Komet Encke sudah kembali!

Fenomena Meteor, Komet dan Asteroid
002p_20031112mj
Copyright © 2003 Gerald Rhemann dan Michael Jäger (Austria)

Di kalangan komet yang agak popular di kalangan peminat astronomi ialah Komet 2P/Encke. Ia merupakan jenis komet yang kita gelar sebagai periodic comet , iaitu komet-komet yang mengelilingi matahari dalam orbit yang kurang daripada 200 tahun sekali pusingan.

Screen Shot 2017-01-13 at 11.15.11 AM

 

Dalam kes Komet Encke ini, orbitnya kecil dan ia akan melengkapi satu pusingan orbit setiap 3.3 tahun sahaja!

Sedikit sejarah mengenai komet ini. Komet Encke diberi nama bersempena J.F. Encke. Beliau merupakan orang yang pertama mengenalpasti kemunculan sebuah komet pada tahun 1786, 1795, 1805 dan 1818 sebenarnya merupakan komet yang sama.

Orbit komet-komet agak dinamik. Disebabkan jasadnya yang kecil dan sentiasa kehilangan jisim setiap kali ia bergerak berhampiran dengan matahari serta  kesan tarikan graviti planet-planet lain, orbit komet-komet ini akan berubah dari semasa ke semasa. Kes yang saya sendiri alami ialah ketika cuba menjejaki Komet P/2010 V1 (Ikeya-Mukarami) yang hilang dari kawasan yang ‘sepatutnya’ ia berada.

Dapatkan Almanak Astronomi 2017 versi Google Calendar

Ok berbalik kepada Komet Encke ini, orbitnya paling jauh menghampiri orbit Musytari, sementara ketika ia paling hampir dengan matahari, ia berada di sekitar kawasan orbit Utarid.

Screen Shot 2017-01-13 at 10.22.40 AM

Komet ini agak kecil menerusi teleskop dan agak kelam ketika ia berada jauh daripada Bumi dan Matahari. Namun, apabila ia menghampiri kedudukan perihelion (paling hampir dengan matahari), ia boleh mencapai kecerahan sehingga magnitud 6.5 (iaitu secara teorinya  ‘boleh’ nampak dengan mata dari kawasan langit yang paling gelap).

Laporan terbaru dari COBS menunjukkan komet ini bersinar pada magnitud 12, agak kelam dan perlukan teleskop yang besar untuk merakamnya. Rekod yang sama juga dipaparkan di sini

Screen Shot 2017-01-13 at 10.28.44 AM

Namun begitu, ia akan berubah dengan pantas. Berdasarkan laporan Comet Prospects in 2017, Komet Encke akan berada di perihelion pada 10 Mac 2017.

Ketika artikel ini ditulis, ia berada di langit barat, berhampiran dengan planet Marikh, di dalam kawasan buruj Pisces. Ia tidak boleh nampak dengan mata kasar dan perlukan teleskop bersaiz besar untuk melihatnya.

Screen Shot 2017-01-13 at 10.46.13 AM
Kedudukan 13 Jan 2017, 45 minit selepas Maghrib arah Barat.

Selepas itu, ia akan semakin rendah di ufuk barat, tetapi kecerahannya semakin meningkat.

Berdasarkan kiraan Sky Safari 5 Pro, pada minggu ke-2 bulan Februari, ia akan melepasi magnitud 10, dan semakin terang.

Malangnya, kedudukanya ketika itu lebih rendah daripada planet Zuhrah. Secara kasarnya, komet ini akan berada pada ketinggian 23 darjah, lebih kurang 45 minit selepas Maghrib di kawasan masing-masing.

Screen Shot 2017-01-13 at 10.46.31 AM
Kedudukan pada 19 Feb 2017, 45 minit selepas Maghrib, pada arah barat

Pada 19 Februari, ia melepasi magnitud 8. Ketinggian pula berkurang menjadi 17 darjah sahaja 45 minit selepas Maghrib.

Selepas itu, ia akan ‘menjunam’ laju dan hilang dari pandangan ditelan cahaya matahari.

Ia akan muncul pula di langit selepas Subuh pada minggu ke-3 bulan Mac, pada arah Timur dan Tenggara. Ia hanya akan mencecah ketinggian 10 darjah ketika 45 minit selepas Subuh, pada 24 Mac 2017. Kecerahannya pula masa itu semakin pudar.

Screen Shot 2017-01-13 at 10.58.18 AM
Kedudukan pada 26 Mac 2017 arah Timur, 45 minit selepas Subuh.

Kesimpulan.

  1. Komet Encke merupakan antara komet yang  mempunyai tempoh orbit yang amat pendek.
  2. Pada bulan Januari dan Februari, ia berada di langit barat selepas Maghrib.
  3. Pada pertengahan bulan Mac, ia akan berada di langit timur selepas Subuh.
  4. Kecerahan paling tinggi ialah magnitud 6, namun ketika itu ia berada amat rendah di ufuk Malaysia dan sukar untuk dicerap
0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments