Imbasan misi-misi angkasa sepanjang 2015

Tahun 2015 bukan sahaja merupakan tahun kita kali pertama dapat melihat permukaan Pluto dari jarak dekat. Terdapat beberapa lagi misi angkasa yang telah mencapai milestone yang amat penting, serta beberapa penemuan baru yang menarik bagi dunia sains.


DAWN

Misi DAWN telah memasuki ke dalam orbit planet kerdil Ceres pada 6 Mac 2015. Setelah mengembara selama 7 1/2 tahun dari Bumi, dan sempat singgah ke asteroid Vesta, DAWN akhirnya telah sampai ke destinasi akhirnya, iaitu Ceres.

Di sana, DAWN telah meneroka beberapa ciri permukaan yang menarik yang penuh misteri, seperti tompok-tompok putih yang terang di dalam salah sebuah kawah, yang mana dipercayai terhasil daripada hablur ais garam dari bawah permukaannya.

09102015_cc_ceresspotsticker_free

Salah satu tompokan putih yang menunjukkan rupa bentuk yang agak kompleks

Laporan terbaru menunjukkan terdapat 130 tompokan putih yang berterabur di permukaan Ceres ini.

Selain itu, kewujudan gunung setinggi 6 km dari permukaan Ceres, menyebabkan para saintis terkedu mencari jawapan bagaimana sebuah struktur sebesar itu boleh wujud di atas permukaan objek yang kecil seperti Ceres.

PIA19631-640x350

Sebuah gunung setinggi 6km di bahagian selatan Ceres


Rosetta

Penemuan demi penemuan  oleh Rosetta, yang kini sedang mengorbit Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko, telah memberi pengetahuan penting mengenai bagaimana sesebuah komet berfungsi.

16829702286_a9c614d4fe_z

Komet 67P//Churyumov-Gerasimenko yang dirakam oleh Rosetta

Namun, yang paling tidak disangka-sangka ialah kewujudan oksigen yang ‘bocor’ terkeluar daripada bawah permukaan komet tersebut, yang mana dipercayai oksigen itu wujud sejak awal terciptanya sistem suria ini.

Sementara itu, peninjau kecil Philae, telah mengejutkan dunia dengan menghantar isyarat kembali ke bumi pada 13 Jun 2015. Sebelum itu, ramai yang tidak menyangka peninjau ini selamat daripada ‘pendaratan tonggang-terbaliknya’.

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini, isyaratnya tidak konsisten dan dipercayai kuasa baterinya terlalu lemah untuk melakukan sebarang tugasan lagi.


MESSENGER

Peninjau angkasa MESSENGER menamatkan penerokaannya terhadap planet Utarid selama 4 tahun, dengan ‘menghempaskan dirinya’ ke permukaan planet tersebut.

m17_PIA11350

Permukaan Utarid dari jarak dekat

Ia merupakan peninjau angkasa yang ke-2 mengorbit Utarid, dan yang pertama berjaya melengkapkan pemetaan keseluruhan planet Utarid.

Di antara penemuan yang mengejutkan ramai pihak ialah wujudnya ais di celah-celah bayangan di dalam kawah di sekitar kutub utara dan selatan planet ini.


Venus Express

Kapal angkasa Venus Express, yang telah mengorbit dan melakukan kajian terhadap planet Zuhrah sejak tahun 2006 akhirnya menamatkan misinya pada bulan Januari 2015. Ia juga telah kehabisan kuasa dan terbakar di dalam atmosfera Zuhrah.

ticker_Volcanic_activity_on_Venus

Gambaran pelukis permukaan Zuhrah yang mungkin masih lagi dipenuhi dengan gunung berapi yang aktif.

Penemuan yang menarik oleh Venus Express ialah ia berjaya mengesan sinar infra merah yang datang daripada permukaan planet tersebut. Sinaran ini kelihatan wujud daripada rekahan-rekahan di permukaan yang hampir sama keadaannya dengan rekahan gunung berapi yang ada di Bumi.

Jika ia benar datang daripada kesan letupan gunung berapi, Zuhrah akan menjadi dunia yang ke-3, selepas Bumi dan salah satu bulan Musytari, Io, yang mempunyai gunung berapi yang masih lagi aktif sehingga hari ini.


Wallahua’lam

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...