“Mini” Full Moon dan meteor Lyrids

Fenomena Log Cerapan Meteor, Komet dan Asteroid

Pernahkah kita memandang ke arah langit dan terlihat lintasan cahaya yang bergerak laju sepantas kilat? Pernahkah kita melihat bulan purnama yang indah dan terang, tetapi kelihatan sedikit ‘off’ atau pelik sedikit berbanding bulan purnama yang lain?

Itulah 2 buah fenomena yang akan berlaku serentak pada hari ini, 22 April 2016 , iaitu juraian meteor Lyrids dan Bulan Purnama dalam kedudukan apogee. Apakah keistimewaan kedua-dua fenomena ini? Ada apa-apa menarik untuk dicerap? Jom kita tengok satu per satu.


Bulan Purnama Apogee

Bulan purnama merupakan satu fasa di mana keseluruhan bahagian bulan yang menerima cahaya daripada matahari, akan dapat dilihat dari kita di Bumi. Pada saat tersebut, waktu malam kita akan disimbahi dengan cahaya yang agak terang dan menghasilkan suasana malam yang ‘terang’.

Namun, jika kita belajar mengenai pergerakan bulan mengelilingi bumi, kita tahu orbitnya tidaklah betul-betul sempurna bulat. Ia lebih berbentuk elips, iaitu ada ketika ia berada hampir dengan bumi (Perigee)  dan ada ketika ia berada jauh (Apogee).

Istilah perigee dan apogee sering disebut menerusi laman-laman web, termasuk di FalakOnline. Waktu berlakunya kejadian perigee dan apogee ini berlainan dari bulan ke bulan. Ada ketikanya ia berlaku pada fasa bulan baru, ada ketika ia berlaku pada fasa bulan sukuan pertama dan lain-lain.

The Mini-Moon versus the 2011 Supermoon. Image credit and copyright: Ken Lord.

Namun, paling popular di kalangan pemerhati langit ialah apabila bulan purnama berada dalam posisi perigee. Pada ketika itu, bulan purnama akan kelihatan lebih besar berbanding biasa. Istilah yang kini popular digunakan oleh orang ramai ialah supermoon.

Anda boleh membaca artikel mengenai Bulan Penuh Perigee atau Supermoon ini dalam artikel-artikel FalakOnline ini.

Pada malam nanti, 22 April 2016, sebaliknya pula berlaku. Kali ini, bulan purnama berada pada kedudukan apogee. Maka, ia akan kelihatan lebih kecil berbanding bulan-bulan purnama sebelum ini. Malah, fasa bulan purnama ini merupakan ‘bulan penuh paling kecil’ untuk tahun 2016.

Cuba lihat ke arah bulan malam nanti. Jika anda pernah merakamnya sebelum ini, dengan menggunakan kamera yang sama, dan setting yang sama, bandingkan foto bulan purnama terdahulu dengan bulan purnama malam nanti. Kita akan dapat lihat jelas perbezaan antara keduanya.

Kiraan falak menunjukkan:

  • Bulan berada di kedudukan apogee pada 22 April 2016 jam 12.06 malam waktu Malaysia
  • Bulan berada di fasa Purnama pada 22 April 2016 jam 1.24 tengahari waktu Malaysia.

Maka, saat ketika bulan berada di posisi apogee dan fasa purnama hanya dibezakan selama 13 jam 19 minit. Ia berlaku dalam masa kurang 24 jam antara satu sama lain. Maka, ‘selayaknya’ ia digelar Bulan Purnama Apogee atau minimoon.

 

Bulan berada pada jarak 406,350 km daripada Bumi pada ketika ia berada di posisi apogee.

Harus diingatkan, dalam astronomi, kedua-dua istilah supermoon dan minimoon ini tidak wujud. Ia lebih kepada gelaran yang diberi oleh masyarakat.


Meteor Lyrids

Bulan April ini juga, pergerakan Bumi akan melintasi kawasan debu peningggalan Komet Thatcher, lalu menghasilkan musim meteor yang dikenal sebagai Lyrids.

Secara rasminya, meteor Lyrids ini bermula pada sekitar 16 April hinggalah ke 25 April. Namun, selalunya kita tumpukan pada tarikh puncaknya, iaitu jatuh pada 22 April 2016.

Sebuah fireball sedang jatuh ke bumi. NASA/George Varros

Secara amnya, untuk mencerap meteor Lyrids ini, kita perlu mulakan cerapan selepas tengah malam nanti hinggalah ke Subuh. Itulah waktu paling sesuai untuk melihat juraian meteor yang banyak. Berdasarkan laporan  International Meteor Organization (IMO), purata kemunculan meteor Lyrids ini ialah antara 10-20 meteor setiap jam. Meteor-meteor Lyrids ini akan kelihatan muncul dari arah kawasan langit utara berhampiran dengan buruj Lyra.

Namun, kita kena ingat, berdasarkan kiraan Falak, dan juga menerusi Almanak Astronomi 2016  terbitan FalakOnline, kita akan dapati tarikh 22 April ini juga jatuh pada tarikh Bulan dalam fasa purnama.

Ini bermakna, langit malam kita akan disinari cahaya rembulan yang terang benderang. Kesannya ialah, kita tidak akan dapat melihat banyak meteor Lyrids, walaupun berada di kawasan gelap dan jauh daripada pencemaran cahaya!

Maka, secara amnya prospek tahun 2016 ini adalah tahun yang paling tidak sesuai untuk cerapan meteor Lyrids.


Rujukan

 

 

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments