Komet 45P/Honda-Mrkos-Pajdušáková, penutup tirai 2016, pembuka selera 2017

045p_20110929_mj

Foto Komet 45P yang dirakam oleh M. Jäger pada 29.14 Sep 2011. Credit and Copyright 2011 Michael Jäger (Austria)

Nampak gayanya, sebelum tahun 2016 melabuhkan tirai, kita mungkin akan dapat melihat sebuah lagi komet melintasi langit senja.

Komet 45P/Honda-Mrkos-Pajdušáková dipercayai akan bersinar pada kecerahan yang boleh dilihat menerusi sebuah binokular. 

Berdasarkan kiraan awal yang dibuat oleh Seiichi Yoshida, Komet 45P ini akan melepasi tahap kecerahan magnitud 10 pada hujung bulan Disember 2016 nanti.

screen-shot-2016-11-22-at-10-17-45-am

Graf magnitud oleh Seiishi Yoshida. Sumber.

Magnitud merupakan satu skala untuk mengukur kecerahan sesebuah objek di langit. Semakin kecil nombornya, semakin cerah di langit. Di dalam langit yang gelap tanpa sebarang gangguan cahaya, kita boleh melihat objek-objek sekelam magnitud 6. Di kawasan bandar besar, kita hanya dapat lihat ke tahap magnitud 3 sahaja. 

Berbalik kepada Komet 45P ini, ia dijangka akan berada di sekitar magnitud 8 hingga 10 bermula hujung Disember hinggalah lewat Februari 2017.

Komet ini ditemui oleh 3 orang ahli astronomi Minoru Honda, Antonin Mrkos dan L’udmila Pajdušáková pada 3 Dis 1948. Ia termasuk di dalam kumpulan komet yang digelar sebagai short period comet, iaitu ia mengelilingi matahari setiap 5.25 tahun sahaja.

Kali terakhir komet ini melintasi Bumi ialah pada tahun 2011. Berdasarkan rekod pencerapan di International Comet Quarterly, ia telah mencapai magnitud 6.6 pada tahun tersebut.


Lokasi

 

Ketika artikel ini ditulis, Komet 45P ini berada rendah di ufuk barat, selepas Maghrib. Ia berada di sekitar planet Zuhrah, dan semakin hari ia semakin rendah menghampiri matahari. Malangnya tahap magnitudnya amat rendah, dan perlukan teleskop yang besar untuk merakamnya.

Menjelang hujung bulan Disember, ia akan berada di sebelah bawah Zuhrah, dan perlahan-lahan semakin rendah ke ufuk. Namun, pada waktu yang sama kecerahannya semakin bertambah, dan memungkinkan kita dapat merakam menggunakan kamera DSLR dan CCD.

Pada skala magnitud 8-10, dan pada sudut dongak yang rendah di barat, saya jangkakan agak mencabar untuk melihatnya menerusi teleskop, tetapi dijangka ia boleh dirakam menerusi teleskop atau lens telefoto yang panjang.

screen-shot-2016-11-22-at-9-43-57-am

Kedudukan Komet 45P pada 20 Disember 2016 sekiytar 20 minit selepas Maghrib dari langit Malaysia.. Sumber SkySafari

Pada 29 Disember 2016, ia akan berada di posisi perihelion (paling hampir dengan matahari) pada jarak 0.53 AU ( 1 AU bersamaan jarak purata Bumi ke Matahari).

Pada hujung Januari 2017, ia akan berada terlampau rendah dan hampir dengan matahari. Bolehlah dikatakan ia akan hilang dari pandangan.

Kita perlu tunggu sehingga minggu ke-2 bulan Februari 2017 untuk dapat melihatnya kembali, tetapi kali ini ia muncul di langit pagi selepas Subuh pula.

Ketika ini, ia berada pada kemuncak kecerahannya, iaitu sekitar magnitud 7.

screen-shot-2016-11-22-at-9-47-52-am

Kedudukan Komet 45P pada 7 Feb 2017, lebih kurang 20 minit selepas Subuh. Sumber SkySafari.

Pada 11 Feb, jam 10.44 pm waktu Malaysia, ia akan berada pada poin paling hampir dengan Bumi, iaitu pada jarak 0.08 AU (bersamaan 11.9 JUTA km).

Pada saat tersebut, ia akan bergerak agak ‘laju’ di langit. Kiraan secara kasar yang saya buat menerusi Sky Safari menunjukkan pada Subuh, 12 Feb 2017, ia bergerak 12 arc minit  atau 0.2 darjah dalam masa 30 minit. Ini cukup ‘laju’ untuk dirakam perubahan kedudukannya menerusi kamera.

Ia akan melintasi masuk ke kawasan buruj Hercules (10-12 Feb), Corona Boeralis (13 Feb) dan Bootes (14-15 Feb).

Kita agak tidak bernasib baik kerana komet 45P ini tidak melintasi mana-mana objek-objek Deep Sky yang menarik untuk dijadikan framing dalam kamera.

 


Kesimpulan.

 

  1. Komet 45P akan berada di langit senja dari sekarang hingga hujung Januari 2017 pada kecerahan sekitar magnitud 8-10
  2. Perlu menggunakan binokular atau teleskop untuk menjejakinya
  3. Tidak nampak dengan mata kasar.
  4. Ia akan mula kelihatan di langit Subuh, selepas bulan Februari 2017

Level: Intermediate

  1. Anda perlu faham konsep equatorial coordinate system, Right Ascension dan Declination.
  2. Anda perlu kenal bintang-bintang dan buruj untuk kenalpasti kedudukan tepat Komet 45P ini.

Rujukan

  1. Cometography
  2. Preview: Comet 45P/Honda-Mrkos-Pajdusakova broghtens in December
  3. Weekly Information about Bright Comets
  4. International Comet Quarterly
  5. SkySafari 5 Pro

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...