Selamat tinggal Rosetta, see ya!

rosetta_impact_node_full_image_2

Lakaran artis saat-saat terakhir Rosetta sebelum terhempas di permukaan Komet 67P/Churyumov–Gerasimenko pada 30 September 2016. ESA/ATG medialab

Setiap yang bermula, pasti akan berakhir. Rosetta, peninjau angkasa yang pertama berjaya mengorbit sebuah komet (Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko), akan ditamatkan misinya dengan kaedah control descent atau menghempaskan ke permukaan komet dalam keadaan terkawal, pada lewat petang hari esok, Jumaat 30 Sep 2016 , 6.40 petang waktu Malaysia.


Sejarah perjalanan Rosetta

 

An Ariane V blasts off 02 March 2004 from Kourou, French Guiana. A billion-euro (1.25-billion-dollar) European spacecraft today began a decade-long quest to hunt a comet in the depths of the Solar System and shadow it around the Sun in a bid to tease out secrets of how life began on Earth. The three-tonne probe Rosetta powered into space at 0717 GMT atop an Ariane 5 from the European Space Agency's pad in Kourou, French Guiana, ending a 13-month delay and two launch postponements. AFP PHOTO EUROPEAN SPACE AGENCY

Roket Ariane V dilancar pada 2 Mac 2004 dengan membawa peninjau angkasa Rosetta . AFP PHOTO EUROPEAN SPACE AGENCY

Rosetta dilancarkan pada bulan Mac 2004, iaitu lebih 12 tahun dulu! Perjalanannya ke destinasi Komet 67P ini mengambil masa yang lama iaitu 10 tahun, dengan beberapa lintasan atau flyby berhampiran beberapa buah planet (Bumi dan Marikh) telah dilakukan, bagi menujah dan menambah kelajuannya menuju ke komet tersebut.

Jika kita masih ingat, saat-saat bersejarah Rosetta telah diikuti dengan penuh minat oleh seluruh komuniti astronomi dunia. Saya sendiri pun sungguh teruja dan telah menulis beberapa artikel yang fokus kepada kisah penerokaan misi Rosetta ini. Apa tak nya, inilah kali pertama dalam sejarah ketamadunan manusia, di mana kita berjaya melihat, mengkaji dan mengorbit sebuah komet dari jarak yang amat dekat.

1415877285673_wps_28_rosetta_philae_landing_bo

Setelah Rosetta berjaya memasuki orbit Komet 67P pada bulan Ogos 2014, sebuah robot kecil, Philae, telah dilepaskan ke permukaan. Malangnya, pendaratannya tidak berjaya dilakukan dengan sempurna akibat beberapa masalah teknikal. Ia telah melantun beberapa kali dan akhirnya jatuh di celah-celah batu dan bukit yang terlindung daripada cahaya matahari. Walaupun begitu, Philae telah berjaya merakam data selama 60 jam, sebelum ia tidur atau hibernate akibat kekurangan tenaga bateri. Kedudukan Philae tidak diketahui pada masa itu, dan hanya pada 5 Sep 2016 lepas ia berjaya dikesan oleh Rosetta. (Maaf banyak-banyak kerana saya tak menyediakan artikel berkenaan penemuan ini di FalakOnline)


Tamat tempoh

 

Misi utama Rosetta ialah mengkaji perubahan yang berlaku ke atas sebuah komet ketika ia bergerak menghampiri matahari. Kajian tersebut telah dibuat selama hampir 2 tahun dan kemuncaknya ialah apabila Komet 67P berpusing mengelilingi matahari pada poin yang paling hampir (perihelion) pada 13 Ogos 2015 lepas, iaitu pada jarak 186 juta km daripada matahari. Selepas itu, komet ini mula bergerak menjauhi daripada matahari dan kembali membeku.

Ketika ini, Rosetta bersama-sama dengan Komet 67P ini sedang bergerak menuju  ke orbit Musytari. Cahaya matahari yang diterimanya amat sedikit dan tidak mampu mengecas kembali kuasa peninjau angkasa ini.

screen-shot-2016-09-29-at-10-01-25-am

Kedudukan Bumi dan Komet 67P (bersama-sama dengan Rosetta) pada 30 Sep 2016. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Selain itu juga, peralatan yang digunakan pun sudah sampai ke tarikh luputnya. Bayangkanlah, segala komponen yang ada pada Rosetta dibina sebelum tahun 2004. Kemudian ia terpaksa berada di kawasan angkasa lepas yang penuh dengan radiasi berbahaya selama 12 tahun. Sudah pasti lama-kelamaan komponen yang ada sudah mula uzur dan tidak berfungsi!

Ditambahkan lagi dengan isu kedudukan orbit Rosetta dan Komet 67P. Pada 1 Oktober 2016 nanti, kedua-duanya akan berada pada kedudukan conjunction dengan matahari. Maknanya, dari pandangan kita di Bumi, kedua-duanya akan berada ‘di belakang’ matahari. Pada masa itu, kita akan terputus hubungan selama beberapa hari. Jaraknya dari Bumi pada saat itu ialah 720 juta kilometer dan isyarat daripadanya terpaksa mengambil masa selama 40 minit untuk sampai ke bumi!

 


Siaran langsung

 

views_in_the_main_control_room_12052189474

European Space Operations Center di Darmstadt, Jerman

Bagi anda yang berminat mengikuti siaran langsung saat-saat isyarat terakhir diterima daripada Rossetta, berikut merupakan beberapa pautan dan waktu penting yang boleh dijadikan rujukan.

29 September 2016, 8.30 pm – 11.30 pm waktu Malaysia. Perbincangan mengenai penemuan sains paling menarik oleh Rosetta. Pautan di rosetta.esa.int , di livestream dan juga facebook ESA

30 September 2016, 4.50 am waktu Malaysia. Isyarat ‘terhempas’ akan mula dihantar oleh jurutera ESA. Ketika ini Rosetta berada pada ketinggian 19 km daripada permukaan komet. Ia dijangka akan terhempas (dalam lingkungan 20 minit) pada jam 6.40 pm waktu Malaysia. Boleh dapatkan situasi terkini menerusi akaun twitter rasmi @ESA_Rosetta dan @esaoperations.

30 September 2016, 3.55 pm – 4.05 pm waktu Malaysia. Isyarat terakhir akan dihantar ke Rosetta bagi melakukan pelarasan terakhir. Ketika ini, saat sebenar ia terhempas akan diketahui. Berdasarkan kiraan sekarang, saat yang dijangkakan ia akan terhempas ialah pada jam 6.40 pm waktu Malaysia. Pautan di rosetta.esa.int , di livestream dan juga facebook ESA

Disebabkan jarak Rosetta ini jauh, kita hanya tahu samada prosedur terhempas dalam keadaan terkawal ini berjaya atau tidak, 40 minit selepas ia berlaku, iaitu pada jam 7.20 pm Waktu Malaysia.

30 September 2016, 6.30 pm – 7.40 pm. Siaran langsung end of mission coverage dapat dicapai menerusi pautan yang sama seperti di atas. Ia akan dipancarkan dari pusat kawalan ESA, European Space Operations Center di Darmstadt, Jerman.

InsyaAllah, saya akan update dari semasa ke semasa menerusi akaun twitter saya @shahgazer dan juga akaun rasmi @FalakOnline . Situasi real-time update seperti ini saya lebih selesa berkongsi menerusi twitter.

Jom!


 

Rujukan

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...