Jom tengok Zuhrah, Utarid, Musytari, Marikh, Zuhal dan Bulan serentak dalam bulan Ogos 2016 ini

24691548826_24b3711f55_h

Masih ingatkah pada sekitar bulan Februari 2016 yang lalu, kita telah dapat menyaksikan kehadiran deretan 5 buah planet yang cerah secara serentak dan boleh dilihat sekitar waktu Subuh?

Menariknya untuk bulan Ogos nanti, kita berpeluang sekali lagi melihat ulang tayang yang hampir serupa. Kini ia akan berlaku pada waktu senja, selepas Maghrib.


Planet manakah yang akan terlibat?

 

Secara umumnya, kesemua planet yang boleh dilihat dengan mata kasar akan terlibat dalam fenomena ini. Semua sedia maklum, kita mempunyai 8 buah planet utama, daripada Utarid hingggalah ke Neptune. Namun, hanya 5 buah planet sahaja yang kelihatan di langit dengan menggunakan mata kasar, iaitu Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal.

Uranus dan Neptune hanya boleh dilihat menggunakan peralatan mencerap seperti teleskop atau binokular.


Arah manakah perlu dilihat?

 

Anda hanya perlu lihat dari kawasan berhampiran dengan ufuk di sebelah, barat. Kemudian dongak ke atas dengan badan anda sedang menghala ke sebelah selatan. Kesemua 5 planet ini akan berada dalam lingkungan 90 darjah sahaja.

Selain itu, planet-planet ini akan membentuk 2 kumpulan.

#teamzuhrah yang terdiri daripada Zuhrah, Utarid dan Musytari akan berada di sebelah langit barat.

#teammarikh yang terdiri daripada Marikh dan Zuhal, akan berada tinggi di langit di atas kepala, sedikit ke arah selatan.


Adakah Bulan akan datang menjenguk?

 

Yezza, seperti biasa, Bulan pasti tak akan mahu ketinggalan. Pada 2 minggu pertama bulan Ogos nanti, ia akan melintasi di antara kawasan #teamzuhrah dan #teammarikh.

Ketika itu, Bulan berada dalam fasa awal bulan hinggalah sekitar fasa bulan sukuan pertama.


Bilakah waktu paling sesuai untuk melihat fenomena ini?

 

Disebabkan Zuhrah dan Utarid masih berada rendah di ufuk barat, waktu untuk melihat kesemua 5 planet ini agak terhad.

Saya nasihatkan, keluar dan lihat sekitar 20 hingga 45 minit selepas Maghrib.

Jika anda cuba melihatnya selepas Isya’, hanya #teammarikh (Marikh dan Zuhal) sahaja yang kelihatan. Musytari dah terlampau rendah di ufuk, manakala Zuhrah dan Utarid sudahpun terbenam.


Adakah semua ini boleh dilihat dengan mata kasar?

 

Yes.


Apakah kedudukan planet-planet ini dari minggu ke minggu?

 

Ok, sekarang mari kita lihat simulasi kedudukan planet-planet tersebut. Rajah ini dijana menggunakan Sky Safari 5 Pro.


1 Ogos 2016, 20 minit selepas Maghrib

 

Zuhrah dan Utarid berada rendah di ufuk barat. Kita hanya berpeluang melihat kedua planet ini dalam waktu yang singkat. Menjelang Isya’, kedua-duanya dah terbenam. Perhatikan juga bintang Regulus yang berada di antara Utarid dan Zuhrah

Muystari berada agak tinggi, juga di sebelah langit barat. Susah nak keliru dengan bintang-bintang lain, sebab Musytari ni terang.

Pandang ke arah selatan, dan dongak ke atas, kita akan nampak 3 buah objek yang membentuk segi tiga. Paling ke kanan berwarna merah terang, itulah Marikh. Perasan atau tidak, planet ini tidak lah secerah 2 bulan yang lepas, sebab ia dah makin jauh daripada Bumi.

Zuhal pula ialah objek kekuningan sebelah kiri atas dari Marikh. Manakala di bawah Zuhal, juga berwarna merah, tetapi tidaklah seterang Marikh, itu ialah bintang Antares.

Screen Shot 2016-08-01 at 8.49.58 AM

1 Ogos 2016, 20 minit selepas Maghrib. Simulasi Sky Safari 5 Pro


4-7 Ogos 2016, 20 minit selepas Maghrib.

 

Petang-petang ini agak istimewa. Bulan dah mula muncul rendah di ufuk langit. Ia akan kelihatan berbentuk sabit yang nipis, dan terletak bersebelahan dengan Zuhrah pada 4 Ogos.

Pada 5 Ogos, ia berada tinggi sedikit, dan berada di antara Zuhrah/Utarid dan Musytari.

Pada 6 Ogos, Bulan akan berada hampir dengan Musytari, di sebelah atas sikit.

Dan pada 7 Ogos, Bulan sudah pun semakin tinggi, dan membentuk deretan Bulan, Musytari, Utarid dan Zuhrah yang cukup menarik.

Ini adalah peluang photo-shoot yang menarik dan comel.

Screen Shot 2016-08-01 at 9.05.00 AM

4 Ogos 2016

Screen Shot 2016-08-01 at 9.05.16 AM

5 Ogos 2016

Screen Shot 2016-08-01 at 9.05.24 AM

6 Ogos 2016

Screen Shot 2016-08-01 at 9.05.37 AM

7 Ogos 2016


 

9 Ogos 2016, 20 minit selepas Maghrib

 

Pada petang ini, dan juga esoknya (10 Ogos), Bulan sudah semakin membesar, dan tinggi ‘melangit’. Kedudukannya juga agak menarik kerana ia berada di tengah-tengah antara Zuhrah, Utarid dan Musytari (#teamzuhrah) dan juga Marikh serta Zuhal (#teammarikh).

Disebabkan kedudukan kesemua 6 objek ini agak luas di langit, anda mungkin perlukan lens wide-angle untuk merakam kesemuanya secara serentak. Kalau ada kemera seperti GoPro pun memadai untuk merakam kesemuanya sekali!

Screen Shot 2016-08-01 at 9.12.11 AM

9 Ogos 2016, 20 minit selepas Maghrib. Simulasi Sky Safari 5 Pro


12 Ogos 2016, 20 minit selepas Maghrib

 

Pada 12 Ogos, Bulan akan berada hampir dengan #teammarikh. Ia akan lebih dekat dengan Zuhal (di sebelah atasnya).

Sambil-sambil tu cuba tengok ke arah Barat. Kita akan dapati Zuhrah dan Utarid masih konsisten kedudukannya, tetapi Musytari semakin hari semakin rendah di ufuk barat. Tak lama lagi ia akan hilang dari pandangan kita.

Screen Shot 2016-08-01 at 9.18.31 AM

12 Ogos 2016, 20 minit selepas Maghrib. Simulasi Sky Safari 5 Pro

 


17-18 Ogos 2016, 20 minit selepas Maghrib.

 

Ini merupakan hari-hari akhir di mana kita akan dapat lihat 6 objek sistem suria sekali gus. Bulan sudah pun menghampiri fasa purnama. Ini bermakna, Bulan akan berada rendah di ufuk timur, Marikh dan Zuhal akan berada tegak di atas kepala ke arah selatan, manakala trio Zuhrah, Utarid dan Musytari berada rendah ke barat.

Screen Shot 2016-08-01 at 9.24.29 AM

17 Ogos 2016, 20 minit selepas Maghrib. Simulasi Sky Safari 5 Pro


BONUS! 27-28 Ogos 2016. Mustary dan Zuhrah berada amat hampir

 

Apabila Bulan mula hilang dari pandangan langit senja, teruskan pemerhatian anda ke planet-planet yang ada. Fokuskan tumpuan kepada Zuhrah dan Musytari. Dari hari ke hari, kita akan dapati kedudukan kedua-dua planet ini semakin hampir antara satu sama lain. Paling jelas di sini ialah Musytari yang semakin rendah.

Paling menarik ialah pada tarikh 27 dan 28 Ogos 2016. Kedua-dua planet ini akan kembali berpasangan, dan berada amat hampir di antara satu sama lain. Berdasarkan kiraan Sky Safari 5 Pro, kedua-dua akan dipisahkan kurang dari satu darjah!

Dengan mata kasar, ia akan kelihatan seperti bintang berkembar! Menerusi teleskop, kita boleh lihat kedua-dua planet ini serentak!

Cuma cabarannya di sini ialah ia berad rendah di ufuk barat, dan waktu untuk kita melihat keduanya amat terhad, iaitu antara waktu Maghrib dan Isya’. Saya ada buat kiraan sedikit menggunakan pyephem, dan hasilnya adalah seperti di bawah.

Sri Damansara      
-------------
Matahari terbenam pada 2016-08-27 19:19:34.000005
Bulan terbenam 20 jam 37 min SELEPAS Matahari iaitu pada 2016-08-28 15:57:21
Utarid terbenam 1 jam 19 min SELEPAS Matahari iaitu pada 2016-08-27 20:38:44
Zuhrah terbenam 1 jam 21 min SELEPAS Matahari iaitu pada 2016-08-27 20:41:04
Marikh terbenam 6 jam 02 min SELEPAS Matahari iaitu pada 2016-08-28 01:22:14
Musytari terbenam 1 jam 22 min SELEPAS Matahari iaitu pada 2016-08-27 20:42:25
Zuhal terbenam 5 jam 59 min SELEPAS Matahari iaitu pada 2016-08-28 01:18:57

Jelas di sini kita hanya mempunyai masa 1 jam 20 minit sahaja untuk melihat kedua-dua planet ini belum ia terbenam.

Semoga maklumat-maklumat di atas bermanfaat.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...