Asteroid 2015 TB145 datang menjenguk Bumi hujung bulan nanti

9AB60BAB-9968-4289-BB03-33D4EDD87AE0

Gambaran artis menunjukkan sebuah asteroid sedang melintasi Bumi (via Shutterstock)

Pada 1 November 2015 nanti, sebuah lagi asteroid bakal melintasi berhampiran dengan Bumi, dan buat beberapa ketika boleh dilihat menerusi teleskop-teleskop amatur dan juga profesional.

Dikenali dengan nama 2015 TB 145, ia akan berada pada kedudukan 1.3 kali ganda jarak ke Bulan, iaitu lebih kurang pada jarak 480,000 km sahaja.

Kira dekat lah tu!

Walaupun banyak asteroid lain yang sentiasa melintasi ‘ruang angkasa’ berhampiran dengan Bumi, asteroid 2015 TB145 ini ‘istimewa’ kerana ia akan menjadi asteroid paling besar (saiznya 400 meter) yang akan melintasi pada jarak yang hampir dengan Bumi, SEBELUM sebuah lagi asteroid 1999 AN10, yang lebih besar (800 meter) dan akan melintasi lebih hampir ( sama jarak dengan orbit Bulan) pada bulan Ogos 2027 nanti.

Maknanya, lepas ini akan ada yang besar lagi melintasi Bumi!

Menurut International Astronomical Union (IAU) Minor Planet Center, kali terakhir objek sebesar ini melintasi Bumi ialah pada Julai 2006 lepas, oleh asteroid 2004 XP14.

Asteroid 2015 TB145 ini ditemui menerusi teleskop PanSTARRS-1 (Panoramic Survey Telescope and Rapid Response System) kepunyaan University of Hawaii di Haleakala, Maui.

CFE4C3C4-4083-4A14-88B9-07F5F2CDC854

Balai cerap PanSTARRS-1 di Hawaii

Menurut Paul Chodas, pengurus bagi Center for Near Earth Object Studies di Jet Propulsion Laboratory NASA, trajektori atau laluan asteroid ini sudah boleh dikira dengan tepat, dan laluan tidak akan membawanya lebih hampir daripada jarak 480,000 km daripada Bumi.

FFB3FF22-E512-4032-919D-1D9418DCBC14

Laluan asteroid 2015 TB145 ketika ia meintasi Bumi pada 1 Nov 2015, 1:05 AM Waktu Malaysia (Image credit: NASA/JPL-Caltech)

 

Kenapa Lama Sangat Nak Jumpa?

 

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, bagaimana sebuah objek yang besar ini tidak ditemui sebelum ini? Dengan pelbagai program tinjauan langit (sky survey) yang beroperasi ketika ini, agak hairan kenapa 2015 TB145 tidak dijumpai lebih awal?

Jawapannya terletak pada bentuk orbitnya.

Asteroid 2015TB145 ini mempunyai bentuk orbit yang agak elips (tak bulat). Laluannya yang paling hampir dengan matahari berada di dalam kawasan orbit Utarid (maknanya ia akan berada lebih dekat dengan matahari berbanding Utarid pada ketika itu), dan pada titik paling jauh, ia berada pada lebih jauh daripada orbit Marikh.

Selain itu, satah orbitnya senget 40 darjah, dan sebahagian besar laluannya berada ke selatan daripada garisan ekliptik. Garisan ekliptik merupakan garisan laluan matahari apabila ia bergerak merentasi langit dalam masa satu tahun). Kalau ke selatan daripada garisan ekliptik, maka kebarangkalian untuk ia ditemui agak sukar, kerana tidak banyak balai cerap di negara hemisfera selatan yang ditugaskan memantau objek-objek seperti ini.

668A71B1-7FC6-4AB3-A82B-20A93F391B48

Orbitnya yang senget dan elips menyukarkan ahli astronomi mengesan asteroid 2015 TB145. NASA / JPL / Horizons


Ada Peluang Nak Melihatnya?

 

Pada saat ia berada paling hampir dengan Bumi, iaitu pada 1 November 2015, jam 1.05 AM Waktu Malaysia, ia akan bersinar pada magnitud 10.

Magnitud 10 ini amat kelam, nak senang cerita…

  •    Tidak boleh dilihat dengan mata kasar
  •    Mungkin boleh dilihat dengan Binokular (dari kawasan langit yang gelap)
  •    Boleh dilihat dengan Teleskop yang saiz sederhana.

Selain itu, untuk mencarinya, anda perlu mempunyai pengetahuan berikut:

  •    Teleskop berkomputer untuk memudahkan proses mencari
  •    Cara menggunakan perisian peta bintang yang boleh memuat turun kordinat terkini asteroid
  •    Penggunaan kamera untuk merakam objek malam.

Tapi jangan risau, kerana ketika asteroid ini berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi, ia TIDAK KELIHATAN DI LANGIT MALAYSIA!

Berdasarkan kiraan yang saya buat menerusi Sky Safari Pro, bermula dari terbenam matahari 31 Oktober 2015 hingga terbit matahari keesokannya, 1 Nov 2015, asteroid 2015TB145 ini akan SENTIASA BERADA DI BAWAH UFUK.

Maka, tak perlukan bersusah payah nak carinya!

Video di bawah merupakan simulasi bermula dari waktu Isya’ malam nanti, 31 Okt 2015 hingga terbit matahari esok 1 Nov 2015. (waktu KL)

Setiap frame ini ialah loncatan sebanyak 30 minit setiap satu.

Kedudukan asteroid ini ditanda dengan icon + di bahagian tengah skrin video ini.

Waktu bagi setiap frame dipaparkan di bahagian kiri video ini.

Kiraan ini dibuat menggunakan Sky Safari Pro 4 yang telah dikemaskini data orbit terkini objek-objek sistem suria pada jam 3pm tadi.


Online Observation

 

Namun begitu, seperti biasa Gianluca Masi dari Virtual Telescope akan cuba memancarkan imej asteroid ini secara Live menerusi internet. Boleh klik link di bawah:

Kesimpulan

 

  1. Asteroid 2015TB145 merupakan asteroid bersaiz 400 meter yang akan melintasi Bumi pada jarak 1.3 kali ganda jarak Bulan.
  2. Asteroid ini tidak akan berlanggar dengan Bumi
  3. Asteroid ini tidak dapat dilihat dari langit Malaysia
  4. Asteroid ini agak kelam, dan perlukan teleskop besar dan berkomputer untuk menjejakinya

Rujukan

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...