Fenomena Jujukan 5 planet serentak – 10 perkara yang perlu tahu

Pada hujung bulan Januari 2016 nanti, kita berpeluang melihat satu susunan planet-planet yang indah pada sekitar waktu Subuh. Walaupun sebelum ini pernah berlaku himpunan antara planet Zuhrah dan Musytari, kali ini ia agak istimewa, kerana kita akan dapat menyaksikan sehingga 5 buah planet kesemuanya!

Kali terakhir ini berlaku ialah hampir sedekad yang lalu.


Planet manakah yang akan terlibat?

 

Kelima-lima planet tersebut ialah Utarid, Zuhrah, Zuhal, Marikh dan Musytari. Kebetulan pula inilah planet-planet yang dapat dilihat dengan mata kasar dengan mudah, dan telah dicatatkan dalam pemerhatian tamadun manusia sejak ribuan tahun dahulu.

Selain daripada kelima-lima planet ini, Bulan juga akan turut mengiringi dan melintasi satu per satu planet tersebut.

Seperkara yang menarik mengenai planet-planet ini ialah jaraknya dari Bumi dan cahayanya nak sampai ke kita berbeza-beza.

Utarid – Ia merupakan cahaya 7.2 MINIT dahulu.

Zuhrah – Cahayanya ialah 11 MINIT dahulu.

Zuhal – Dia ni jauh sikit, cahaya mengambil masa 87.5 MINIT dahulu.

Marikh – Cahayanya ialah 11.5 MINIT dahulu

Bulan – Paling hampir dengan kita, 1.3 SAAT dahulu.

Musytari – Cahayanya ialah 39 MINIT dahulu.

Screen Shot 2016-01-21 at 9.18.39 AM

Kedudukan 5 planet dan Bulan, pada Subuh, 31 Jan 2016. Simulasi Sky Safari Pro 4


Bila dan pada jam berapakah ia boleh dilihat?

 

Fenomena jujukan 5 planet ini boleh dilihat lebih kurang SELAMA SEBULAN bermula berkumandangannya azan SUBUH, dari  27 atau 28 Januari 2016 hinggalah 27-28 Februari 2016!

Tiada bezanya anda yang berada di kawasan lain di sekitar Asia Tenggara. Bila dengar azan Subuh je, lepas solat terus perhatikan langit!

Venus Saturn 9 Jan 2016

Zuhrah dan Zuhal berhimpun pada 9 Jan 2016 lepas. Kali ini akan ada 5 buah planet berjujukan! ©Shahrin Ahmad

 


Adakah ia boleh dilihat dengan mata kasar?

 

Ya, fenomena jujukan 5 planet ini boleh dilihat dan AMAT SESUAI untuk dilihat menggunakan mata kasar sahaja. Anda tidak perlu menggunakan teleskop untuk melihat fenomena jujukan ini.

irfan and planets

Fenomena jujukan planet-planet ini amat mudah dilihat dan peluang keemasan mengajar anak-anak kita mengenai objek-objek samawi.


Tapi, saya ada teleskop, boleh nampak jugak ke?

 

Tidak ada masalah jika anda mahu gunakan teleskop, tetapi anda hanya boleh lihat satu planet sahaja dalam satu-satu waktu. Medan pandangan sebuah teleskop kecil. Susunan planet-planet ini merangkumi keluasan SEPARUH daripada langit.


Apa yang dimaksudkan dengan keluasan separuh langit?

 

Maksudnya di sini ialah, kedudukan planet-planet ini akan bermula  hampir dengan ufuk timur, iaitu planet Utarid, kemudian diikuti dengan planet yang paling cerah, iaitu Zuhrah. Ke atas sikit dari Zuhrah, akan kelihatan planet Zuhal, dan tegak di atas kepala ialah Marikh. Selepas itu, ke arah barat sikit daripada Marikh, kita akan nampak planet Musytari.

Berdasarkan kiraan menggunakan Sky Safari Pro 4, jarak antara 2 planet yang menandakan awal dan hujung jujukan planet-planet ini (iaitu bermula dari Utarid hinggalah ke Musytari), merangkumi antara 112º hingga 145º.

Maknanya luas lah tu!

Screen Shot 2016-01-21 at 9.25.07 AM

Jarak dari hujung ke hujung merangkumi keluasan separuh (malah lebih sikit) daripada keluasan langit! Simulasi Sky Safari Pro 4


Bilakah Bulan akan melintasi planet-planet itu?

 

Jika anda masih keliru untuk kenalpasti yang mana satu planet-planet yang disebut di atas, anda boleh gunakan Bulan sebagai panduan.

  • 28 JanBulan berada bersebelahan Musytari
  • 1 & 2 FebBulan berada hampir dengan Marikh
  • 4 FebBulan berada hampir dengan Zuhal
  • 6-7 FebBulan berada hampir dengan Zuhrah dan Utarid

Maklumat kedudukan planet-planet ini dan Bulan akan turut  dikemaskini menerusi Page FB FalakOnline dan Twitter FalakOnline.


Di antara planet-planet tersebut, yang mana satu paling susah untuk dilihat?

 

Utarid!

Planet ini selalunya akan berada pada kedudukan rendah di ufuk. Ia tidak akan berada tinggi di langit. Cahayanya pun tidak selalunya terang dan cerah.

Namun, kali ini mungkin peluang anda mencarinya lebih mudah. Gunakan planet yang paling cerah, iaitu Zuhrah, sebagai panduan. Sepanjang bulan ‘jujukan planet-planet’ ini, Utarid akan berada di bawah kedudukan Zuhrah.

Screen Shot 2016-01-21 at 9.27.00 AM

Kedudukan Utarid yang sentiasa rendah di ufuk, dan berada hampir dengan Zuhrah. Rajah ini menunjukkan posisi pada 5 Feb 2016. Simulasi Sky Safari Pro 4


Di lokasi manakah sesuai untuk melihat fenomena ini?

 

Disebabkan kesemua planet ini cerah dan mudah dilihat dengan mata kasar,  fenomena ini boleh dilihat dimana-mana sahaja, sama ada di bandar, kawasan perumahan dan lebih comel dari kawasan luar bandar.

Anda hanya perlukan pandangan arah ufuk timur yang bebas dari sebarang halangan seperti bangunan atau pokok (atau bukit!), untuk memudahkan mencari planet Utarid. Planet-planet yang lain mudah dilihat kerana berada tinggi di langit.


Bolehkah ia dirakam menggunakan kamera?

 

Boleh, namun jika anda ingin merakam kesemua planet ini SERENTAK, anda perlu gunakan kamera DSLR bersama dengan lens jenis fish-eye atau wide-angle.

 


Kenapa planet-planet ini tersusun seperti dalam satu garisan?

 

‘Garisan’ itulah yang dipanggil ecliptic, garisan satah laluan orbit-orbit planet ketika ia mengelilingi matahari. Di situ jugalah terletaknya 12 buruj zodiak, yang mana ia juga merupakan laluan matahari sepanjang tahun.


Adakah fenomena ini memberi sebarang kesan terhadap cuaca bumi?

 

Tidak sama sekali. Kesemua planet ini berada amat jauh dari Bumi, dan tidak berupaya memberi sebarang kesan kepada kita di Bumi.


 

A003

Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?

(Al-Mulk 67:3)

A004

Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).

(Al-Mulk 67:4)

Qatadah berkata, “Sesungguhnya Allah menciptakan bintang2 dengan tiga karakter, iaitu: sebagai perhiasan langit, pelontar syaitan dan petunjuk jalan. Siapa pun yang menginterpretasikannya kepada selain itu maka itu merupakan pendapatnya sendiri dan telah menyalahi serta mensia-siakan kapasitinya (sebagai manusia), selain itu ia telah membebani dirinya dengan sesuatu yang tidak diketahui.” Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim. (Sumber: Shahih Tafsir Ibnu Katsir Jilid 9 m/s203)

Wallahua’lam

 

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...