Ulasan Bumi Bergelap 15 Hari – Fakta atau Auta?

Sekali lagi, cerita mengenai Bumi akan bergelap muncul kembali di media sosial. Yang terbaru ialah sumber daripada qatarscoop , yang membawa tajuk “NASA CONFIRMS EARTH WILL EXPERIENCE 15 DAYS OF DARKNESS”

Ramai yang bertanya betul atau tidak.

Jawapan ringkas  –> Tidak. Ia adalah hoax (cerita palsu)

Jawapan panjang –>  Sila baca sampai habis artikel ini  (sekali dengan rujukan-rujukan yang disertakan sekali)

Ok jom baca.


Mana berita rasminya?

 

Merujuk kepada artikel di laman qatarscoop tersebut.

Screen Shot 2015-09-14 at 1.55.10 PM

Kalau jika tinjau sana sini, sehingga hari ini, tidak pernah ada mana-mana statement seumpama apa yang dikatakan oleh artikel berkenaan.

Jika benar ia akan berlaku, pasti sudah ada ulasan panjang lebar mengenainya, bukan sahaja daripada NASA (yang saya yakin ramai yang tak percaya, tapi yang peliknya kali ini ramai pula yang percaya), tetapi mesti ada yang datang daripada jaringan agensi angkasa negara-negara lain seperti ESA, JAXA, ANGKASA, LAPAN dan banyak lagi.

Selain itu, sudah pasti penyelidik dari universiti-universiti tersohor dunia akan turut mengeluarkan kertas kerja kajian atau abstrak penyelidikan serta mengulas dari sudut pandangan akademik. Malangnya, ia tak wujud.

Di samping itu, komuniti ahli astronomi amatur (yang bukan profesional) yang jumlah berpuluh ribu di seluruh dunia, yang mana mereka ini selalu mencerap langit setiap hari, akan turut mengulas dan memberi pandangan menerusi forum-forum perbincangan seperti cloudynights.com, iceinspace dan sebagainya, tetapi malangnya tiada seumpama ini.

Juga, laman-laman web majalah astronomi yang popular seperti skyandtelescope.com, astronomy.com, astronomynow.com , universetoday.com dan banyak lagi akan mengeluarkan artikel menjelaskan panjang lebar mengenainya (jika ia berlaku).. tetapi tiada satu pun yang mengulasnya.

Nanti ramai yang akan kata “alaaa.. ini semua konspirasi, disembunyikan cerita semua orang tak tahu”….Agak-agaknya lah, cuba kita fikir sikit… mampukah kita menyogok atau ‘membayar’ KESEMUA penggiat astronomi (profesional dan amatur) SELURUH DUNIA supaya diam dan ‘sembunyikan’ maklumat itu dari orang ramai?

Jika nak sembunyi pun, apa faedah yang mereka dapat? Lebih baik hebohkan kepada orang ramai, tulis buku, jual t-shirt mengambil ‘kesempatan’ terhadap ‘fenomena yang bakal berlaku’.

Persoalannya kenapa tiada statement daripada mereka?

Dan kenapa yang mengeluarkan cerita ini ialah hanya dari SATU sumber laman web (sumbernya dikatakan dari Newswatch33.com yang kalau kita tengok pun dah tahu ia bukanlah laman web berita yang boleh dipercayai!). dan juga laman web itu pun bukanlah fokus kepada dunia astronomi dan kaitan dengan kajian Sains Angkasa!

Jawapan yang paling jelas ialah FENOMENA INI TIDAK WUJUD.

Nota:Cerita hampir serupa 15 hari bergelap ini pernah keluar pada bulan Oltober 2014.


Kesan fenomena Venus dan Jupiter?

 

Untuk bahagian ni, saya mendapati ia tidak dimasukkan dalam screenshot yang banyak disebarkan dalam medium sosial , namun ia wujud dalam artikel asal laman web qatarscoop tadi. Apa pun, inilah apa yang diceritanya…

Screen Shot 2015-09-14 at 3.08.53 PM

Ia mengatakan berdasarkan “laporan” Charles Bolden tadi, Venus and Jupiter will engaged in a close parallelism, only being separated by 1 degree”

Di dalam Astronomi, tidak wujud fenomena yang merujuk kepada perkataan “paralleslism”.

Sila rujuk glosari astronomy seperti di sinisini dan sini.  Istilah tersebut tiada langsung dalam kamus astronomi, maka jelas penulis itu tidak tahu apa yang dia tulis!

Ok, ‘katalah’ apa yang penulis itu maksudkan ialah Venus dan Jupiter berada pada posisi yang dekat antara satu sama lain. Dalam disiplin Astronomi, istilah yang sebenarnya ialah conjunction .

Merujuk kepada artikel di atas, katanya, kedua-dua planet ini akan dipisahkan hanya 1 darjah sahaja.

Kiraan kedudukan planet-planet di langit boleh dibuat sendiri menggunakan pelbagai perisian astronomi yang ada, seperti Stellarium , Sky Safari , Google SkyMap, dan sebagainya.

Posisi objek-objek angkasa ini memang SEMUA SEDIA MAKLUM, dan boleh di double-check untuk SESIAPA SAHAJA.

Baiklah, dalam kes di atas saya telah membuat pengiraan kedudukan Venus dan Jupiter menggunakan Sky Safari Pro 4.

Disebabkan artikel itu tidak menyatakan dengan jelas tarikh sebenar Venus dan Jupiter berada pada kedudukan hampir tersebut, maka saya mulakan kiraan dari tarikh keramatnya iaitu 15 November 2015.

Screen Shot 2015-09-14 at 3.44.10 PM

Kedudukan Venus dan Jupiter pada Subuh, 15 Nov 2015 (langit Malaysia)

 

RAJAH ATAS: Pada tarikh 15 Nov 2015, waktu Subuh di Malaysia, Venus dan Jupiter dipisahkan sejauh 18 darjah antara satu sama lain. 18 darjah itu ialah 36 kali ganda diameter bulan di langit!

Sebesar mana 36 X saiz bulan penuh tu? Cuba tengok rajah di bawah ni…

Screen Shot 2015-10-08 at 1.44.12 PM

Itulah (atas) jarak antara Zuhrah dan Musytari pada 15 Nov 2015 nanti! Cuba bayangkan di langit, kita aturkan ‘Bulan Penuh’ sisi ke sisi sebanyak 36 buah bulan kesemuanya!

Kan jelas di sini betapa jauhnya Venus dan Jupiter pada tarikh di atas!

Screen Shot 2015-09-14 at 3.44.23 PM

Kedudukan Venus dan Jupiter pada Subuh, 29 Nov 2015 (langit Malaysia)

Kiraan seterusnya dibuat pada tarikh 29 Nov 2015 (tarikh akhir yang mana artikel itu katakan bumi akan bergelap). Kita akan dapati kedudukan Venus dan Jupiter berada 43 darjah antara satu sama lain.

43º tu bersamaan 86 kali ganda saiz Bulan Penuh!!

Maka, dalam artikel tu katanya kedua-dua planet ini terpisah 1º, itu bersamaan 2 kali ganda saiz bulan penuh je!

Oleh itu, jelas di sini, faktanya pun salah!

Kemudian ayat seterusnya menyatakan CAHAYA dari Venus akan memanaskan gas di Musytari!

Hmmm… di sini kena faham, cahaya Venus itu adalah PANTULAN daripada Matahari. Maka, ia TIDAK MENGELUARKAN HABA!

Lagpipun pada tarikh sekitar antara 15-29 Nov 2015 itu.

  • Jarak Venus ke Matahari = 0.884 AU = 125,660,000 KM
  • Jarak Venus ke Jupiter = 4.98 AU = 745,000,000 KM

Lagi Jauh jarak Venus ke Jupiter, berbanding Venus ke Matahari!

Maka itu, bagaimanalah pula ‘cahaya’ Venus boleh memberi memanaskan  planet yang berada 745000000 KM daripadanya!?

Fikir-fikirkan sendiri.


Matahari Biru!

 

Screen Shot 2015-10-08 at 4.02.53 PM

Kemudian artikel tu menceritakan bagaimana letupan matahari pada tarikh tersebut akan sampai ke Bumi pada jam 2.50 AM.

Hakikatnya di sini, kita TIDAK AKAN DAPAT TAHU bila letusan-letusan besar di matahari akan berlaku. Ia merupakan suatu fenomena yang random dan tidak boleh dijangka.

Cuba baca ARTIKEL INI dan perhatikan kenapa susah dan hampir mustahil untuk meramal letusan di matahari.

