Langit Minggu Ini – 16 hingga 22 Jan 2017

Fenomena Himpunan Samawi Meteor, Komet dan Asteroid

Sebelum kita lihat apa yang menarik untuk minggu ini, suka saya ingatkan kalendar Almanak Astronomi 2017 boleh didapati juga dalam versi Google Calendar. Saya syorkan anda masukkannya ke dalam aplikasi kalendar mobil anda kerana selain daripada senarai asal AA2017, saya akan sentiasa buat tambahan maklumat baru menerusi kalendar tersebut.

Watch this space. InsyaAllah dari semasa ke semasa, beberapa pautan baru akan di tambah, apabila artikel lebih terperinci siap dimuat naik.


Bulan

 

Bulan akan terbit semakin lewat setiap hari. Pada awal minggu ia hanya akan terbit sekitar jam 11 malam (10 malam di Sabah), menjelang hujung minggu nanti, ia akan terbit sekitar 2.30 pagi (1.30 pagi Sabah).

Waktu terbaik untuk mencerap Bulan ni ialah menjelang Subuh. Ia akan berada di tinggi di atas kepala sewaktu azan Subuh berkumandang.

Bermula dari kawasan buruj Leo, ia akan memasuki ke Virgo pada pertengahan minggu.

Pada 19 dan 20 Januari, Bulan akan berada hampir dengan planet Musytari.

Selepas itu, ia makin rendah nak masuk ke kawasan buruj Libra.

Pada 20 Januari, Bulan akan memasuki fasa Bulan Sukuan Akhir.


 

Utarid

 

Planet Utarid kini mudah dilihat di ufuk sebelah timur, lebih kurang 20 minit selepas Subuh. Ketinggiannya adalah sekitar 10 darjah.

Screen Shot 2017-01-15 at 1.43.48 PM
Kedudukan Utarid dan Zuhal pada waktu Subuh, sepanjang minggu ini.

Pada 17 Januari, ia akan berada pada kemuncak ketinggiannya. Selepas itu, ia akan kembali rendah dan menghampiri matahari.

Utarid ini sebuah planet yang kecil. Namun, jika anda menggunakan teleskop berkuasa tinggi, anda akan dapat lihat rupa bentuknya, sama seperti ‘bulan separuh’.

Screen Shot 2017-01-15 at 12.31.42 PM
Simulasi keadaan planet Utarid jika dilihat menerusi teleskop berkuasa tinggi.

Pada 16 hingga 18 Januari, Utarid akan melintasi berhampiran dengan gugusan Nebula Trifid dan Nebula Lagoon di buruj Sagittarius. Jaraknya ialah sekitar 2 dan 3 darjah pada 16 Jan, dan semakin jauh menjadi 5 darjah pada 18 Januari.

Jika anda mempunyai lens sekitar 300mm atau 400mm boleh cuba merakamnya, tetapi mungkin agak mencabar kerana langit pun sudah semakin terang ketika itu!

Screen Shot 2017-01-15 at 12.41.39 PM
Simulasi kedudukan Utarid berhampiran dengan Nebula Trifid dan Lagoon

Zuhrah

 

Planet paling cerah di langit, masih lagi mendominasi langit senja selepas Maghrib di ufuk barat.

Ia sungguh terang dan ‘hampir mustahil’ untuk terlepas pandangnya. Pada 15 Jan 2017, ia berada pada kedudukan paling tinggi di langit barat (berdasarkan lokasi di Malaysia).

Sepanjang minggu ini, ia akan ‘kelihatan’ bergerak ke kanan (atau arah utara) sikit demi sikit. Mungkin terlalu sedikit pergerakannya untuk mudah diperasan oleh mata manusia. Apa pun, memang itulah pergerakannya yang sebenar.

Ia sudahpun melepasi fasa dichotomy, iaitu fasa seperti ‘bulan separuh’. Selepas ini ia akan semakin menghampiri Bumi, semakin besar saiznya, dan bentuknya akan menjadi seperti ‘bulan sabit’.


Marikh.

 

Screen Shot 2017-01-15 at 1.47.33 PM
Kedudukan Zuhrah dan Marikh di ufuk barat selepas Maghrib.

Marikh berada lebih kurang sama kedudukan sepanjang minggu ini, iaitu di sebelah ‘atas’ planet Zuhrah. Gunakan planet Zuhrah sebagai panduan mencarinya,

Marikh akan kelihatan seperti ‘bintang merah’ yang terangnya biasa-biasa je.


 

Musytari

 

Planet terbesar ini akan terbit sekitar jam 1 pagi (12 tengah malam di Sabah) pada awal minggu, dan sekitar jam 12.30 tengah malam pada hujung minggu nanti.

Ia merupakan objek yang cerah berada tegak di atas kepala, ketika waktu Subuh.

Jika anda perasan, di sebelah Musytari, akan ada sebuah bintang yang terang (tetapi kurang terang sikit berbanding planet ini). Itu ialah bintang Spica. Kedua-dua objek ini boleh dimuatkan menerusi lens kamera 300mm.

Pada 19 dan 20 Januari, Bulan akan melintasi berhampiran dengan planet ini.

Screen Shot 2017-01-15 at 1.50.54 PM
Kedudukan Bulan berhampiran dengan Musytari dan bintang Spica pada 19 Jan 2017.

Zuhal

 

Zuhal mula terbit sekitar jam 5 pagi (4 pagi di Sabah), pada sepanjang minggu ini. Ia berada rendah di ufuk timur, berhampiran dengan planet Utarid.

Ia masih berada dalam kawasan buruj Scorpius dan Sagittarius. Bintang Aldebaran merupakan bintang kemerahan yang berada di sudut kanan atas daripadanya.


Asteroid Vesta

 

Asteroid Vesta, yang juga merupakan asteroid paling besar dan tercerah di dalam sistem suria, akan berada di posisi istiqbal pada 18 Januari 2016. Ia akan berada berhampiran dengan bintang Castor dan Pollux di dalam buruj Gemini.

Ia akan terbit sebaik sahaja Maghrib dan kelihatan sepanjang malam.

Kecerahannya akan mencapai magnitud 6, dan amat mudah untuk dilihat menerusi binokular. Namun, anda perlukan kemahiran membaca peta bintang untuk tahu secara tepat asteroid ini berbanding bintang-bintang lain.

Screen Shot 2017-01-15 at 1.23.38 PM
Kedudukan asteroid Vesta

 

Komet C/2015 V2 (Johnson)

 

Sedar atau tidak, atau sebuah lagi komet boleh dilihat pada waktu Subuh. Komet C/2015 V2 atau Komet Johnson ini berada di kawasan langit utara, berhampiran dengan ‘ekor’ atau hujung asterim Biduk.

Screen Shot 2017-01-15 at 1.59.55 PM
Kedudukan Komet Johnson

Kecerahannya sekarang ialah antara magnitud 10 dan 11. Ia boleh dirakam dengan kamera menggunakan waktu dedahan yang lama. Ia akan semakin cerah setiap hari, namun kedudukannya  masih kekal sekitar Biduk ini.

Screen Shot 2017-01-15 at 2.04.00 PM
Data kecerahan Komet C/2015 V2 (Johnson) dari pangkalan data COBS

 


 

Untuk dapatkan maklumat almanak terkini fenomena langit, jangan lupa sentiasa periksa Almanak Astronomi 2017 versi Google Calendar!

 

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments