Meteor Geminids 2016 berlawan dengan Super (Full) Moon. Apakah kesudahannya?

orionid-moonlight-10-23-2016-eliot-herman-tucson-cp-e1477318135971

Foto oleh Eliot Herman dari Tucson, Arizona.

Sudah tiba masanya, musim juraian/pancuran meteor Geminids kembali menerjah ke langit Bumi. Geminids merupakan antara kumpulan meteor-meteor yang sangat aktif, yang mana kadar penjelmaan meteornya sekitar 120 meteor setiap jam (pada tarikh/waktu puncaknya).

Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, fenomena Geminids yang kebetulan jatuh pada musim cuti sekolah, sangat-sangat dinantikan oleh orang ramai.

Namun, pada tahun 2016 ini, tarikh kemuncak Geminids ini sama dengan fasa Bulan Purnama. Jadi timbul persoalan adakah ia akan memberi apa-apa kesan kenampakan meteor-meteor itu nanti?


Asal usul

 

Meteor Geminids berasal daripada sebuah objek-hampir-bumi (Near-Earth Object), 3200 Phaethon. Dipercayai, kesan perlanggaran objek ini dengan sebuah lagi objek lain pada suatu masa dahulu menyebabkan habuk, cebisan dan debu perlanggaran ini membentuk sebuah aliran yang mengelilingi matahari dan pada waktu-waktu tertentu Bumi akan berlanggar dengannya.

 

Berdasarkan rekod, meteor Geminids ini telah direkodkan sejak hampir 200 tahun dahulu. Rekod paling awal ditemui ialah hasil cerapan dari Sungai Mississippi pada tahun 1833. Pemerhatian yang dibuat sejak itu menunjukkan jumlah kenampakan Geminid semakin banyak setiap tahun. Ini adalah disebabkan graviti dari planet Musytari telah mengubah sedikit demi sedikit aliran debu-debu ini, semakin banyak ke kawasan orbit Bumi.


Kawasan di langit

 

Meteor-meteor Geminids akan mula kelihatan bermula menjelang tengah malam pada 13 Disember, dan berterusan hinggalah ke waktu Subuh 14 Disember.

Untuk lebih tepat lagi, berdasarkan laporan IMO ini , Bumi akan memasuki ruang kawasan aliran debu ini bermula 4 hingga 17 Disember, dengan kemuncaknya pada 14 Disember.

Kawasan di mana meteor-meteor ini akan muncul adalah dari buruj Gemini, sebuah buruj yang terletak pada sudut ke kiri-bawah dari buruj Orion. Nak senang cerita, jika kita dah mula nampak Orion tinggi di langit, itu maknanya buruj Gemini pun dah mula kelihatan.

screen-shot-2016-12-08-at-4-17-23-pm

Kedudukan buruj Gemini, berbanding dengan lokasi buruj Orion. Pandangan sekitar tengah malam arah Timur. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Namun begitu, meteor-meteor ini akan muncul di mana-mana. Adalah mustahil untuk kita mengagak secara tepat bila dan di poin mana meteor ini akan bersinar terang.

Boleh rujuk artikel umum mengenai meteor “Jawapan mengenai meteor yang anda perlu tahu” untuk panduan asas mencerapnya.


Prospek kenampakan 2016

 

Jadi, apakah prospek kenampakan meteor Geminids untuk tahun 2016 ini?

Isu paling utama di sini ialah sejauh mana gelapnya langit. Untuk melihat jumlah meteor yang banyak, suasana persekitaran dan langit itu sendiri perlu gelap dan bebas dari gangguan cahaya.

Dalam kes langit, sumber cahaya yang akan mengganggu ialah Bulan.

Berdasarkan fasa Bulan, pada malam 13/14 Disember tu, Bulan berada dalam fasa Bulan Penuh! Malah untuk lebih tepat lagi, ia juga sebenarnya dalam kedudukan Bulan Penuh Perigee, yakni *gasp* supermoon yang ketiga dan terakhir untuk tahun ini.

Maka, kita semua akan disinari dengan cahaya terang benderang Bulan Penuh bermula dari Maghrib hinggalah ke Subuh!

screen-shot-2016-12-08-at-4-12-06-pm

Kedudukan Bulan tegak di atas kepala pada tengah malam 13/14 Disember 2016. Simulasi Sky Safari 5 Pro

screen-shot-2016-12-08-at-4-12-22-pm

Kedudukan Bulan di sebelah barat menjelang Subuh 14 Disember 2016. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Berdasarkan fakta ini, langit kita akan menjadi cerah. Lalu ia akan mengganggu kenampakan meteor Geminids untuk kali ini. Kita TIDAK akan dapat peluang melihat jumlah meteor yang banyak.

Mungkin sekali sekala, meteor yang terang seperti fireball mungkin akan bersinar terang dan mudah dilihat, namun secara amnya kita tak akan dapat suasana yang menarik seperti tahun lepas.


Kesimpulan

 

  1. Meteor Geminids untuk tahun 2016 tidak akan dapat dilihat dengan mudah kerana gangguan cahaya Bulan.
  2. Jumlah meteor yang kelihatan jauh lebih sedikit daripada apa yang diramalkan.
  3. Jika anda ingin juga merakam Geminids menerusi lens wide-angle,  hala kamera ke kawasan jauh dari sinaran Bulan. Tapi langit masih lagi akan cepat ‘memutih’ hasil limpahan cahaya Bulan tu.

Rujukan

 

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...