Penemuan 2016 HO3, Bumi ada bulan baru ke?

Berita Penemuan Terkini

Dunia astronomi memang tak lekang dengan penemuan baru yang unik dan pelik. Saban hari ada sahaja berita yang melangkaui pemikiran kita, samada berbentuk sungguh abstrak seperti gravitional waves hinggalah kepada fenomena langit yang terpampang jelas di depan mata, seperti naik turun matahari.

Komuniti astronomi dunia hari ini heboh dengan penemuan asteroid baru yang diberi nama 2016 HO3. Ia ditemui menerusi pemantauan langit yang dibuat oleh balai cerap Pan-STARRS pada bulan April 2016 lepas.

Apabila ahli astronomi menyemak kembali data orbit asteroid tersebut mereka telah mendapati sesuatu corak pergerakan yang menarik.

2016 H03 itu berada di dalam orbit yang sama dengan Bumi!

Malah, ia bukan sahaja berada dalam laluan yang sama, ia sentiasa berada ‘hampir’ dengan Bumi dan tak lari jauh dari kedudukan planet kita ini.

Lagi menarik di sini ialah, dari pandangan kita di Bumi, asteroid ini seolah-olah ‘kelihatan’ seperti sedang mengorbit Bumi.

Jadi, adakah 2016 HO3 ini ‘bulan’ kedua bagi kita? Jawapannya tidaklah semudah itu. Teruskan membaca sampai habis (Membaca Amalan Mulia)


Orbit

 

Orbit asteroid 2016 HO3 hampir sama dengan Bumi. Satah orbitnya hanya senget 8 darjah sahaja daripada satah orbit Bumi. Namun, jarak puratanya dengan matahari tidak jauh berbeza dengan kita. Malah, jika Bumi mengambil masa 365.24 hari mengelilingi matahari, asteroid ini mengambil masa 365.93 hari … lebih panjang 16.6 jam sahaja berbanding Bumi.

Orbitnya juga berbentuk elips. Kadang kala ia berada lebih dekat dengan matahari, dan kadang kala lebih jauh.

Gabungan jangka waktu orbitnya, satah dan juga bentuk orbit yang elips, menyebabkan asteroid ini sentiasa berada dalam lingkungan antara 14 juta hingga 40 juta km daripada Bumi.

Pening?

Ok kita lihat simulasi orbit yang boleh dibuat menerusi utiliti web JPL Small Body Database Browser. Saya kepilkan videonya di sini bagi memudah penerangan.

Perhatikan, jika kita melihat pergerakan orbit daripada ‘atas’ matahari, kita nampak seolah-olah orbit asteroid ini melintasi Bumi, tetapi apabila kita melihatnya daripada sisi, barulah kita akan nampak satahnya senget daripada Bumi.

Selain itu, perhatikan juga kedudukannya tidak berjauhan daripada Bumi. Itulah apa yang saya maksudkan ia sentiasa berada dalam lingkungan 14 juta km hingga 40 juta km daripada Bumi.

Kalau masih ada yang bayangkan asteroid ini dekat, cuba kita bandingkan dengan Bulan.

Jarak paling jauh Bulan dari Bumi ialah 406,696 km (ketika Apogee) dan paling dekat ialah 363,104 km (ketika Perigee).

Maknanya, pada poin paling dekat, asteroid 2016 HO3 ini berada 38 kali ganda lebih jauh daripada Bulan (ketika Bulan berada paling dekat dengan Bumi).

Jauh la tu!


Kekal atau terlepas?

 

Kalau kita lihat daripada simulasi di atas, pasti ada yang akan membuat kesimpulan bahawa asteroid ini bakal ‘terlepas’ dan terpelanting keluar daripada orbit Bumi.

Namun, ia tidak berkelakuan itu. Ketika ini 2016 HO3 telah diikat dengan tarikan graviti Bumi. Orbitnya akan sentiasa ‘dikemaskini’ oleh tarikan graviti Bumi menyebabkan ia tak akan lari jauh!

(Rujuk di bawah, simulasi laluan orbit asteroid ini daripada pandangan geocentric, yakni Bumi di tengah-tengah).

2016ho3_orbit.jpg.CROP.original-original
Sumber: Paul Chodas/JPL

Bulan kedua atau tidak?

 

Berdasarkan perbincangan di atas, kita mungkin boleh mengandaikan 2016 HO3 ini ‘bulan kedua’ Bumi sebab ia berada dalam ‘lingkaran’ orbit mengelilingi Bumi.

Saiznya adalah sekitar 40-100 meter, kecil berbanding dengan Bulan. Namun, banyak lagi satelit/bulan planet-planet lain yang jauh lebih kecil nisbah saiznya dengan planet yang diorbitnya.

Cuma di sini, boleh kita simpulkan bahawa 2016 HO3 ini sebenarnya mengelilingi Matahari, kerana ia berada di kawasan di angkasa lepas di mana graviti Matahari lebih dominan berbanding dengan graviti Bumi.

Kawasan atau sempadan ini dipanggil Hill’s sphere. Boleh rujuk tulisan oleh Phil Plait mengenai isu ini.

Jadi gelaran yang diberikan kepadanya ialah ‘quasi satellite’. Atau dalam perkataan mudah ‘teman’ Bumi.

Buat masa ini, perisian Sky Safari Pro yang saya gunakan belum memasukkan asteroid 2016 HO3 di dalam pangkalan datanya. Jika ada nanti, saya akan cuba buat simulasi bagaimana rupa Bumi jika kita berada ‘di atas’ permukaan asteroid tersebut. Mesti best!

Lagi video penerangan mengenai orbit asteroid ini di bawah.

Wallahua’lam.


Rujukan

 

 

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments