Gaia mencerap lebih 1 bilion bintang dengan penuh bergaya

gaia_s_first_sky_map_node_full_image_2

Hasil cerapan pertama oleh Gaia. ESA/Gaia/DPAC

Satu lagi milestone telah dicapai di dalam penerokaan langit samawi, terutama dalam skop astrometri. Gaia, sebuah satelit kepunyaan European Space Agency (ESA) telah siap menghasilkan katalog bintangnya yang pertama, yang mengandungi lebih daripada 1 billion (1,000,000,000) bintang!

Ini merupakan satu kaji selidik atau survey yang paling besar yang pernah dibuat terhadap objek-objek langit setakat hari ini.

Bidang astrometri ialah salah satu cabang yang fokus kepada kajian kedudukan dan hubungan geometri objek-objek di langit serta pergerakannya di angkasa lepas. Astrometri tidak asing lagi di kalangan ahli astronomi sekarang, dan diguna meluas oleh peminat astronomi amatur di dalam proses merakam objek di langit. Ia juga merupakan asas kepada kajian ilmu falak praktikal, dan turut diperincikan penggunaan oleh hampir kesemua ilmuwan Falak Islam terdahulu, hinggalah ke tamadun-tamadun sebelumnya, seperti tamadun Yunani, Cina, India dan lain-lain.

Di dalam usaha memahami kedudukan kita (matahari dan bumi) dari sudut perspektif lokasi di dalam galaksi Bima Sakti yang kita duduki sekarang, ESA telah melancarkan sebuah prob angkasa bernama Gaia. Prob ini akan ditugaskan merakam 1 bilion bintang di dalam usaha untuk membuat peta galaksi Bima Sakti ini di dalam bentuk 3 dimensi.

Gaia akan mencerap sifat bintang-bintang ini, seperti kecerahan, kedudukan dan perubahan kedudukan berdasarkan fenomena parallax (iaitu kesan perubahan posisi bintang disebabkan pusingan orbit Bumi mengelilingi Matahari) dan proper motion (pergerakan sebenar di ruang angkasa).

gaia_mapping_the_stars_of_the_milky_way_node_full_image_2

Gambaran artis menunjukkan Gaia sedang mencerap Bima Sakti. (c) ESA/ATG medialab; background: ESO/S. Brunier

Prob angkasa ini dilancarkan lebih 1000 hari yang lalu. Data yang dipersembahkan oleh pihak ESA baru-baru ini merupakan hasil cerapan bermula dari Julai 2014 hinggalah September 2015.

Video di bawah menunjukkan lintasan demi lintasan cerapan yang dibuat. Setiap titik yang dipaparkan merupakan sebuah bintang daripada 1142 juta bintang yang diteliti oleh Gaia. Tandaan warna-warni itu menunjukkan kekerapan lintasan di buat di satu-satu kawasan langit. Bentuk oval itu merupakan projeksi peta keseluruhan langit. Video ini berakhir dengan menunjukkan ‘keadaan’ langit sebenar yang terdiri daripada bintang-bintang yang dicerap.

Menurut Anthony Brown dari Universiti Leiden, Belanda, yang juga merupakan pengerusi kepada konsortium DPAC atau Gaia Data Processing and Analysis Consortium, “Pengumuman hari ini merupakan satu usaha kerjasama yang sungguh rumit selama sedekad yang lalu. Bersama-sama dengan pakar dari pelbagai disiplin, kami terpaksa membuat persediaan sebelum cerapan bermula lagi, dan kemudian memproses data yang diterima, dan menyusunnya di dalam bentuk maklumat astronomi yang berguna, serta mengesahkan kandungan tersebut”.

Kersama DPAC ini terdiri daripada 450 orang saintis dan jurutera perisian dari seluruh Eropah.

Pengumuman rasmi ESA boleh didapati di sini.

Pagi tadi, saya ternampak tweet oleh Thomas Boch yang menunjukkan data-data dari Gaia telah pun boleh dicapai secara online menerusi utiliti Aladin. Aladin merupakan satu peta bintang interaktif yang membenarkan kita menggabung imej-imej langit dengan data-data daripada pangkalan data Simbad, VizieR dan seumpamanya. (Ok, berkenaan Aladin ni pun satu topik yang menarik, InsyaAllah saya cuba buat satu artikel lebih terperinci mengenainya)

Bagi anda yang sedang melakukan kajian astrometri, data-data ini amat berguna dan sudah boleh dicapai sekarang!

Banyak lagi data baru bakal dimuat-turun daripada Gaia dalam masa akan datang. Ia  merupakan satu usaha astromeri yang sungguh komprehensif dan bakal menghasilkan sebuah lagi katalog bintang berjitu tinggi, yang akan menggantikan katalog standard Hipparcos dan Tycho-2, hasil cerapan misi Hipparcos oleh pihak ESA hampir dua dekad yang lalu.

Sebagai seorang muslim, kajian-kajian seumpama ini cukup berguna di dalam usaha memantap keimanan kita terhadap kebesaran Allah SWT. Bayangkan kesemua 1 bilion bintang yang dicerap ini baru 1% daripada keseluruhan bintang di dalam galaksi Bima Sakti! SATU PERATUS!

Walaupun baru 1%, data-data ini tidak mungkin dapat kita kaji dan teliti kesemuanya di dalam jangka hayat kita sekarang. Mungkin anak cucu kita nanti baru boleh menyingkap rahsia dan penemuan baru setelah berdekad-dekad kajian dibuat nanti.

Kesedaran ini penting bagi kita, sebagai insan yang sering mengucapkan dua kalimah syahadah setiap kali solat 5 waktu, untuk sedar dan memberi kesedaran kepada keluarga dan masyarakat sekeliling, betapa kecil dan insignificant-nya kita dan sememangnya kebergantungan di dalam segala usaha kerja setiap hari ini selayaknya fokus total kepada Allah SWT!

Belajarlah berilmu, belajarlah Ilmu Falak, Ilmu Astronomi. Alangkah ruginya kita terus menerus menjadi follower dalam bidang yang sungguh murni ini. Perlu ada usaha lebih agresif agar dapat melahirkan saintis agamawan yang menjadi pelopor pula. Ayuh!

(… sementara itu di Malaysia, ketika masyarakat dunia terus-menerus memperkasa pemahaman rahsia alam semesta,  masih ada terdapat beberapa golongan di sini yang masih bermati-matian mempertahankan hujah bumi ini bukan bulat, yang mana isu ini telahpun selesai diperdebatkan oleh ilmuwan terdahulu (seperti Al-Biruni) … <sigh>)

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...