Jom kita cuba jejaki Komet 252P/LINEAR

Ada lagi komet baru yang dijangka bersinar terang!

Berita yang semakin hangat di kalangan komuniti astronomi sekarang ialah sebuah komet bernama 252P/LINEAR, telah secara tiba-tiba bersinar 100 kali ganda lebih terang daripada yang diramalkan.

Jangkaan awal, ia hanya akan bersinar pada magnitud 11, tetapi laporan yang diterima daripada pencerap langit seluruh dunia menerusi COBS mendapati, ia kini bersinar pada tahap magnitud 6 !

Michael-Mattiazzo-252P_20160313_1200UT_mmatti3b_1458045897

Komet 252P/LINEAR yang dirakam oleh Michael Mattiazzo dari Swan Hill, Victoria, Australia, pada 13 Mac 2016. Sumber

Kalau diikutkan magnitud 6 tu memang jangan haraplah nak nampak dengan mata kasar dari langit kawasan bandar. Namun, pada tahap itu, ia amat mudah untuk dikesan dengan menggunakan Binokular!

lightcurve_20160318-042300

Graf kecerahan Komet 252P/LINEAR bermula dari 1 Jan 2016 hingga 18 Mac 2016. Sumber COBS

Persoalannya sekarang ialah adakah ia boleh dilihat dari Malaysia dan negara sekitarnya?

Saya buat beberapa kiraan dan simulasi laluan komet ini menggunakan perisian Skychart Cartes du Ciel. Secara umumnya:

  1. Komet ini berada di ruang kawasan langit sebelah selatan.
  2. Ia sudah tidak kelihatan pada waktu senja.
  3. Ia mula dapat dilihat pada waktu Subuh.
  4. Pergerakannya amat laju, dan berubah posisi dengan banyaknya dari hari ke hari,
  5. Ia akan melalui kawasan Bima Sakti sekitar buruj Scorpio dan Sagittarius.
Laluan Komet 252P/LINEAR dari 21 Mac hingga 2 April 2016

Laluan Komet 252P/LINEAR dari 21 Mac hingga 2 April 2016

Rajah di atas menunjukkan kedudukan komet tersebut pada jam 5.30 pagi langit Kuala Lumpur, ke arah kawasan selatan, bermula dari tarikh 21 Mac hinggalah ke 2 April 2016.

Mengapa laju sangat?

Kisahnya, komet 252P/LINEAR ini akan melintasi Bumi pada jarak hanya 5.4 juta km sahaja. Jika kita lihat dalam sejarah dan rekod lintasan komet-komet sebelum ini, jarak tersebut merupakan yang ke-5 paling dekat dalam sejarah!

Namun, kita tak perlu risau kerana 5.4 juta km tu adalah 13 kali ganda lagi jauh daripada jarak Bulan.

Pada 21 Mac nanti, komet ini akan melintasi pada jarak tersebut. Menariknya, sehari selepas itu, ada sebuah lagi objek yang bergerak mengekori komet ini, yang kini dipercayai sebagai salah satu serpihan daripada komet tersebut. Objek itu diberi nama P/2016 BA14. Objek kedua ini akan melintasi pada jarak yang lebih dekat, iaitu 3 juta km sahaja… tetapi masih jauh berbanding jarak Bumi-Bulan.

Umumnya, hanya 252P/LINEAR sahaja sekarang bersinar terang, manakala serpihannya itu terlalu kelam dan memerlukan teleskop yang mencarinya.

Berbalik kepada ‘laluan’ komet ini merentasi kawasan buruj-buruj menarik di kawasan Bima Sakti langit sebelah selatan ini, saya bahagikan kepada beberapa momen yang menarik.

23-24 Mac 2016

Pada tarikh-tarikh ini, ia akan bergerak merentasi buruj Ara, yang berada di bawah buruj Scorpio. Rajah di bawah menunjukkan framing yang dibuat menerusi lens 50mm.

Perhatikan pada 24 Mac, ia akan berada hampir dengan sebuah gugusan bintang NGC 6397.

23-24 Mac 2016

23-24 Mac 2016

25-27 Mac 2016.

Pada tarikh ini agak menarik, kerana komet ini akan melintasi bahagian ekor buruj Scorpio. Di sinilah terletaknya beberapa gugusan bintang yang terang dan popular seperti M7 dan M6.

24-27 Mac 2016

25-27 Mac 2016

28-31 Mac 2016

Pada tarikh 28 hingga 31 Mac 2016, ia akan melintasi berhampiran dengan gugusan nebula menarik seperti Lagoon Nebula dan Trifid Nebula, di dalam buruj Scorpio.

Di sini jugalah kawasan terletaknya pusat Bima Sakti kita, dan kawasan paling padat dengan bintang-bintang.

Mudah-mudahan panduan ringkas ini dapat membantu anda mencari dan cuba menjejaki komet 252P/LINEAR ini dalam masa terdekat.

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar