Tatkala senja menjelang … di Pluto!

Berita Misi Angkasa Penemuan Terkini

MasyaAllah! Tengok sahaja gambar terbaru Pluto yang dimuat turun daripada New Horizons semalam!

Ini merupakan pandangan yang tidak terjangkau atau tidak terfikir oleh sesiapa pun sebelum ini!

Ia dirakam 15 minit selepas New Horizons melintasi Pluto,  ketika ia menoleh ke belakang dan merakam suasana keadaan planet kerdil ini daripada sudut yang berlainan.

… dan apa yang dilihat di sini, sungguh menakjubkan!

  • Suasana kawasan pergunungan ais Pluto yang mencecah ketinggian 3500 meter
  • Kawasan lapang yang diselaputi ais nitrogen (bukan ais air!)
  • Lapisan demi lapisan atmosfera yang mencapai ketinggian 100km!
  • Kawasan senja yang menghasilkan bayang-bayang gunung apabila cahaya matahari menyinari di celah-celah puncak gunung.

Malah, terlampau banyak benda yang ada di sini  hinggakan tak terungkap kata-kata melainkan ucapan #MasyaAllah

Inilah sebuah dunia yang terletak nuunn berbilion kilometer daripada bumi, yang menerima cahaya yang amat sedikit (serupa dengan waktu senja di bumi), namun mempunyai bentuk muka bumi yang begitu kompleks, dinamik dan hampir ‘serupa’ dengan apa yang kita lihat di bumi!

Kita lihat satu per satu foto yang ada ini.

nh-apluto-wide-9-17-15-final_0
Credits: NASA/JHUAPL/SwRI

Foto di atas dirakam ketika jarak New Horizons berada di sekitar 18,000 km daripada Pluto. Ia menunjukkan sebuah struktur permukaan yang sungguh kompleks. Saya cuba terangkan seringkas dan semudah mungkin supaya anda dapat menghayati sepenuhnya apa yang terpampang di sini.

Kawasan lapang yang dikenali dengan nama Sputnik Planum berada di sebelah kanan gambar, manakala kawasan 2 buah banjaran pergunungan berada di sebelah kiri, iaitu Norgay Montes (yang berada hampir dengan kawasan sempadan malam dan siang), dan Hillary Montes yang berada di ufuk.

Kembali kepada kawasan lapang Sputinik Planum, ke sebelah kanannya, kelihatan lagi kawasan muka bumi yang kasar tetapi seolah-olah dipotong-potong oleh glasier.

Anda kena klik pada foto di atas untuk mencapai saiz sebenar, barulah dapat lihat lebih jelas, lebih dekat. Jom klik!

nh-apluto-mountains-plains-9-17-15_0
Credits: NASA/JHUAPL/SwRI

Foto di atas pula ialah paparan lebih dekat di kawasan tengah-tengah antara Sputnik Planum (kanan) dan banjaran pergununan Norgay Montes dan Hillary Montes di kiri.

Kalau tanya orang kita di Malaysia, gambar atas ini sebiji macam air batu campur (ABC) 😉

“Gambar sebegini seolah-olah seperti kita berada di Pluto, meninjau-ninjau persekitarannya”, memetik kata-kata Alan Stern,  Penyelidik Utama New Horizons, dari  Southwest Research Institute, Boulder, Colorado. “Tetapi imej ini juga merupakan bonanza saintifik , mendedahkan butiran baru mengenai atmosfera, suasana dataran, pergunungan dan glasier di  Pluto.”

nh-apluto-low-haze-9-17-15-updated
Credits: NASA/JHUAPL/SwRI

Foto di atas ini lagi mengujakan. Kalau kita lihat bentuk bayang-bayang di kawasan malam dan siang itu, tajam-tajam semuanya. Ia sebenarnya bayang-bayang puncak-puncak gunung ais yang berada di sebelah atas foto, yang disinari cahaya matahari!

Selain itu, ada kelihatan kabus atau jerebu yang berada berhampiran dengan bayang-bayang puncak tersebut. Kehadiran kabus atau jerebu ini cukup menarik kerana ia menunjukkan ekosistem persekitaran Pluto seolah-olah sama seperti di bumi, iaitu di mana ketika awal pagi, kabus tebal di permukaan, dan setelah matahari semakin meninggi kabus/jerebu ini semakin panas dan menghilang atau naik lebih tinggi ke udara.

Cuma dalam kes Pluto ini, kabus dan jerebu ini bukanlah air, tetapi gas nitrogen!

nh-3flow-detail-annotated-9-17-15
Credits: NASA/JHUAPL/SwRI

Dalam gambar-gambar sebelum ini, sudahpun ada tanda-tanda kewujudan pergerakan ais atau glasier di permukaan Pluto. Foto terbaru di atas ini lebih jelas menunjukkan kesan pergerakan tersebut, dan menguatkan lagi keyakinan para saintis terhadap kejadian itu.

Kawasan ini ialah paparan lebih dekat di kawasan tandaan dalam foto asal ini.

Anak panah berwarna merah menunjukkan kesan laluan glasier yang bergerak dari kawasan pergunungan di sebelah kanan menuju ke kawasan rendah di kiri.

Anak panah biru menunjukkan kawasan hadapan aliran glasier ini, yang membentuk seperti selonggok ais berbentuk kawasan bulat.

