Gerhana Bulan Penumbra 23 Mac 2016

Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban

Pada 23 Mac 2016 nanti, kita akan (sekali lagi) melihat fenomena gerhana. Kali ini ia merupakan Gerhana Bulan Penumbra.


Apa yang dimaksudkan dengan Gerhana Bulan Penumbra?

Umumnya, bayang-bayang Bumi di angkasa lepas akan mempunyai 2 bahagian. Satu bahagian yang gelap, yang dipanggil umbra. Sementara yang lagi satu dikenali sebagai penumbra.

Apabila orbit Bulan bergerak masuk tepat ke dalam umbra, dan keseluruhan jasad Bulan memasuki umbra, ia akan dikenali sebagai Gerhana Bulan Penuh.

Apabila orbit Bulan bergerak sedikit senget dari kawasan umbra, dan hanya sebahagian sahaja jasad Bulan memasuki umbra, ia akan dikenali sebagai Gerhana Bulan Separa.

Apabila orbit Bulan memasuki hanya di kawasan penumbra, dan keseluruhan atau sebahagian daripada jasad Bulan memasuki kawasan tersebut, ia akan dikenali sebagai Gerhana Bulan Penumbra.

Foto di atas (oleh Fred Espanak) merupakan contoh fenomena Gerhana Bulan Penumbra yang berlaku pada tahun 2002. Ketika itu skala penumbral magnitud adalah 0.8862, maknanya ‘agak gelap’.

Untuk 23 Mac nanti, penumbral magnitud ialah 0.7747, maknanya tidaklah ‘segelap’ seperti di atas.


Pada jam berapakah fenomena ini boleh dilihat?

Di Malaysia, secara keseluruhannya kita tidak dapat lihat saat dan ketika Bulan mula-mula masuk ke dalam kawasan bayang-bayang penumbra.

Hanya apabila Bulan berada pada ‘puncak gerhana’ iaitu titik ia berada paling ‘ke dalam’ dalam kawasan tersebut, barulah ia mula terbit di ufuk Timur.

Maknanya, untuk sepanjang tempoh gerhana 4 jam 15 minit, kita hanya berpeluang melihat separuh sahaja, iaitu bermula pada waktu kemuncak gerhana sehingga tamat.

Jadual di bawah (dikira oleh timeanddate.com) menunjukkan waktu fasa-fasa utama Gerhana Bulan Penumbra.  Waktunya adalah SAMA untuk seluruh Malaysia (dan dunia). 

Yang membezakan antara satu bandar ke bandar yang lain ialah waktu Bulan terbit.

Gerhana Penumbra bermula 23 Mar, 5:39:31 PM
Kemuncak gerhana 23 Mar, 7:47:14 PM
Gerhana Penumbra tamat 23 Mar, 9:54:53 PM

Untuk dapatkan waktu Bulan terbit di lokasi masing-masing, boleh gunakan perisian simulasi langit yang banyak di internet atau di mobile. Anda juga boleh dapatkan menerusi link ini. Pastikan anda tukar nama bandar yang betul.

Rajah-rajah di bawah menunjukkan pergerakan Bulan melalui 2 bulatan yang menandakan sempadan bayang-bayang Bumi. Bulatan yang kecil ialah kawasan bayang-bayang umbra, manakala bulatan yang besar ialah kawasan bayang-bayang penumbra.

7.47 PM
7.47 PM
8.17 PM
8.17 PM
8.47 PM
8.47 PM
9.17 PM
9.17 PM
9.54 PM
9.54 PM

Adakah kita boleh lihat sebarang perubahan pada Bulan?

Soalan ini agak tricky sikit. Disebabkan Bulan memasuki kawasan bayang-bayang penumbra, secara umumnya mata kita tidak mampu melihat sebarang perubahan kecerahan bulan.

Sempadan bayang-bayang penumbra dengan kawasan di luar bayang-bayang bumi amat sukar untuk dibezakan.

Foto dibawah menunjukkan sempadan kawasan bayang-bayang penumbra dan umbra, yang mana kita boleh lihat dengan jelasnya kawasan terang(penumbra) dan gelap (umbra). Malangnya untuk kali ini Bulan hanya lalu di kawasan penumbra yang tidak gelap.

Screen Shot 2016-03-15 at 2.51.59 PM
Saat apabila Bulan mula bergerak masuk dari sempadan bayang-bayang penumbra (cerah) ke kawasan bayang-bayang umbra (gelap). Foto gerhana bulan penuh pada 10 Dis 2011 oleh Shahrin Ahmad

Nota penting. Jika anda perasan, selalunya setiap kali SELEPAS fenomena Gerhana Matahari, kita akan mengalami Gerhana Bulan. Ini adalah disebabkan kedudukan orbit Bulan pada waktu-waktu tersebut adalah tepat-tepat selari bersama Bumi dan Matahari.

Selepas itu, sudut orbit Bulan akan kembali menjauhi dari titik ia bersilang dengan matahari, dan gerhana pun tak berlaku.

Begitulah ia berulang-ulang.


Gerhana berkembar!

Saya berpendapat gerhana bulan penumbra merupakan satu fenomena yang sukar dilihat dengan jelas perubahan kecerahan bulan. Malah, ia kurang menarik untuk dicerap dan tidaklah se-dramatik seperti gerhana bulan separa atau gerhana bulan penuh.

Namun, ada satu lagi fenomena menarik yang boleh kita cuba cerap menjelang tamatnya gerhana penumbra kali ini.

Jika anda perhatikan rajah-rajah sebelum ini, di bahagian bawah Bulan, ada kelihatan sebutir bintang yang bernama Zaniah. Ia merupakan bintang berkecerahan sederhana sahaja. Tetapi yang menariknya ialah pada sekitar jam 9.30 malam, Bulan akan bergerak betul-betul di hadapan bintang Zaniah ini!

(Video di atas merupakan simulasi perisian Sky Safari Pro yang menunjukkan pergerakan Bulan menghijab bintang Zaniah)

Seolah-olah ada lagi satu gerhana! 🙂

Fenomena ini secara khususnya dipanggil sebagai penghijaban atau occultation. Fenomena ini bermaksud sesebuah jasad seperti planet atau bulan, bergerak di hadapan sesebuah objek lain, lalu objek tersebut terlindung dari pandangan kita buat beberapa ketika.

Fenomena penghijaban bintang Zaniah ini boleh dicerap menerusi teleskop, dan kita boleh lihat dengan mata kepala sendiri bukti jelas Bulan sedang bergerak merentasi langit.

Penjelasan lebih lanjut akan dibuat menerusi artikel akan datang.

Wallahua’lam


Rujukan

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments