shahgazer

Langit Minggu Ini – 2 hingga 8 Jan 2017

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Ruangan baru secara mingguan ini akan cuba memberikan sedikit sebanyak maklumat terbaru mengenai fenomena langit yang berlaku dan dapat dilihat dari Malaysia dan juga sekitar Asia Tenggara.


Langit senja (selepas Maghrib hinggalah ke tengah malam)

 

Planet Zuhrah terus menjadi tumpuan pandangan mata kasar kita sepanjang minggu ini. Ia berada amat tinggi di langit sebelah barat dan menerusi kiraan falak, ia akan semakin tinggi setiap hari. Ia akan kelihatan seperti ‘bintang’ yang amat cerah dan ramai juga terkeliru dan menganggapnya sebagai satelit atau kapal terbang.

Pada Maghrib, 2 Jan, Bulan akan berada hampir dengan Zuhrah, menjadikannya pasangan objek yang sungguh comel. Walaupun nampak dekat, tetapi hakikatnya kedua-dua objek ini amat jauh antara satu sama lain. Zuhrah berada 113 juta km daripada Bumi dan cahayanya terpaksa mengambil masa selama 6 minit lebih untuk sampai ke kita, berbanding dengan Bulan yang berada hanya 382320 km dan cahayanya mengambil masa hanya 1.28 saat sahaja!

Kedudukan Zuhrah sepanjang minggu ini hampir sama dan tidak banyak berubah.

Pada 3 Jan, Bulan akan beranjak ke timur dan berada hampir dengan Marikh. Planet Marikh kini masih kelihatan namun disebabkan kedudukannya sekarang amat jauh daripada Bumi, cahayanya pun semakin malap setiap hari. Pada Maghrib ini, Marikh akan berada di sebelah bawah Bulan.

Moon Venus 2 Jan 2017

Seperkara menarik yang berlaku minggu ini ialah, sebuah lagi planet, Neptune, akan berada hampir dengan Marikh. Kedua-dua planet ini dipisahkan sejauh 1.6 darjah sahaja, iaitu lebih kurang 3 kali ganda diameter Bulan.

Jika anda boleh memuatkan 3 buah bulan di dalam satu pandangan menerusi teleskop, bermakna anda boleh melihat kedua-dua planet ini serentak!

Cuma kena ingat, Neptune ini agak kelam. Ia bersinar pada magnitud 8, di bawah keupayaan mata manusia. Namun mudah untuk dilihat menerusi binokular ataupun teleskop.

 

screen-shot-2017-01-01-at-9-58-57-pm

Kedudukan Neptune dan Marikh pada 3 Jan 2017 ini. Bulatan biru menunjukkan ruang penglihatan (FOV) sebuah binokular 10X50.

Pada hari-hari mendatang, Marikh dan Neptune ini akan semakin terpisah jauh. Pada 8 Jan, ia sudah pun menjadi sejauh 5 darjah (masih boleh muat menerusi sebuah binokular)

Menjelang tengah malam 3 Jan dan masuk ke 4 Jan hinggalah ke waktu Subuh, juraian Meteor Quadrantids akan memuncak! Meteor ini akan kelihatan muncul dari kawasan langit sebelah utara dari buruj Bootes. Laporan International Meteor Organization menyatakan jumlah kadar meteor yang muncul dijangka sekitar 60-120 meteor setiap jam. Malangnya, kadar meteor Quadrantids ini tidak konsisten dari tahun ke tahun.

Disebabkan Bulan masih berada dalam fasa sabit lagi, langit pada waktu tengah malam dan ke subuh kali ini gelap dan bebas dari gangguan cahaya Bulan. Maka, ia amat sesuai untuk anda yang ingin mencuba nasib melihat meteor-meteor ini.

Pada 5 dan 6 Jan, Bulan akan berada berhampiran dengan planet Uranus. Uranus ini secara amnya boleh dilihat dengan mata kasar tetapi ia akan kelihatan seperti bintang yang amat kelam. Jika anda duduk di bandar, hmmmmm tak payah lah susah-susah nak cari sebab terlalu banyak gangguan cahaya. Tetapi ia terang dan mudah dilihat menerusi binokular.

Bulan akan memasuki fasa Bulan Sukuan Awal pada 6 Jan 2016 jam 3.47 pagi.

Ketika ini, kita akan melihat terus tepat di kawasan ‘maghrib’ di permukaan bulan, iaitu di mana siang dan malam bertemu! Jika ada teleskop, inilah antara waktu paling menarik untuk kita meneroka permukaan bulan yang penuh dengan kawah.

Pada 8 Jan, Bulan akan memasuki kawasan buruj Taurus, dan berada hampir dengan gugusan bintang Seven Sisters ataupun Pleaides.

Buruj Orion sudah mula kelihatan di langit timur, selepas Isya’. Menjelang tengah malam ia sudah pun berada tegak di atas kepala. Bak kata orang, musim Orion sudah kembali!

screen-shot-2017-01-03-at-11-53-10-am

Buruj Orion di langit timur selepas waktu Isya’

Di sebelah utara pula, cuba cari buruj Cassiopeia. Ia adalah sebuah buruj sederhana kecil berbentuk huruf ‘W’ yang terbalik.

screen-shot-2017-01-03-at-11-50-19-am

Buruj Cassiopeia di langit sebelah utara, sekitar waktu Isya’


Langit Subuh

 

Planet Musytari merupakan objek yang paling cerah di langit sebelah timur, tinggi di atas kepala. Ia merupakan satu-satunya planet cerah yang dapat dilihat pada waktu ini. Menerusi teleskop, 4 buah bulan tercerahnya, dapat dilihat berderet di sisi berlawanannya.

Buruj Scorpius kini baru sahaja terbit, dan masih lagi rendah di ufuk timur selepas waktu Subuh. Di sinilah letaknya pusat Bima Sakti kita tetapi anda perlu bersabar dan tunggu sebulan dua lagi untuk merakam kawasan jaluran Bima Sakti yang paling popular ini.

Foto bawah dirakam baru-baru ini yang menunjukkan kemunculan semula buruj Scorpius di langit Subuh.

Di langit utara pula, buruj Ursa Major pula tinggi di langit. Bentuk ‘Biduk’nya begitu popular dan mudah dikenali oleh sesiapa sahaja.

screen-shot-2017-01-03-at-11-54-17-am

Buruj Ursa Major dengan asterim Biduk dapat dilihat dengan mudah di langit utara, sekitar waktu Subuh


 

Komet 45P/Honda-Mrkos-Pajdusakova (2016) atau senang disebut Komet 45P berada di langit senja selepas Maghrib. Berdasarkan laporan terkini pencerap komet sedunia, kecerahan komet ini sudah mencecah magnitud 7! Cukup terang untuk dilihat menerusi Binokular, tetapi malangnya ia semakin rendah ke ufuk barat setiap hari. Sungguh mencabar untuk kita melihatnya dari langit seperti Malaysia yang sentiasa berawan ini!

lightcurve_20170103-040752

Graf kecerahan Komet 45P bermula 1 Disember 2016 hingga 2 Jan 2017. Sumber COBS

Rujuk artikel ini untuk mengetahu kedudukan komet ini dari langit Malaysia.