tahu serta merta cara nak pegang dan hala ke langit.

Mulalah dengan tenang, dengan cara yang paling mudah. Hasilnya jauh lebih memberangsangkan!

Binokular wajib kena ada sebagai teman!


Rumusan

Untuk peringkat awal, langkah-langkah awal untuk kita mula nak berkenalan dengan objek-objek langit adalah seperti

  • Pandang ke langit
  • Pemerhatian lebih mendalam
  • Kenali Buruj
  • Binokular sebagai alat cerapan pertama

Bagi saya 4 faktor ini perlu dikuasai terlebih dahulu, barulah kita akan lebih appreciate dengan apa yang kita akan lihat di langit.

Selepas itu, barulah kita masuk bab-bab yang lebih terperinci dan agak ‘teknikal’, seperti:

  • apakah jenis teleskop yang sesuai untuk melihat objek tertentu?
  • Mengapa bila tengok dalam teleskop, tak sama dengan apa yang ada di internet?
  • Apakah perisian yang dapat membantu dalam proses pencerapan ini?
  • Teleskop yang mana sesuai untuk beginner

Persoalan di atas ni, memang ramai dah tanya, tetapi untuk menjawabnya kena ada prerequisite atau syarat-syarat awal yang kena penuhi dulu. Syarat-syarat itulah   yang dibincang dalam artikel ini.

Saya terbaca sebuah artikel di muslimheritage.com berkenaan dengan seorang ahli matematik, ahli astronomi, oakar optik dan mekaninal, Taqī al-Dīn al-Rasid (1526-1585). Beliau juga terkenal kerana membina Balai Cerap Istanbul (1574).

Satu perenggan yang menarik perhatian saya di dalam artikel di atas ialah bagaimana menerusi buku, Sidrat muntahā al-afkār fī malakūt al-falak al-dawwār ,  menunjukkan bagaimana beliau telah mengkaji dan menemui nilai 2º0′ eccentricity of the Sun (sejauh mana bulatnya orbit bumi mengelilingi matahari) , dan anjakan apogee sebanyak 63 minit setiap tahun. Nilai yang sungguh tepat dan hampir sama dengan apa yang dijumpai sekarang. Kesemua ini berdasarkan pemerhatian pergerakan posisi Bulan, planet Zuhrah, bintang Aldebaran dan bintang Spica.

Keyword di sini ialah pemerhatian.

Ia bukanlah satu konsep asing, malah telah pun digunakan oleh para ilmuwan hebat masa silam. Maka, tibalah masa sekarang untuk kita ‘kembali’ menjadikannya sebagai satu tabiat yang amat-amat berguna.

InsyaAllah kita sambung lagi selepas ini dengan tajuk berkaitan dengan konsep teleskop dan apa yang boleh dilihat menerusi teleskop yang berlainan spesifikasi.

Wallahua’lam

Rujukan:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

  • Ahmad Nazmi Azman

    Assalamualaikum…nak tanya admin sikit…dekat gambar yang kedua tu, saya ada nampak teleskop Celestron MAK C90…saya nak tanya, tripod dan motor jenis apa yang admin Tuan Shahrin guna sekali dengan teleskop tu…sebab saya pun memiliki teleskop tu, cuma saya tak ada tripod dan motor untuk saya guna bersama dengan teleskop C90 tu

Skip to toolbar