Musytari melintas Zuhrah 27-28 Ogos 2016

Masa yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Sekali lagi 2 buah planet tercerah di langit, Zuhrah dan Musytari akan melintasi antara satu sama lain pada Maghrib, 27 dan 28 Ogos 2016 nanti.

Kali terakhir kedua-dua objek ini melintasi seperti ini ialah pada bulan Julai dan Oktober 2015.

Disebabkan keduanya sangat cerah, ia mudah dilihat dengan mata kasar. Kita tidak memerlukan sebarang alat seperti teleskop untuk melihatnya.

Kiraan yang dibuat menerusi Sky Safari 5 Pro menunjukkan pada 27 hb Ogos, kedua-duanya dipisahkah sejauh 0.48 darjah, sementara pada 28hb, ia dipisahkan 0.54 darjah.

Nak senang cerita, jarak itu lebih kurang sama dengan saiz diameter Bulan yang kelihatan dengan mata kasar di langit kita. Maknanya amat dekat lah tu!


Apa sebenarnya berlaku?

 

Saya dapati masih ramai yang terkeliru dan mengatakan seolah-olah kedua planet ini akan bertembung. Sebenarnya tidak. Apa yang berlaku di sini ialah Zuhrah dan Musytari berada pada satu titik pandangan yang sama (line of sight). Jarak sebenar kedua-duanya di angkasa lepas amat jauh.

SkySafari_5_Pro_-__CurrentSettings_

Sudut pandangan dari Bumi. Zuhrah dan Musytari kebetulan berada pada line of sight yang sama. Simulasi Sky Safari 5

Rajah di atas merupakan pandangan dari luar Bumi.

Setiap planet lain yang kelihatan dari Bumi, akan dapat dilihat berada dalam situasi yang sama seperti Zuhrah dan Musytari ini. Sebagai contoh, pada hujung Oktober 2016 nanti, giliran Zuhrah melintasi Zuhal, manakala bulan Februari 2017 nanti, Zuhrah akan hampir dengan Marikh.

Fenomena lintasan ini dikenali sebagai planetary conjunction.

Pandangan ini samalah dengan apa yang kita boleh lihat menerusi atlet yang membuat larian di dalam trek. Kita tahu masing-masing berada pada lorong sendiri dan tidak akan berlanggar. Namun, pada sudut-sudut tertentu kita akan dapat pelari-pelari ini seolah-olah bertindih-tindih atau dekat sangat… walhal kita tahu ada yang berada di lorong 1 dan ada yang berada di lorong 5.

Lorong-lorong itu umpama laluan orbit planet, manakala pelari tu mewakili planet.

&NCS_modified=20160815160406&MaxW=640&imageVersion=default&AR-160819522

Nak faham mengenai konsep larian dalam lorong masing-masing.. kena pi tanya Usain Bolt! šŸ˜‰

Berbalik kepada kisah Zuhrah dan Musytari nanti, saya boleh anggarkan kedua-dua planet ini boleh dilihat serentak di dalam satu medan pandangan (field of view) yang sama sebuah teleskop berkuasa rendah atau sederhana.

Atau lebih mudah lagi, jika kita dapat lihat jasad Bulan sepenuhnya di dalam sebuah teleskop, maknanya ada peluanglah nak melihat kedua-duanya serentak.

screen 2016-08-25 at 4.18.12 PM

Pandangan mata kasar, 20 minit selepas Maghrib, pada 27 Ogos 2016. Sifat Zuhrah akan sentiasa lebih terang daripada Musytari. Simulasi Sky Safari 5 Pro

screen 2016-08-25 at 4.15.58 PM

Pandangan menerusi teleskop F=900mm dan kanta mata 24mm pada 27 Ogos 2016. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

 

screen 2016-08-25 at 4.20.19 PM

Kotak hijau menandakan medan pandangan kamera DSLR yang menggunakan lens 400mm. Simulasi Sky Safari 5 Pro

 

 

Cuma cabaran kali ini ialah kedudukannya agak rendah di langit. Untuk melihatnya sebaik sahaja matahari terbenam tak berapa comel, sebab langit masih cerah dan cahaya planet-planet ini masih ditenggelami silau biasan cahaya matahari.

Kita perlu tunggu mungkin 15 hingga 20 minit selepas Maghrib. Itupun kedudukannya sudah semakin rendah ke ufuk, iaitu sekitar 15 darjah. Kalau nak tunggu sampai Isya‘ lagi masalah sebabnya keduanya dah terbenam.

Jelas di sini, waktu cerapan kita agak terhad. Kawasan langit sebelah ufuk barat pun kena bebas dari sebarang halangan.

Jika anda menggunakan perisian seperti Stellarium atau Sky Map, ia juga boleh tunjukkan kedudukan planet-planet ini dari hari ke hari.

Apa pun, fenomena conjunction antara Zuhrah dan Musytari ini sentiasa menawan dan cantik untuk dilihat. Sepayah mana pun keadaannya kali ini, kita patut ambil inisiatif melihat dengan mata kepala sendiri. Jangan sekadar berteori tapi tiada praktikal.

Jom teropong bro and sis!

Wallahua’lam

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...