Itulah sebabkan adanya kajian ahli astronomi menerusi laman-laman web seperti Spaceweather.com yang memberi maklumat keadaan matahari terkini. Hanya apabila sesebuah letusan itu berlaku, dan menghala ke Bumi, barulah kita boleh meramalkan akan berlaku fenomena aurora kesan hentaman letusan itu.

Maknanya, kita hanya akan tahu SELEPAS melihat ia berlaku di matahari. Dalam kes artikel ini, dia boleh ramal masa depan! Hebat tu!

Lagi pening di sini (screenshot di atas), menyatakan Matahari AKAN BERTUKAR MENJADI WARNA BIRU selama 14 hari! dan selepas itu ia akan KEMBALI menjadi warna asal RED GIANT.

Ok, di sini kena faham, fasa bentuk Matahari kita sekarang BUKAN dalam bentuk Red Giant. Ia sekarang dalam fasa Main Sequence.

Nak senang kata, fasa Main Sequence ini seperti PERTENGAHAN UMUR, pada warna kekuningan. Kalau kita mempelajari mengenai jangka hayat bintang, kita akan dapati Matahari boleh berada dalam fasa ini sekitar 10-15 bilion tahun.

Selepas itu, ia akan menjadi warna jingga dan seterusnya mengembang besar menjadi Red Giant... itu pun selepas 10-15 bilion tahun akan datang!  Itulah perangai atau bagaimana sesebuah bintang hidup dan mati.

Jadi saya rasa pelik juga apabila dikatanya Matahari menjadi warna BIRU!  Padahal jika kita belajar perhial hayat sesebuah bintang,  warna BIRU itu bermakna bintang itu MASIH MUDA dan suhunya JAUH LEBIH TINGGI berbanding matahari kita sekarang, iaitu mencecah 10,000 hingga 50,000 Kelvin.

Maka, ayat di atas yang menyatakan Matahari menjadi sejuk disebabkan bertukar menjadi biru adalah SALAH dan PALSU.

Sila rujuk penerangan mengenai kaitan Warna Bintang dan Suhu di SINI.

Habis tu, kenapa ada gambar Matahari warna Biru seperti di atas?

Gambar tersebut diambil dari foto-foto rakaman teropong angkasa SOHO (Solar & Heliospheric Observatory), yang membuat rakaman dan mengkaji matahari setiap saat. Kalau kita lihat galeri foto SOHO, kita akan dapati ada banyak gambar matahari yang berlainan warna.

Screen Shot 2015-10-08 at 4.28.08 PM

Screenshot foto-foto matahari oleh SOHO. Sila klik pada gambar di atas untuk capaian ke laman web asal.

Warna yang berlainan itu disebabkan SOHO menggunakan penapis/filter yang berlainan untuk melihat ciri-ciri yang berlainan pada permukaan matahari.

Sila baca sini untuk penerangan lanjut.

Pendek cerita, bukanlah matahari menjadi biru, tetapi kamera satelit SOHO yang merakamnya, menggunakan penapis Biru.

Screen Shot 2015-10-08 at 4.32.16 PM

Atas: Artikel itu diakhiri dengan kononnya komen dari Charles Bolden menyatakan jangan risau, suhu hanya naik 6-8 darjah, sama seperti musim sejuk di Alaska.

Suhu naik? Tapi sama dengan musim sejuk di Alaska? Bukan ke contradict ayat tu?

Saya tak mahu ulas panjang 2 perenggan akhir tersebut kerana tidak ada kenyataan rasmi di mana-mana laman web pun mengenai perkara tersebut.


Kesimpulan

 

Cerita 15 hari bergelap ini menjadi viral kerana masyarakat kita mempunyai masalah kronik dalam membezakan cerita benar dan cerita palsu. Lebih teruk lagi, kita malas untuk membuat kajian dan bacaan terlebih dahulu.

Tanpa usul periksa, kita dah kelam kabut tekan butang Share, Forward dan seumpamanya.

Kesannya ialah masyarakat menjadi kelam kabut, risau tak tentu arah.

Saya sarankan, tak perlulah kongsi-kongsi cerita seumpama ini lagi. Cuba buka sikit hati, luaskan sikit pandangan dan rajinkan sikit diri untuk BUAT KAJIAN TERLEBIH DAHULU.  Tak faham, tanya kepada mereka yang ahli.

Janganlah BERHUJAH menggunakan FAKTA YANG SALAH.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

(Al-Hujuraat 49:6)

Semoga penerangan ringkas ini dapat memberi input yang berguna untuk anda.

Wallahua’lam.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...