Saya terjumpa foto di bawah ini, yang menunjukkan kesan pergerakan glasier yang sama, tetapi yang ini berlaku di Bumi, di benua Antartika! Lihat sahaja bagaimana kedua-dua di Bumi dan Pluto, hampir sama bentuknya.

Namun sekali lagi kita kena ingat, di Bumi, glasier itu terdiri daripada air ais, manakala di Pluto, ia merupakan ais Nitrogen!

craneglacier_ali_2012055
Aliran glasier Hektoria dan Green di Antartika. Sumber

Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Alan Stern, “Menghairankan, Pluto ini seakan-akan seperti Bumi, dan tiada siapa yang menjangkannya sebelum ini!”

Foto terbaru dari New Horizons ini dimuat turun menerusi kamera bernama MVIC (Multispectral Visible Imaging Camera). Ia mempunyai resolusi jauh tinggi berbanding gambar-gambar sebelum ini yang datang daripada kamera LORRI (Long Range Reconnaissance Imager).

Kamera LORRI seperti kamera point-and-shoot kita ini. Ia mempunyai resolusi 1024 piksel, berbanding MVIC yang mempunyai 5024 piksel.

Ia agak teknikal, dan jika anda ingin mengetahui lebih lanjut, boleh rujuk atikel yang ditulis oleh  Emily Lakdawalla ini.

Sebenarnya minggu lepas, telah pun keluar siri atau batch pertama foto-foto Pluto beresolusi tinggi, cuma saya tak berkesempatan untuk mengulasnya di sini, dan hanya sempat membuat pos ringkas di Facebook Page Falak Online.

Cuma suka nak dikongsi sedikit di sini, foto beresolusi tinggi bulan Charon. Lihat di bawah (Klik foto atau sini untuk mencapai saiz asal). Ciri permukaan yang terkecil yang boleh dilihat dalam foto ini adalah sekitar 4.6km.

Charon bukan sebarangan bulan. Jelas kelihatan permukaannya yang calar-balar. mungkin peninggalan kesan pembentukannya berbilion tahun dahulu. Belum ada lagi ulasan mengenai Charon ini dari para pengkaji dan saintis. Kita tunggu dan lihat dulu.

nh-charon_9-10-15
Credits: NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Southwest Research Institute

Jika anda tidak sabar-sabar untuk lihat foto New Horizons (menerusi kamera LORRI) yang masih RAW dan belum diproses, bolehlah ke SINI untuk mendapatkannya.


Ibrah

 

Saya suka melihat penemuan-penemuan baru ini sebagai satu rangsangan dan melatih minda kita ini memikirkan kejadian di sekeliling kita. Kita sudah ‘terbiasa’ dengan keadaan sekeliling di bumi, dengan hujan dan panasnya, siang malamnya, kemunculan jerebunya dan pelbagai lagi, hinggakan ‘hilang’ rasa kagum terhadap yang menciptanya. Bak kata orang, dah lali.

Namun, sekali sekala apabila berita baru seumpama ini keluar, kita seolah-olah baru terkejut dari tidur, terpinga-pinga. Samada kita sedar atau tidak, keluarnya berita penemuan seperti ini akan diselang-seli dengan pelbagai jenis komen, ulasan dan komentar, daripada mereka yang cukup kagum hingga hanya perkataan zikir Subhanallah, MasyaAllah sahaja yang terungkap, hinggalah kepada mereka yang menolak mentah-mentah penemuan ini atas alasan masing-masing.

Biasalah itu, sesuatu yang amat asing pasti akan timbul 1001 persoalan. Namun, tanpa melihat dan meneroka alam, asyik dengan dunia sahaja, maka amat rugilah kita sebagai hamba Allah SWT yang dianugerahkan akal untuk berfikir. Malah lebih rugi lagi jika kita malas untuk berfikir kejadian ini, melihat ini dari pelbagai sudut dan ruang, tanpa ada sikap prejudis!

16 ayat dalam Al-Quran mempunyai perkataan Ulul-Albab . Allah SWT suruh kita jadi golongan yang suka lihat, fikir dan zikir (bak kata-kata Ustaz Shahrizan At-Turabi).

Memetik kata-kata Al-Kindi, Ilmuwan Islam berasal dari Baghdad, Iraq (Kurun ke-9), menerui buku 1001 Inventions – The Enduring Legacy of Muslim Civilization 3rd edition m/s 17.

“We ought not to be ashamed of appreciating the truth and of obtaining it wherever it comes from, even if it comes from races distant and nations different from us”

1834c7bd-4e1e-41f3-b350-bc00255de418

Wallahua’lam

0 0 votes
Article Rating
2 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Ihsan

Mcm mana horizon tu hntr data ke bumi. Dan mcm mana horizon sambung perjalanan ke tempat lagi jauh? Tenaga apa yang digunakan? Mohon artikel tentang horizon. Mohon tunjuk ajar tuan.

MNK

dia guna X-band untuk communicate dengan bumi. Makin jauh, makin tinggi latency (masa untuk signal sampai dari New Horizon (NH) ke bumi). Masa kat pluto, signal amek masa 4.5 jam untuk sampai. Data rate lebih kurang 1 bit/s. Disebabkan data yang banyak daripada Pluto observation, untuk hantar semua data ke bumi ia ambil masa lebih kurang 16 bulan. Rasanya size data lebih kurang 8Gb je kot.

Pastu, sebab bumi ni berputar, NASA ada global network of antenna untuk dapatkan signal dari NH 24/7.