Planet kerdil terbaru – 2015 RR245

RR245orbit_labeled_resized-700x432

Orbit 2015 RR245 ialah 120 kali lebih jauh daripada Matahari ke Bumi. Rajah oleh OSSOS/Alex Parker

Sebuah lagi planet kerdil telah ditemui. Diberi nama 2015 RR245, objek ini berada amat jauh dan mengambil masa lebih kurang 700 tahun untuk melengkapi satu pusingan orbit mengelilingi matahari.

Berita penemuan ini mula keluar menerusi portal-portal astronomi sejak semalam, beberapa pos dalam timline rakan-rakan FB saya telah menarik perhatian saya mengenainya.

Berdasarkan maklumat yang diterima, 2015 RR245 ini ditemui oleh sekumpulan ahli astronomi internasional yang sedang membuat kajian Outer Solar System Origins Survey (OSSOS).

Teleskop yang digunakan semasa penemuan ini ialah Canada-France Hawaii Telescope di Maunakea, Hawaii. Foto rakaman yang menunjukkan kehadiran objek ini diambil pada tahun 2015 dan buat pertama kali dilihat oleh Dr. JJ Kavelaars dari National Research Council of Canada.

RR245_discovery-loop

Foto ini menunjukkan pergerakan 2015 RR245 selama 3 jam. Credit: OSSOS

Menurut Dr. Michele Bannister dari University of Victoria di British Columbia, pergerakan yang amat perlahan ini menunjukkan objek tersebut berada pada jarak 2 kali ganda lebih jauh daripada planet Neptune.

Disebabkan masih sedikit data pencerapan yang ada mengenai objek ini, masih terlalu awal untuk menentukan jangka waktu sebenar ia melengkapi orbit mengelilingi matahari. Buat masa ini, 700 tahun merupakan nombor yang dianggarkan.

Apa yang kita dapat tahu setakat ini ialah ia mempunyai orbit yang berbentuk sangat eliptikal, yang mana ia boleh berada sejauh 12 bilion km daripada matahari, hinggalah ke poin paling hampir iaitu sejauh 5 bilion km.

CFHT_jpg_crop

Teleskop yang digunakan semasa penemuan ini ialah Canada-France Hawaii Telescope di Maunakea, Hawaii

Seperkara yang menarik di sini ialah sebelum ini survey OSSOS ialah menemui lebih 500 buah objek yang diklasifikan sebagai trans-Neptunian objek, tetapi inilah kali pertama ia menemui sebuah planet kerdil.

Mengikut definisi yang dibuat oleh International Astronomical Union (IAU), planet kerdil ialah sebuah objek yang jisimnya cukup besar untuk menjadikan ia berbentuk sfera, tetapi ia masih berkongsi orbit dengan objek-objek lain (ia bukanlah satu-satunya objek yang mendominasi kawasan laluan orbitnya).

Berdasarkan di atas, 2015 RR245 memenuhi syaratnya, dan layak digelar planet kerdil.

Laman web Minor Planet Center telahpun memasukkan 2015 RR245 di dalam pangkalan datanya. Berdasarkan maklumat di sana, didapati kecerahan objek ini hanya pada tahap magnitud 22 sahaja! Terlampau kelam untuk teleskop yang kecil dan sederhana.


Sumber:

 

University of British Columbia. “Astronomers discover new distant dwarf planet beyond Neptune.” ScienceDaily. www.sciencedaily.com/releases/2016/07/160711150825.htm (accessed July 11, 2016).

Evan Gough. “New Dwarf Planet Discovered Beyond Neptune.” Universe Today. http://www.universetoday.com/129830/new-dwarf-planet-discovered-beyond-neptune/ (accessed July 12 2016).

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...